Tip Persediaan sebelum Daftar Masuk ke Universiti yang Wajib Anda Tahu

Diterbitkan oleh Afterschool.my pada Jun 14, 2021, 07:50 am

Selepas menerima tawaran masuk ke universiti, apa yang perlu anda buat?. Menerusi artikel ini kami kongsikan tip persediaan sebelum mendaftar masuk ke universiti sebagai panduan dan persediaan kelak. Tip ini penting supaya anda tahu apa langkah seterusnya selepas mendaftar dan perkara-perkara penting lain. 

 

Kenalpasti halatuju selepas tamat pengajian

Perkara pertama yang wajib dititik beratkan adalah halatuju selepas tamat pengajian. Jika anda ingin menyambung pengajian ke peringkat seterusnya, anda wajib tahu kursus apakah yang layak dipohon berdasarkan kelayakan nanti. Jadi, tidaklah ianya bertentangan dengan minat anda kelak. Paling merisaukan jika kursus yang ditawarkan sekarang tidak diterima untuk sambung ke kursus yang diminati di peringkat seterusnya kelak. Contoh, diploma yang diperolehi tidak layak mohon ke kursus degree yang anda inginkan. Bukankah akan menyesal tidak kesudahan kelak?. Jadi silalah kenalpasti terlebih dahulu. 

 

 

Bagi yang tidak berminat untuk melanjutkan pengajian atau ingin menangguh hasrat menyambung ke peringkat seterusnya pula, tentu anda ingin bekerja. Jadi, eloklah kenal pasti dahulu kerjaya apakah yang boleh diceburi dengan kelulusan yang dimiliki, tangga gaji dan sebagainya. Selepas tamat pengajian kelak, anda sudah tahu halatuju masing-masing. Tidaklah timbul isu tidak tahu kerja apa yang boleh dipohon dan sebagainya. Misal kata, hasil research anda menunjukkan kurang peluang pekerjaan dalam kursus yang ditawarkan, masih ada kesempatan lagi untuk mengubah keputusan tersebut sebelum tarikh pendaftaran masuk ke IPT.

 

Semak struktur program pengajian

Ramai yang terlepas pandang mengenai perkara ini. Maklumlah terlampau excited hendak ke menara gading sehingga lupa untuk ambil tahu tentang kurus yang ditawarkan dan akan dipelajari kelak. Berikut antara perkara yang anda wajib tahu :

 

  • Apakah subjek yang akan dipelajari kelak?
  • Setiap semester perlu ambil berapa subjek?
  • Bagaimana penilaian akademik dibuat mengikut kiraan PNGK/CGPA/Pointer?
  • Peperiksaan dan assignment bagaimana?
  • Berapa lamakah tempoh pengajian untuk setiap semester?
  • Cuti semester berapa lama, bulan berapa?

 

Ramai yang berfikiran 'alah nanti-nanti la fikir bila dah masuk universiti'. BIG NO untuk anda yang abaikan perkara ini. Sekiranya anda ingin membuat persediaan, sila layari laman rasmi IPT masing-masing untuk dapatkan maklumat mengenai IPT dan kursus yang ditawarkan. Rujuk struktur kursus, tempoh pengajian, subjek yang wajib diambil dan sebagainya contohnya, panduan akademik UUM. Walaupun semasa minggu orientasi nanti akan diterangkan tetapi lebih baik jika anda sudah tahu serba sedikit berkenaan perkara tersebut.

 

Semak aktiviti kokurikulum yang boleh disertai

Setiap universiti akan mewajibkan pelajar mengambil salah satu aktiviti kokurikulum. Ianya wajib diambil dan merupakan salah satu syarat yang wajib dipenuhi sebelum layak diberi penganugerahan tamat pengajian. Jadi, kepada anda yang sebelum ini malas menyertai aktiviti kokurikulum di sekolah seperti sukan, persatuan, kelab dan sebagainya, jangan berangan anda boleh mengelak daripada menyertai aktiviti kokurikulum di peringkat IPT. Penglibatan kokurikulum adalah wajib dan mempunyai markah penilaian. Markah penilaian tersebut termasuk dalam kiraan keputusan akademik CGPA (pointer) anda. Kalau gagal subjek kokurikulum yang diambil, anda tiada pilihan selain mengulang semula subjek kokurikulum tersebut sehinggalah lulus. Selagi mana tidak lulus, selagi itulah anda mereput di situ sehinggalah lulus. Jadi, ambil tahu aktiviti kokurikulum yang ditawarkan dan buatlah pilihan berdasarkan minat anda supaya tidak membebankan jiwa dan raga. 

 

 

Pembiayaan Pendidikan

Majoriti kita tidak dilahirkan bersama segunung emas intan dan permata, jadi untuk melanjutkan pengajian kita perlukan pembiayaan sama ada biasiswa atau setidaknya pinjaman pendidikan seperti PTPTN. Makanya, sila ambil tahu biasiswa apakah yang ditawarkan dan layak dipohon selain pinjaman pendidikan sekiranya gagal ditawarkan biasiswa. Untuk semak biasiswa dan pinjaman pendidikan yang boleh dipohon, sila klik pautan dibawah berikut untuk kenalpasti jumlah pembiayaan, syarat kelayakan, tarikh permohonan, tarikh wang dikreditkan ke akaun dan sebagainya  :

 

 

 

Senarai biasiswa dan pinjaman diatas, majoritinya akan diluluskan dan diberikan selepas anda melanjutkan pengajian. Jadi dimanakah sumber bantuan kewangan yang boleh dipohon untuk menampung perbelanjaan yuran pendaftaran, elaun sara hidup dan lain-lain sebelum biasiswa/pinjaman diberikan?. Jangan risau, anda boleh dapatkan bantuan kewangan daripada sumber berikut :

 

  • Mohon di pusat zakat negeri masing-masing (muslim), 
  • Mohon di pejabat kerajaan negeri masing-masing (Pejabat SUK) (muslim & non-muslim) (rujuk terus ke laman rasmi kerajaan negeri/ pusat zakat negeri masing-masing. Akan ada borang disediakan untuk anda mengisi secara manual atau online. Sebelum pendaftaran sumbangan akan diberikan dan sumbangan tersebut tidak perlu dibayar semula)
  • Wakil rakyat setempat 
  • Wang Pendahuluan PTPTN (WPP)
  • Jika sudah masuk mendaftar ke IPT, boleh mohon wang zakat di IPT masing-masing (Majoriti IPT terutamanya IPTA mempunyai pusat zakat universiti dan kebiasaanya pejabat mereka terletak berhampiran masjid)

 

Persekitaran & Kemudahan di kawasan sekitar dan dalam IPT

Tip seterusnya ini penting kerana persekitaran dan suasana IPT sedikit sebanyak akan mempengaruhi mood belajar anda. Lokasi IPT di kawasan bandar atau luar bandar kedua-duanya akan memberi cabaran kepada anda. Antara perkara yang anda boleh kenalpasti sebelum mendaftar adalah :

 

  • Kemudahan pengangkutan dari rumah anda ke IPT (bas, keretapi, flights, grab, teksi dan sebagainya)
  • Kos perjalanan bagi memudahkan anda mengira bajet jika hendak balik kampung dan sebagainya kelak (boleh semak di website pembelian tiket secara online seperti busticketonline, easybook dan sebagainya untuk semak harga)
  • Hotel/chalet terdekat (Jika jauh jarak IPT daripada rumah anda sudah tentu keluarga perlu tinggal di hotel, chalet, homestay dan sebagainya semasa menghantar anda mendaftar kelak)
  • Kemudahan perbankan di kawasan sekitar dan dalam IPT sendiri (Penting sebab nak keluarkan duit nanti)
  • Kafeteria, gerai makan dan sebagainya (contoh kalau anda sukakan fast food tentu hendak tahu mana cawangan KFC, MCD, Pizza Hut dan sebagai yang terdekat kan?)
  • Tempat-tempat menarik yang boleh diterokai disana. Kadang kala perlu juga hiburkan diri buat aktiviti berfaedah selain meneroka tempat orang contohnya buat aktiviti luar seperti jungle trekking, hiking, kayak dan sebagainya selepas penat . Tak adalah anda menangis nak balik sebab rindu pada keluarga atau mati akal kebosanan

 

 

Selain itu, anda juga perlu kenalpasti beberapa perkara yang perlu dielakkan seperti tempat-tempat risiko jenayah yang tinggi. Cuba elakkan supaya anda tidak menjadi mangsa jenayah. Anda pula orang luar, maka lebih mudah untuk mereka menjadikan anda sebagai sasaran. Boleh sahaja google kes-kes jenayah yang berlaku di kawasan sekitar IPT anda.

 

Ketahanan Mental & Fizikal

Tip terakhir daripada kami adalah ketahanan mental dan fizikal. Kenapa ianya penting?. Kita mula dahulu dengan kepentingan ketahanan mental. Tahukah anda ramai pelajar berhenti belajar selepas masuk mendaftar?. Ada diantaranya tidak sampai seminggu dah cabut. Sebab apa?, alasannya rindu keluarga, makanan tak sedap, tiada kawan, tak boleh bawa kursus yang ditawarkan dan pelbagai lagi isu. Majoritinya adalah isu remeh temeh. Alahai oi, bukannya selamanya tak balik ke rumah, boleh sahaja hubungi keluarga setiap hari pun boleh. Kalau makanan tak sedap, takkan semuanya sekali tak sedap, beragak la kalau nak membongak pun. Tiada kawan?. Dah dalam mulut tu ada ketul emas macam mana nak cari kawan. 

 

 

Masa minggu orientasi pun sudah boleh buat kawan sebabnya sudah anda roomate, kemudian semasa minggu orientasi anda akan dibahagi mengikut group kecil, dah boleh jadi rapat. Kemudian akan ada briefing pasal kursus dan jumpalah classmate masing-masing. Masa itulah berkenalan. Jangan diam jadi tunggul kayu saja. Kalau susah sangat nk bergaul, berkawan dahulu dengan seorang dua orang. Normal lah, bukan semua kawan baik kita zaman sekolah masuk ke kursus dan universiti yang sama. Kalau ada pun, akan ada kawan lupakan kawan. Benda normal. Jadi bertenang. Kalau tidak boleh bawa kursus yang ditawarkan, pergi ke pejabat fakulti untuk berbincang dengan ketua jabatan untuk tukar kursus dan sebagainya. Mereka akan pertimbangkan. Jangan diam sahaja dan akhirnya berhenti belajar. Benda kecil macam ni pun anda tak boleh handle bagaimana hendak survive sampai semester akhir dan masuk ke alam pekerjaan kelak?. Cubalah berfikiran lebih matang dan menyahut cabaran. Barulah boleh menjadi orang yang berjaya.

 

Dari segi ketahanan fizikal pula, pastikan badan anda tidak lemau kerana sepanjang minggu orientasi banyak aktiviti akan dilakukan kadang kala sehingga larut malam. Jadi pastikan stamina tu cukup. Makan vitamin Berroca macam Tun M tu ke atau seminggu sebelum pergi mendaftar rehatkan diri. Nikmatilah hari-hari lapang anda kerana selepas ini anda akan kembali berperang semula untuk masa depan anda. 

 

Akhir kata kami ucapkan selamat maju jaya kepada anda dan diharapkan perkongsian ini sedikit sebanyak dapat membantu anda menjalani suka duka seorang mahasiswa/i kelak. Semoga berjaya!. 

 

ARTIKEL BERKAITAN

BERITA BERKAITAN
Berita Terkini

Perlukan
bantuan?
mail