Panduan Lengkap Permohonan PTPTN

Diterbitkan oleh Afterschool.my pada May 04, 2020, 10:47 am

Majoriti dalam kalangan ibu bapa dan pelajar lepasan SPM, STPM, Diploma, Matrikulasi dan sebagainya memerlukan pelbagai info berkaitan pembiayaan pendidikan untuk melanjutkan pengajian ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) atau Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS). Memandangkan tidak semua dalam kalangan kita dilahirkan dalam keluarga yang berada, maka pinjaman pendidikan adalah menjadi pilihan utama. Oleh itu, kami kongsikan Skim Pinjaman Pendidikan PTPTN yang disediakan oleh kerajaan untuk membantu pelajar mengapai impian mereka.

 

 

Tahukah anda, Skim Pinjaman Pendidikan PTPTN diwujudkan bagi tujuan untuk memberi pinjaman pendidikan kepada pelajar yang mengikuti pengajian di Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) tempatan. Pinjaman pendidikan ini akan membolehkan pelajar membiayai sepenuhnya atau sebahagian yuran pengajian selain kos sara hidup sepanjang tempoh pengajian. Dengan pinjaman yang diperolehi, ianya dapat membuka lebih banyak peluang kepada semua golongan pelajar untuk melanjutkan pengajian di peringkat pendidikan tinggi. 

 

Kemudahan pinjaman pendidikan PTPTN yang disediakan oleh kerajaan ini terbuka kepada pelajar yang menyambung pengajian di Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) dan Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) tempatan sahaja. Ianya selaras dengan Seksyen 2, Akta Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional 1997 (Akta 566) iaitu Institusi Pendidikan Tinggi yang ditubuhkan di bawah:

 

  • Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971
  • Akta Institut Teknologi MARA 1976
  • Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996
  • Politeknik yang ditubuhkan dan diselenggarakan oleh Menteri di bawah Akta Pendidikan 1996
  • Mana-mana institusi pendidikan tinggi lain yang ditubuhkan atau disifatkan telah ditubuhkan di bawah Akta Pendidikan 1996 dan yang ditentukan oleh Menteri sebagai suatu institusi pendidikan tinggi

 

Apabila berbicara mengenai PTPTN ini, pelbagai persoalan timbul sama ada dalam kalangan pelajar mahu pun ibu bapa. Oleh itu, kami kongsikan panduan permohonan pinjaman PTPTN berkonsepkan pertanyaan dan jawapan. Kebiasaanya, pertanyaan inilah yang kerap kali diajukan saban tahun. Dengan menggunakan konsep ini, ianya lebih mudah untuk anda memahaminya bukan?. Berikut merupakan soalan yang sering ditanya :

Apakah syarat permohonan Pinjaman Pendidikan PTPTN?

 

Sila KLIK DISINI untuk semak syarat kelayakan yang telah ditetapkan oleh PTPTN.

 

Bilakah permohonan PTPTN akan dibuka?

 

Permohonan PTPTN mempunyai tarikh buka dan tutup permohonan mengikut institusi dan program pengajian masing-masing. Untuk menyemak semakan tarikh permohonan PTPTN mengikut institusi dan kursus pengajian tidak kira anda bakal melanjutkan pengajian ke IPTA/IPTS, SILA KLIK DISINI. Bagi anda yang ingin membuat pinjaman pendidikan ini, anda perlu membuat pendaftaran permohonan secara atas talian (online) selepas menerima tawaran kemasukan ke universiti. Kemudian, untuk menghantar dokumen perjanjian dan permohonan kepada pihak PTPTN selepas permohonan diluluskan, anda perlu menyemak tarikh jadual permohonan pinjaman mengikut institusi masing-masing. Ini kerana, PTPTN akan mengadakan road show ke seluruh IPTA/IPTS masing-masing bagi memudahkan pelajar menghantar permohonan pinjaman mereka. Contoh maklumat tarikh permohonan boleh dirujuk pada gambar dibawah.

 

 

 

Langkah untuk memohon PTPTN?

 

Langkah ini perlu dibaca dan difahami dengan teliti. Ini kerana, sekiranya anda membuat kesalahan dalam mana-mana langkah ini, kemungkinan permohonan anda tidak diterima dan anda perlu membeli semula nombor pin untuk membuat permohonan yang baru. Tetapi suka diingatkan bahawa, untuk membuat permohonan yang baru anda perlu memaklumkan kepada pihak PTPTN terlebih dahulu untuk membatalkan permohonan yang lama. Selepas PTPTN membatalkan permohonan yang lama tersebut, barulah anda boleh membuat permohonan yang baru. Leceh bukan?. Oleh itu, pastikan anda betul-betul memahaminya dan tidak membuat sebarang kesilapan. Sila klik pautan berikut untuk ke langkah permohonan  : LANGKAH PERMOHONAN PTPTN.

 

Adakah PTPTN menyediakan tawaran pinjaman pendahuluan kepada pelajar sebagai persediaan untuk mendaftar masuk ke universiti?.

 

PTPTN sedia maklum bahawa tidak semua golongan pelajar yang berkemampuan dari segi kewangan ketika mula mendaftarkan diri ke universiti. Pelajar memerlukan wang untuk membiayai kos sara hidup, barangan kelengkapan diri dan sebagainya sebelum pinjaman dikreditkan ke akaun pelajar. Maka, Wang Pendahuluan Pinjaman berjumlah RM1,500.00 akan diberikan kepada pelajar dalam tempoh dua minggu sebelum pendaftaran pelajar ke universiti. Walau bagaimanapun, pelajar perlu memenuhi syarat-syarat berikut sebelum layak untuk menerima WPP ini. Syarat-syaratnya adalah seperti berikut:

 

  • Pelajar telah membuat persetujuan menerima WPP;
  • Pelajar adalah Warganegara Malaysia;
  • Ibu bapa/ Penjaga/ Pelajar adalah Penerima Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M);
  • Pelajar ditawarkan pengajian bagi peringkat pengajian Diploma atau Ijazah Sarjana Muda Sepenuh Masa di IPTA dan Politeknik sahaja;
  • Pelajar tidak mempunyai hutang WPP.

 

Bagi kaedah pengagihan dan pemberian WPP ini adalah seperti berikut:

 

  • Pengeluaran WPP diuruskan dengan menggunakan konsep waran dan tarikh sah laku waran adalah dalam tempoh enam puluh (60) hari dari tarikh dikeluarkan.
  • Waran WPP diagihkan kepada pelajar-pelajar yang sudah berjaya mendapat tempat di IPTA dan Politeknik melalui dua kaedah iaitu serahan tangan atau pengeposan ke alamat pelajar dalam tempoh dua (2) minggu sebelum pelajar mendaftarkan diri ke IPTA dan Politeknik.
  • Pelajar perlu hadir ke cawangan bank yang dilantik (CIMB Bank) dengan membawa MyKad untuk menunaikan waran tersebut.
  • Wakil adalah tidak dibenarkan untuk menunaikan waran.
  • Waran hanya boleh ditunaikan melalui KAUNTER BANK SAHAJA.

 

*Pembayaran semula WPP ini akan ditolak terus daripada pembiayaan pinjaman setiap 3 semester pertama yang akan dikreditkan ke akaun anda kelak. Setiap semester akan ditolak sebanyak RM 500.00. KLIK DISINI untuk dapatkan panduan semakan WPP.

 

Berapakah jumlah amaun pinjaman yang akan diperolehi oleh pelajar sepanjang tempoh pengajian?

 

Amaun pinjaman yang ditawarkan oleh pihak PTPTN adalah mengikut pendapatan isi rumah anda. Terdapat tiga peringkat pinjaman iaitu:

 

  • Pinjaman penuh 100%
    • Sekiranya anda atau penjaga anda disenaraikan sebagai penerima Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M).
  • 75% daripada pinjaman penuh 100%
    • Sekiranya pendapatan keluarga anda  tidak melebihi RM8,000  dan tiada dalam data BR1M.
  • 50% daripada pinjaman penuh 100%
    • Pendapatan keluarga melebihi RM8,000 dan tiada dalam data BR1M.

 

Bagi anda yang ingin mengetahui jumlah sebenar pinjaman di dalam angka mengikut peringkat dan kursus pengajian masing-masing, SILA KLIK DISINI, masukkan nama universiti dan pilih kursus pengajian yang telah ditawarkan kepada untuk membuat semakan jumlah sebenar pembiayaan, tarikh wang dikreditkan dan sebagainya. 

 

 

Bilakah bayaran pertama pinjaman PTPTN akan dikreditkan ke akaun pelajar?

 

Pembayaran pertama pinjaman PTPTN akan dibuat setelah anda memulangkan dokumen perjanjian yang lengkap kepada PTPTN pada semester pertama pengajian iaitu ketika road show PTPTN ke IPT anda. KLIK DISINI untuk semak jadual tarikh pembayaran pinjaman mengikut IPT masing-masing. Kemudian pilih universiti dan kursus pengajian yang ditawarkan. 

 

Bagi semester seterusnya, pembayaran pinjaman kepada pelajar akan dibuat berdasarkan syarat-syarat berikut:

 

  • Masih meneruskan pengajian pada peringkat, jurusan dan IPT yang diluluskan oleh KPM
  • Lulus peperiksaan pada semester sebelumnya dengan keputusan Purata Nilai Gred (PNG) 2.0 ke atas
  • Tidak menerima penajaan dari pihak yang lain.

 

Untuk pengetahuan anda, setelah pinjaman anda dikreditkan ke akaun. Kebiasaanya bagi universiti awam, yuran pengajian sudah di potong oleh pihak IPTA anda manakala bagi IPTS pula, amaun pinjaman keseluruhan akan dikreditkan ke akaun dan anda bertanggungjawab untuk membuat pembayaran yuran pengajian di kaunter yang disediakan oleh Bendahari Universiti masing-masing. PTPTN tidak terlibat dalam urusan pemotongan yuran pengajian IPT. PTPTN akan mengkreditkan terus amaun pinjaman ke akaun pelajar mengikut semester tertakluk kepada pengesahan yang diberikan oleh IPT. Semakan bayaran pinjaman boleh dilakukan di Penyata Pinjaman dan penyata akaun bank peminjam masing-masing. Sebarang pertanyaan melibatkan pemotongan yuran pengajian, anda perlu merujuk kepada IPT masing-masing.

 

Apakah punca yang menyebabkan pinjaman diberhentikan?

 

Pinjaman  pendidikan akan diberhentikan atas sebab-sebab berikut:

 

  • Gagal/berhenti pengajian pada peringkat/ jurusan/ IPT yang diluluskan semasa memohon pinjaman pendidikan
  • Pelajar membuat pembatalan pinjaman pendidikan PTPTN
  • Menerima tajaan lain
  • Pemalsuan maklumat semasa permohonan
  • Penerima biaya diisytihar muflis

 

Bolehkah Pinjaman PTPTN ditukar status daripada pinjaman kepada biasiswa?  

Ya, sudah tentu jika peminjam menamatkan pengajian dengan dianugerahkan "Kelas Pertama" dalam pengajian masing-masing. Penentuan Kelas Pertama adalah mengikut IPT masing-masing. Pelajar hanya perlu menyertakan transkrip akademik yang diperolehi yang mengesahkan bahawa mereka dianugerahkan  kelas pertama dalam pengajian kepada PTPTN.

 

Disamping itu, suka juga kami hendak kongsikan peluang pembiayaan pendidikan yang lain. Jika anda berminat untuk mencuba nasib memohon biasiswa/pinjaman lain yang tiada faedah seperti mana PTPTN, rujuk pada artikel perkongsian dibawah :

  • KLIK DISINI untuk semak biasiswa terkini yang ditawarkan.
  • KLIK DISINI untuk semak senarai keseluruhan pinjaman/biasiswa yang ditawarkan oleh semua kerajaan negeri
  • KLIK DISINI untuk ketahui adakah pinjaman PTPTN atau BANK RAKYAT lebih berbaloi

 

Semoga perkongsian ini membantu anda!

ARTIKEL BERKAITAN

BERITA BERKAITAN
Berita Terkini

Perlukan
bantuan?
mail