Permohonan ke Tingkatan Enam !

Diterbitkan oleh Afterschool.my pada Mar 27, 2017, 05:01 pm

Ramai nampaknya yang berminat untuk masuk ke tingkatan 6. Pelbagai pertanyaan yang diajukan misalnya bagaimana hendak memohon tingkatan 6?, jika tidak ditawarkan tingkatan 6 bagaimana hendak memohon?. Boleh ke membuat pertukaran sekolah?. Boleh ke untuk tukar jurusan jika tidak ditawarkan jurusan yang diminati?.

   

Bagaimana jika pelajar sekolah swasta/persendirian ingin memohon masuk ke tingkatan enam sekolah kerajaan?. Sekolah mana yang menawarkan tingkatan enam?. Bagaimana jika pelajar ditawarkan ke universiti atau matrikulasi tetapi menolak dan mahu masuk tingkatan 6?. Adakah perlu membuat permohonan, jika ya bagaimana caranya dan banyak lagi pertanyaan lain. Oleh itu kami kongsikan kepada anda seterusnya dapat merungkaikan persoalan yang bermain dalam fikiran itu.

 

KOLEJ TINGKATAN ENAM (MOD 1,2 3)

 

Perkara utama anda kena fahami adalah mod tingkatan 6. Terdapat 3 mod, mod pertama adalah Kolej Tingkatan Enam yang merujuk kepada sekolah yang mempunyai sekurang-kurangnya 12 kelas yang menempatkan hanya murid-murid Tingkatan Enam sahaja dan diajar oleh guru-guru akademik yang telah dilantik sebagai guru Tingkatan Enam. Terdapat 6 sahaja kolej tingkatan 6 di seluruh negara.

 

  • Kolej Tingkatan 6 Petaling Jaya, Selangor (dahulunya SMK Petaling Jaya)  beroperasi sejak 17 Feb 2014. Mengambil pelajar lepasan SPM dari SMK Sultan Abdul Samad, SMK SS 17, SMK (L) Bukit Bintang dan SMK Taman Medan.
  • Kolej Tingkatan 6 Kepong, WP Kuala Lumpur  (dahulunya SMK Desa Mahkota) beroperasi sejak 31 Mac 2014.  Mengambil pelajar lepasan SPM dari SMK Jinjang, SMK Raja Ali, SMK Kepong Baharu and SMK Raja Abdullah.
  • Kolej Tingkatan 6 Kulim, Kedah (dahulunya SMK Taman Mahsuri), beroperasi sejak 10 April 2014. Mengambil pelajar lepasan SPM dari SMK Padang Serai, SMK Kulim, SMK Sultan Badlishah and SMK Tg Panglima Besar.
  • Kolej Tingkatan 6 Kota Kinabalu, Sabah (dahulunya SMK Bandaraya 2) beroperasi sejak 05 Feb 2014. Mengambil pelajar lepasan SPM dari SMK Bandaraya, SMK Inanam, SMK Kolombong and SMK Tebobon.
  • Kolej Tingkatan 6 Pontian, Johor (dahulunya SMK Sri Bandar) beroperasi sejak 01 April 2014. Mengambil pelajar lepasan SPM dari SMK Dato’ Penggawa Barat and SMK Perhentian.
  • Kolej Tingkatan 6 Saratok, Sarawak (dahulunya SMK Saratok II)
  • Kolej Tingkatan 6 Ipoh, Perak (dahulunya SMK Seri Ipoh)

   

 

Mod 2 adalah sekolah yang mempunyai sekurang-kurangnya 12 kelas, beroperasi di sekolah arus perdana tetapi di blok atau bangunan yang berasingan. Walau bagaimanapun, Pusat Mod 2 ditadbir oleh Pengetua arus perdana dengan kerjasama Penolong Kanan Tingkatan Enam.

 

  • SMK Hutan Melintang, negeri Kedah
  • SMK Raja Muda Musa, SMK Seri Putera di negeri Perak
  • SMK Limbanak, SMK Putatan, SMK Datuk Pangiran Galpam di negeri Sabah
  • SMK Tinggi Klang, SMK Hulu Kelang, SMK Tinggi Kajang, SMK Sultan Abdul Aziz, SMK Tunku Abdul Rahman Putra, SMK Seskyen 24 di negeri selangor

 

Mod 3 adalah sekolah yang mempunyai kurang daripada 12 kelas atau sekolah yang jauh daripada bandar, tiada kemudahan asrama atau pengangkutan awam, dan beroperasi  di sekolah arus perdana.

 

TAWARAN KE TINGKATAN 6

 

Pelajar tidak perlu memohon tingkatan enam kerana tawaran adalah automatik. Semakan tawaran boleh dibuat secara atas talian melalui sistem yang akan dibuka kelak. Kepada  calon-calon yang tidak mendapat tawaran boleh membuat rayuan di Jabatan Pendidikan Negeri masing-masing. Berikut kami kongsikan panduan permohonan rayuan dan 5 jenis borang rayuan yang boleh dimuat turun untuk persediaan kelak.

 

PANDUAN & BORANG RAYUAN TINGKATAN 6 

 

   

BORANG  T6BKK 

 

Borang T6BKK ini adalah untuk MURID SEKOLAH BANTUAN KERAJAAN yang hendak membuat rayuan memasuki Tingkatan Enam jika tidak ditawarkan berkemungkinan tidak memenuhi syarat kelayakan akademik kecuali Murid Berkeperluan Khas (MBK). Borang ini hendaklah disertakan bersama salinan dokumen-dokumen yang telah disahkan seperti berikut:

  • i. Keputusan peperiksaan SPM 
  • ii. Sijil kelahiran,
  • iii. Kad pengenalan/passporT 
  • iv. Sijil Berhenti Sekolah
  •  v. Dokumen-dokumen lain yang berkenaan  

Borang yang lengkap hendaklah dikembalikan kepada Pengetua sekolah asal. Pengetua sekolah bertanggungjawab mengemukakan semua borang rayuan murid kepada Bahagian (kecuali Sekolah Menengah Harian dan Sekolah  Menengah Teknik)/ Jabatan Pendidikan Negeri/ Pejabat Pendidikan Daerah berkenaan. Tarikh tutup permohonan ialah pada bulan 24 Mei 2019. Permohonan yang lewat tidak akan dipertimbangkan. Pertimbangan hanya diberikan kepada permohonan yang memenuhi syarat-syarat berikut:

 

i.Lulus dalam peperiksaan SPM 2018 dengan memperolehi pencapaian akademik yang telah ditetapkan dan penglibatan dalam kegiatan kokurikulum
ii.Memperolehi kepujian dalam Bahasa Melayu dan dua kepujian lagi dalam mana-mana mata pelajaran lain
iii.Tidak melebihi had umur yang ditetapkan dalam syarat am
iv.Mendapat sokongan penuh daripada Pengetua sekolah dan perakuan rekod disiplin yang baik

 

Kelulusan permohonan ini bergantung juga kepada kekosongan tempat. Keputusan permohonan akan dimaklumkan kepada semua pemohon pada 10 Jun 2019. Jika ditawarkan, pelajar hendaklah  melapor  diri mulai 10 Jun seperti mana ditetapkan dalam surat tawaran. Pelajar boleh mendaftar dalam tempoh 10 hari selepas tarikh keputusan diumumkan. Sekiranya pelajar tidak melapor diri dalam tempoh yang ditetapkan, pelajar dianggap sebagai menolak tawaran. Klik untuk muat turun borang : T6BKK BAGI CALON SEKOLAH KERAJAAN

   

BORANG  T6BCP (CALON ALON PERSENDIRIAN,SEKOLAH SWASTA & SEKOLAH MENENGAH AGAMA NEGERI

 

Borang  T6BCP  ini  adalah  untuk  CALON PERSENDIRIAN,  SEKOLAH  SWASTA  & SEKOLAH MENENGAH AGAMA NEGERI yang memohon memasuki Tingkatan Enam Tahun 2019 di sekolah menengah bantuan penuh kerajaan. Berikut adalah dokumen yang hendaklah disertakan bersama dengan salinan dokumen-dokumen yang telah disahkan seperti berikut:

  • i. Keputusan peperiksaan SPM 2018 
  • ii. Sijil kelahiran, 
  • iii. Kad pengenalan/passport 
  • iv. Sijil Berhenti Sekolah 
  • v. Sijil-sijil persekolahan menengah.  

Borang yang lengkap diisi hendaklah dikembalikan ke Bahagian (kecuali Sekolah Menengah Harian dan Sekolah Menengah Teknik)/Jabatan Pendidikan Negeri/ Pejabat Pendidikan Daerah yang berhampiran dengan rumah pemohon. Tarikh tutup permohonan ialah 24 Mei 2019. Permohonan yang lewat tidak akan dipertimbangkan. Pertimbangan hanya diberikan kepada permohonan yang memenuhi syarat-syarat berikut:

  • i. Lulus dalam peperiksaan  SPM 2018 dengan memperolehi pencapaian akademik yangtelah ditetapkan; 
  • ii. Memperolehi kepujian dalam Bahasa Melayu dan dua kepujian lagi dalam mana- manamata pelajaran lain 
  • iii. Tidak melebihi had umur yang  ditetapkan dalam syarat am  

Kelulusan permohonan ini bergantung juga kepada kekosongan tempat. Keputusan permohonan akan dimaklumkan oleh Jabatan Pendidikan Negeri kepada semua pemohon melalui Sekolah Pusat Tingkatan Enam masing-masing atau dimaklumkan oleh Bahagian (kecuali Sekolah Menengah Harian dan Sekolah  Menengah Teknik)/Jabatan Pendidikan Negeri/Pejabat Pendidikan Daerah kepada semua pemohon melalui surat. Klik untuk muat turun borang permohonan : T6BCP BAGI CALON PERSENDIRIAN, SEKOLAH SWASTA & AGAMA.   

 

BORANG T6BRTJ (BORANG TUKAR JURUSAN)

 

Borang T6BRTJ ini adalah untuk MURID SEKOLAH BANTUAN KERAJAAN yang hendak membuat rayuan menukar jurusan Tingkatan Enam Tahun 2019. Borang yang lengkap diisi hendaklah disertakan bersama salinan dokumen-dokumen yang telah disahkan seperti berikut:

  • i. Keputusan Peperiksaan SPM 2018 
  • ii. Inventori Minat Kerjaya
  • iii. Dokumen yang berkaitan  

Borang ini hendaklah dikembalikan kepada Jabatan Pendidikan Negeri/ Pejabat Pendidikan Daerah dengan mendapat perakuan Pengetua sekolah di mana murid berkenaan ditawarkan sebelum ini. Tarikh tutup permohonan ialah pada 24 Mei 2019 (selepas keputusan permohonan diumumkan, terus buat rayuan), permohonan yang lewat dan tidak lengkap diisi tidak akan dipertimbangkan. Keputusan permohonan akan dimaklumkan oleh Jabatan Pendidikan Negeri kepada semua calon melalui Sekolah Pusat Tingkatan Enam masing-masing dan juga akan dimaklumkan di dalam talian bermula 10 Jun 2019. Pelajar perlu mendaftar dalam tempoh 10 hari selepas tarikh keputusan diumumkan. 

 

Walau bagaimanapun, kelulusan permohonan ini bergantung juga kepada kekosongan tempat dan keputusan permohonan akan dimaklumkan oleh Jabatan Pendidikan Negeri kepada semua calon melalui Sekolah Pusat Tingkatan Enam masing-masing. Klik untuk muat turun borang permohonan dan rujuk borang di muka surat 9 : T6BRTJ UNTUK RAYUAN MENUKAR JURUSAN.

 

 

BORANG PUA275

 

Pertama, semak dengan teliti dan pastikan jurusan yang diingini ada ditawarkan di sekolah itu. Kemudian lengkapkan borang P.U.(A) 275 di bawah dan sertakan bersama dokumen sokongan yang telah disahkan. (Alasan yang munasabah perlu diisi dalam borang untuk meningkatkan peluang kelulusan). Selepas itu,  berjumpa dengan pengetua atau guru di sekolah yang ditawarkan tingkatan 6 sebelum ini untuk mendapatkan tandatangan kelulusan daripada pengetua. Sekolah akan menghantar borang permohonan anda ke Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) yang berkaitan.

 

Suka diingatkan, faktor utama kelulusan pertukaran ialah terdapat kekosongan tempat di sekolah yang diminta. Surat pemberitahuan keputusan dihantar ke alamat pemohon. Pemohon boleh berhubung dengan PPD/JPN untuk mengetahui status permohonannya selepas tarikh akhir permohonan dibuat. Klik untuk muat turun borang : PUA275 PERMOHONAN MENUKAR SEKOLAH TINGKATAN 6.

 

BORANG T6BRU 

 

Borang T6BRU ini adalah untuk murid yang layak tetapi tidak ditawarkan atau tidak melapor diri atau menolak tawaran matrikulasi/asasi/IPTA/IPTS atau sebab-sebab yang lain. Pelajar boleh membuat rayuan memasuki Tingkatan Enam Tahun 2019 kecuali Sekolah Menengah Pendidikan Khas (SMPK) dan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI). Borang ini hendaklah disertakan bersama salinan dokumen-dokumen yang telah disahkan seperti berikut:

 

  • i. Keputusan peperiksaan SPM 2018
  • ii. Sijil kelahiran, 
  • iii. Kad pengenalan/passport 
  • iv. Sijil Berhenti Sekolah 
  • v. Dokumen-dokumen lain yang berkenaan  

Borang yang lengkap diisi hendaklah dikembalikan kepada Pengetua sekolah asal. Pengetua sekolah bertanggungjawab mengemukakan semua borang rayuan murid kepada Bahagian (kecuali sekolah menengah harian)/ Jabatan Pendidikan Negeri/ Pejabat Pendidikan Daerah berkenaan. Tarikh tutup permohonan ialah pada 24 Mei 2019 (selepas keputusan diumumkan jika tidak menerima tawaran terus membuat rayuan), permohonan yang lewat dan tidak lengkap diisi tidak akan dipertimbangkan. Pertimbangan hanya diberikan kepada permohonan yang memenuhi syarat-syarat berikut:

  •  i. Lulus dalam peperiksaan SPM 2018 dengan memperolehi pencapaian akademik yang telah ditetapkan
  • ii. Memperolehi kepujian dalam Bahasa Melayu dan dua kepujian lagi dalam mana- manamata pelajaran lain kecuali MBK 
  • iii.  Tidak melebihi had umur yang ditetapkan dalam syarat am 
  • iv. Mendapat sokongan penuh daripada Pengetua sekolah dan perakuan rekod disiplin yang baik  

 

Walau bagaimanapun, kelulusan permohonan ini bergantung juga kepada kekosongan tempat belajar. Keputusan permohonan akan dimaklumkan kepada semua calon mulai 10 Jun 2019 dan boleh mendaftar dalam tempoh 10 hari selepas tarikh keputusan diumumkan. Klik di sini untuk memuat turun borang : T6BRU BAGI CALON SEKOLAH YANG LAYAK TETAPI TIDAK MENDAPAT TAWARAN ATAU TIDAK MELAPOR DIRI ATAU MENOLAK MATRIKULASI/IPTA/IPTS ATAU SEBAB-SEBAB LAIN.

 

Dengan perkongsian ini diharapkan kekeliruan anda dapat direlaikan. Selamat menempuh alam pra universiti dan buatlah yang terbaik untuk masa depan anda.

BERITA BERKAITAN
Berita Terkini

Perlukan
bantuan?
mail