STPM vs Matrikulasi, mana satu pilihan hati?

Diterbitkan oleh Afterschool.my pada Apr 26, 2021, 08:33 am

Selepas menamatkan Sijil pelajaran Malaysia (SPM) tentu ramai yang buntu memilih ke mana untuk menyambung pengajian. Matrikulasi atau tingkatan 6?. Menerusi artikel ini, dikongsikan perbezaan antara STPM dan matrikulasi untuk memudahkan anda membuat pilihan yang tepat.

 

SEJARAH PENUBUHAN (STPM)

 

  1. Tingkatan Enam telah mula beroperasi di sekolah-sekolah menengah harian bantuan penuh kerajaan lebih daripada 50 tahun dahulu.
  2. Bermula pada tahun 2013, STPM telah diubah format menerusi penjenamaan semula dan menjadi salah satu inisiatif KPM dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013 - 2025.

 

 

SEJARAH PENUBUHAN (MATRIKULASI)

  1. Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah mewujudkan Bahagian Matrikulasi pada 1 September 1998 untuk penyeragaman semua Program Matrikulasi/Asasi.
  2. Pada sesi 1999/2000, Bahagian Matrikulasi, Kementerian Pelajaran Malaysia telah memulakan Program Matrikulasi bagi lulusan SPM 1998.
  3. Mulai sesi 2000/2001, semua Program Matrikulasi kecuali Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Pusat Asasi Sains Universiti Malaya dikendalikan sepenuhnya oleh Bahagian Matrikulasi Kementerian Pelajaran Malaysia.

 

 

SYARAT KEMASUKAN

 

STPM

  1. Murid-murid yang telah menamatkan pengajian menengah atas dan telah menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
  2. Menepati syarat-syarat umum dan khusus bagi jurusan yang mengambil masa selama 3 penggal itu.
  3. Lulus SPM dengan mendapat kepujian bagi mata pelajaran Bahasa Malaysia.
  4. Bagi melayakkan murid ke aliran Sains Sosial, jumlah mata unit bagi tiga mata pelajaran yang terbaik mestilah tidak melebihi 12.
  5. Aliran Sains pula tidak melebihi 18 mata unit untuk 3 matapelajaran terbaik
  6. Aliran Agama tidak melebihi 14 untuk 3 mata pelajaran terbaik

Cara untuk kiraan mata berkenaan 

 

MATRIKULASI

  • Memperolehi gred keputusan dalam SPM seperti berikut :

 

TEMPOH PENGAJIAN

 

STPM

Tempoh pengajian di Tingkatan Enam adalah selama 1½ tahun yang merangkumi tiga penggal iaitu:

  1. Penggal 1 bermula dari bulan Mei hingga November
  2. Penggal 2 bermula dari bulan Januari hingga Mei
  3. Penggal 3 bermula dari bulan Mei hingga November

 

MATRIKULASI

Tempoh pengajian pra-universiti ini adalah seperti berikut:

  1. Program Satu Tahun  (2 Semester)
  2. Program Dua Tahun  (4 Semester)

 

JURUSAN YANG DITAWARKAN

 

STPM

  1.  Aliran Sains Sosial
  2. Aliran Sains
  3.  Aliran Agama

 

MATRIKULASI

  1. Jurusan Sains
  2. Jurusan Perakaunan
  3. Jurusan Teknikal

 

PENILAIAN UNTUK KELAYAKAN KE UNIVERSITI

 

STPM

  1. Penilaian dilaksanakan melalui peperiksaan akhir setiap penggal dan kerja kursus.
  2. Sekiranya terdapat subjek yang gagal, pelajar boleh memperbaiki keputusan berkenaan dengan menduduki peperiksaan ulangan.
  3. Penilaian pencapaian murid dan keputusan peperiksaan adalah berdasarkan ketiga-tiga penggal.

 

MATRIKULASI

  1. Penilaian adalah berdasarkan Penilaian Berterusan (PB), Ujian Pertengahan Semester (UPS) dan Peperiksaan Semester Program Matrikulasi (PSPM).

 

PENGIKTIRAFAN

 

STPM

  1. Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) mendapat pengiktirafan daripada Kerajaan Malaysia, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), dan Cambridge Assessment, England.
  2. Sijil STPM turut diterima oleh JPA untuk menjawat jawatan dalam perkhidmatan kerajaan.
  3. Pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan STPM dan kokurikulum layak memohon untuk melanjutkan pelajaran ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dalam dan luar negara.
  4. Sekiranya mereka gagal, mereka boleh mengulang semula STPM atau menggunakan sijil SPM untuk membuat permohonan melanjutkan pelajaran ke peringkat Diploma kemudian barulah ke peringkat Ijazah Sarjana Muda dan seterusnya.

 

MATRIKULASI

  1. Pelajar yang memperoleh PNGK 2.00 dan ke atas boleh dipertimbangkan untuk melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda di IPTA.
  2. Sijil Matrikulasi diterima oleh JPA untuk menjawat jawatan dalam perkhidmatan kerajaan.
  3. Pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang layak memohon untuk melanjutkan pelajaran ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dalam dan luar negara.
  4. Sekiranya mereka gagal, mereka terpaksa menggunakan semula sijil SPM untuk membuat permohonan melanjutkan pelajaran ke peringkat Diploma kemudian barulah ke peringkat Ijazah Sarjana Muda dan seterusnya.

 

SUBJEK PENGAJIAN

 

STPM

  1. 4 atau 5 mata pelajaran sahaja yang perlu dipilih termasuk mata pelajaran Pengajian Am dan  Mata pelajaran MUET wajib diambil oleh semua murid.
  2. Subjek Pilihan: Pengajian Am, Bahasa Melayu, Bahasa Cina, Bahasa Tamil, Bahasa Arab, Literature in English, Kesusasteraan Melayu     Komunikatif, Syariah, Usuluddin, Sejarah, Geografi, Ekonomi, Pengajian Perniagaan, Perakaunan, Matematik (M), Matematik (T), Information and Communication Technology (ICT), Fizik, Kimia, Biologi, Sains Sukan, Seni Visual.
  3. Semua murid Tingkatan Enam wajib terlibat dalam aktiviti kokurikulum dan pemarkahan 10 % kokurikulum adalah berdasarkan pengiraan 2 markah tertinggi dalam  bidang berikut:
  • **Kelab/ Persatuan
  • **Sukan/ Permainan
  • **Badan Beruniform

 

MATRIKULASI

Mata Pelajaran Teras bidang berikut :

  1. Jurusan Perakaunan
    • Matematik, Perakaunan, Pengurusan Perniagaan dan Ekonomi.
  2. Jurusan Sains
    • Modul I  (Matematik, Kimia, Fizik, Biologi)
    • Modul II (Matematik, Kimia, Fizik dan Sains Komputer)
    • Modul III (Matematik, Kimia, Biologi  dan Sains Komputer)
  3. Jurusan Teknikal
    • Matematik, Kimia Kejuruteraan, Fizik Kejuruteraan, Pengajian Kejuruteraan.
  4. Di samping mata pelajaran khusus mengikut bidang, mata pelajaran berikut juga wajib diambil oleh semua pelajar:
  • Bahasa Inggeris
  • Kemahiran Dinamika
  • Pendidikan Islam/Moral
  • Satu daripada mata pelajaran kokurikulum berikut:
    • Sukan/Permainan
    • Persatuan/Kelab
    • Kawad Kaki

 

PEMBIAYAAN

 

STPM

  1. Tiada yuran dikenakan bagi sekolah kerajaan dan sekolah bantuan penuh kerajaan kecuali yuran PIBG sekolah
  2. Pelajar STPM yang belajar di sekolah kerajaan dan bantuan penuh kerajaan juga turut diberikan biasiswa.
  3. Biasiswa dipohon melalui sekolah masing-masing selepas menerima tawaran belajar di Tingkatan 6.

 

MATRIKULASI

  1. Pelajar Program Matrikulasi dibiayai oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Permohonan boleh dihantar melalui matrikulasi masing-masing selepas menerima tawaran kemasukan.

 

PELUANG MELANJUTKAN PENGAJIAN

 

STPM

Lepasan STPM sangat mudah untuk ditawarkan pengajian selepas tamat pengajian walaupun mendapat keputusan yang cukup-cukup makan iaitu PNGK : 2.00. Ini kerana STPM merupakan sijil yang diiktiraf di peringkat antarabangsa dan ianya dianggap antara peperiksaan paling sukar di dunia. Jadi peluang memang sangat terbuka luas. Kuota pengambilan kepada lepasan STPM juga sangat banyak disediakan oleh universiti awam. Selain di dalam negara, terdapat juga beberapa buah universiti di luar negara misalnya di Jepun, Korea, UK menerima lepasan STPM. 

 

MATRIKULASI

Bagi lepasan matrikulasi, peluang untuk melanjutkan pengajian sama sahaja dengan STPM tetapi persaingan sangatlah tinggi kerana majoriti lepasan SPM memilih ke matrikulasi. Persaingan yang tinggi menyebabkan, ramai pelajar yang gagal merebut tempat ke universiti awam terutamanya pelajar yang mendapat keputusan yang kurang cemerlang. Kuota yang diletakkan tidak mampu menampung jumlah permohonan daripada matrikulasi berbanding STPM. Jika berjaya sekalipun, ada diantaranya ditawarkan ke kursus bukan pilihan pertama di universiti awam. 

 

Walau bagaimanapun, lepasan matrikulasi mempunyai kelebihan jika mereka menunjukkan prestasi yang cemerlang, pihak matrikulasi akan menaja pelajar melanjutkan pengajian degree ke luar negara secara percuma. Terdapat juga beberapa buah universiti di luar negara misalnya di Jepun, Korea, UK menerima lepasan matrikulasi sama seperti STPM. Untuk semak antara negara yang menerima lepasan matrikulasi, KLIK DISINI.

 

PERMOHONAN 

 

STPM

Kepada anda yang berminat untuk melanjutkan pengajian ke Tingkatan Enam, tawaran adalah secara automatik. Pelajar tidak perlu memohon melainkan jika gagal ditawarkan kelak. Tawaran automatik diberikan kepada pelajar yang memenuhi syarat kelayakan masuk ke tingkatan 6. Kepada yang gagal ditawarkan atau pelajar daripada sekolah persendirian, boleh membuat permohonan kemasukan selepas keputusan tawaran diumumkan. Untuk panduan permohonan ke tingkatan 6, SILA KLIK DISINI. 

 

MATRIKULASI

Untuk lepasan matrikulasi, sistem permohonan telah diselaras dibawah UPU

 

Sudah ada pilihan yang dirasakan lebih baik?. Selamat menyambung pengajian. Untuk pelbagai lagi informasi terkini dalam bidang pendidikan boleh klik di sini. Semoga berjaya!.

ARTIKEL BERKAITAN

BERITA BERKAITAN
Berita Terkini

Perlukan
bantuan?
mail