Are you an international student?
Visit the International Students section on our website to find out the latest news and everything you need to know about studying in Malaysia.
Diterbitkan oleh Afterschool.my pada Jun 09, 2021, 06:07 pm
Dalam pemilihan kemasukan ke Universiti Awam/Politeknik/Kolej Komuniti/ILKA perkara utama yang perlu anda tahu selain panduan permohonan adalah apakah kriteria pemilihan kemasukan. Kriteria ini penting supaya anda tahu apakah yang menjadi punca kegagalan dalam permohonan walaupun memenuhi semua syarat kelayakan yang ditetapkan. Berikut kami kongsikan kepada anda seperti mana yang dimuat naik oleh UPU dalam pekeliling permohonan UPU. Terdapat 7 elemen yang menjadi tunjang kepada pemilihan kemasukan pelajar.
Pencapaian akademik dalam peperiksaan SPM dan pencapaian dalam aktiviti kokurikulum
Ramai yang beranggapan bahawa aktiviti kokurikulum itu tidak penting, tetapi tahukah anda ianya termasuk dalam kriteria pemilihan pelajar ke universiti awam. 10% markah kokurikulum akan dinilai melalui kaedah meritokrasi. Jadi jangan sesekali memandang remeh akan hal ini.
Tanggungan, pendapatan dan tempat tinggal (SES) (bagi permohonan ke Politeknik Konvensional / METrO, Kolej Komuniti dan ILKA)
Bagi permohonan ke IPT diatas taraf ekonomi pemohon diambil kira. Pelajar yang kurang berkemampuan akan diberi keutamaan. Ini hanya terpakai di IPT diatas sahaja tidak termasuk ke universiti awam lain.
Kombinasi mata pelajaran yang bersesuaian dengan program pengajian dipohon
Bagi anda yang berbeza kelulusan dan ingin memohon bidang yang lain, perlu berhati-hati. Ini kerana keutamaan diberikan kepada pemohon daripada kelulusan bidang yang sama. Jadi jangan hairan jika ada pemohon yang cemerlang tetapi tidak berjaya dalam permohonan. Jadi dinasihatkan letakkan keutamaan pemilihan program pengajian mengikut bidang kelulusan yang sama. Jika anda berminat memohon bidang pengajian yang berbeza, letakkan di pilihan-pilihan yang terakhir.
Gred mata pelajaran untuk tujuan pengkhususan
Setiap pemohon akan dikategorikan mengikut kelulusan dan bidang pengajian. Sebagai contoh lepasan SPM aliran sains dan aliran sastera.
Kaedah Pengiraan Markah Akademik bagi Aliran Sains :
a) 90 markah dari 5 mata pelajaran berikut:
i. Matematik
ii. Matematik Tambahan
iii. Fizik
iv. Kimia
v. Biologi atau salah satu dari mata pelajaran berikut: Pengajian Kejuruteraan Awam/ Elektrik & Elektronik/ Mekanikal/ Reka Cipta/ Lukisan Kejuruteraan/ Teknologi Kejuruteraan/ Ekonomi Rumah Tangga/ Sains Pertanian/ Teknologi Maklumat/ Prinsip Akaun/ Perdagangan/ Ekonomi Asas/ Pengetahuan Sains Sukan / Pengurusan Makanan
b) 30 markah daripada 3 mata pelajaran terbaik yang lain.
Kaedah Pengiraan Markah Akademik bagi Aliran Sastera :
a) 90 markah dari 5 mata pelajaran berikut: i. Bahasa Melayu ii. Matematik iii. Sains iv. Sejarah v. Pendidikan Islam atau salah satu mata pelajaran berikut: Pendidikan Syariah Islamiah / Pengajian Al-Quran & AlSunnah / Pendidikan Moral
b) 30 markah daripada 3 mata pelajaran terbaik yang lain.
Jadi tidak kira apa sekalipun, aliran anda itu penting. Jika anda aliran sains dan ingin memohon program pengajian daripada bidang sastera, kaedah pengiraan markah merit akademik tetap melihat subjek aliran sains sebagai keutamaan.
Memenuhi syarat khas program seperti yang ditetapkan oleh UA, Politeknik, Kolej Komuniti dan ILKA yang dipohon
Lulus temu duga/ujian bagi program bertemu duga/ujian sebelum layak ditawarkan ke kursus yang dipohon
Program pengajian pilihan pemohon mengikut keutamaan
Susunan pemilihan sangat penting, buat susunan program pengajian mengikut keutamaan kerana permohonan pertama akan disaring terlebih dahulu. Sekiranya gagal, program pengajian pilihan kedua dan seterusnya akan disaring sehinggalah pilihan terakhir. Jika pilihan ke 2 misalnya telah berjaya, maka pilihan seterusnya TIDAK AKAN disaring lagi. Jadi susunlah dengan baik mengikut minat anda dan keutamaan. Jangan pakai hentam sahaja. Lihat rajah saringan dibawah yang dikongsikan oleh UPU.
Bilangan tempat yang disediakan oleh UA, Politeknik, Kolej Komuniti dan ILKA
Walaupun anda memenuhi semua syarat kelayakan tetapi jika pemohon lain lebih layak berbanding anda dan memenuhi kuota tempat yang disediakan untuk sesebuah kursus, anda akan tetap gagal dalam permohonan.
Oleh itu, jadilah pemohon yang bijak jika tidak mahu gagal dalam permohonan. Pastikan anda tidak melakukan sebarang kesilapan remeh sehingga menyebabkan permohonan gagal atau ditolak.
SEMOGA BERJAYA KAMI UCAPKAN!
Perlukan
bantuan?