Kenapa Graduan Universiti Awam Sukar Dapat Kerja Berbanding IPTS?

Diterbitkan oleh Afterschool.my pada Jun 14, 2021, 06:04 am

Laporan statistik Kajian Pengesanan Graduan 2017 yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menunjukkan bahawa peratusan graduan IPTS mendapat kerja lebih tinggi berbanding UA. Menurut statistik pengangguran berkenaan, seramai 26,776 (52%) graduan daripada UA manakala IPTS 24,804 (48%) dan menjadikan jumlah keseluruhan graduan tamat pengajian 2017 yang menganggur adalah 51,580. Jumlah dan peratusan ini tidak termasuk IPTA lain seperti politeknik, kolej komuniti, ILKA. Statistik sahih ini telah menimbulkan persoalan kenapa majikan lebih tertarik kepada graduan IPTS berbanding UA?. Apakah punca utama yang menyebabkan graduan UA sukar mendapat kerja?. 

 

Kursus Pengajian Tidak Memenuhi Pasaran Kerja

Terdapat banyak kursus pengajian dalam pelbagai bidang ditawarkan di UA berbanding di IPTS. Ada di antara kursus-kursus berkenaan dilihat tidak seiring dengan permintaan pasaran kerja semasa. Hal ini menyebabkan ramai graduan UA, bekerja bukan dalam bidang pengajian masing-masing dan lebih malang menjadi penganggur. Senario ini berbeza di IPTS, kursus pengajian yang ditawarkan seiring dengan keperluan pasaran kerja semasa. Pihak IPTS tidak akan sesekali menawarkan kursus pengajian yang tidak mempunyai potensi kerja.

 

 

IPTS tidak sama seperti UA, mereka perlu menarik pelajar ke institusi mereka jika ingin terus beroperasi berbanding di UA, yang hanya menunggu pelajar untuk memohon. Disebabkan itulah, IPTS perlu memastikan majoriti pelajar yang menamatkan pengajian di institusi mereka mendapat pekerjaan seterusnya menyakinkan ibu bapa dan pelajar lain untuk memilih melanjutkan pengajian di institusi mereka. Jika kursus yang diambil memenuhi kehendak pasaran, sudah tentu mudah ditawarkan pekerjaan dan tidak akan timbul isu persaingan kerana majikan memerlukan tenaga kerja yang ramai. 

 

 

Kurang Jalinan Kerjasama antara UA & Industri

Jika kita lihat di UA, kebanyakan kaedah pembelajaran lebih menfokuskan kepada teori berbanding praktikal. Silibus kursus juga tidak seiring dengan realiti dunia pekerjaan sebenar. Disebabkan itulah, ramai yang berkata belajar tidak sama dengan bekerja. Apa yang dipelajari di universiti sangat jauh berbeza. Persoalanya kenapa ianya perlu berbeza dan tidak seiring?. Bukankah ilmu yang dipelajari itu, bakal digunakan untuk persediaan masuk ke alam pekerjaan?. Itu adalah hakikat di UA, apa yang dipelajari tidak sama dengan realiti ketika bekerja. Jadi bagaimana hendak yakinkan majikan kelak?.

 

 

Berbanding di IPTS, kebanyakan IPTS menjalin hubungan baik dengan pihak industri. Jalinan kerjasama itu penting dalam memastikan silibus kursus bertepatan dengan realiti sebenar dunia pekerjaan dan bukan bergantung kepada teori semata. Maka, tidak hairanlah jika graduan IPTS lebih disukai oleh majikan kerana hasil pembelajaran mereka seiring dengan kehendak industri. Masalah ini telah pun disedari oleh beberapa buah UA dan mereka telah mula memperkenalkan program 2U1i dan 3U1i (Info lanjut berkaitan program ini, sila klik disini). Ianya adalah program pengajian hasil kerjasama antara universiti dan industri. Program pengajian ini pertama kalinya ditawarkan melalui permohonan kemasukan pelajar ke IPTA melalui portal rasmi UPU.  

 

 

Penguasaan Bahasa Inggeris Lemah

Bahasa pengantar bagi kebanyakan kursus di UA adalah bahasa melayu. Misalnya, UKM yang memartabatkan bahasa melayu dalam aktiviti pembelajarannya. Bahasa melayu juga dijadikan sebagai medium komunikasi utama dalam kebanyakan subjek pengajian seperti sesi pembelajaran, pembentangan dan sebagainya. Dalam peperiksaan juga, terdapat segelintir pensyarah yang memberi kelonggaran kepada pelajar untuk menjawab soalan dalam dwi- bahasa walaupun subjek tersebut diajar dalam bahasa Inggeris.

 

Tidak dinafikan bahawa bahasa melayu itu penting dan bahasa inggeris bukanlah kayu pengukur kepada kepandaian dan kebolehan seseorang. Tetapi kita perlu berpijak di bumi yang nyata. Syarikat swasta majoritinya mahu pekerja mereka fasih berbahasa inggeris, tidak terkecuali syarikat yang dimiliki oleh orang melayu. Temuduga kerja juga kebanyakan dikendalikan dalam bahasa Inggeris. Bagaimana pelajar hendak membuktikan kemampuan mereka sekiranya majoriti majikan sudah menolak permohonan kerja hanya kerana tidak fasih berbahasa inggeris?.

 

Kurangnya penggunaan bahasa Inggeris di UA dilihat menjadi punca pelajar kurang keyakinan diri untuk bercakap di khalayak ramai kerana bimbang ada kesalahan tatabahasa dan sebagainya. Hal ini berbeza di IPTS, bahasa komunikasi utama adalah bahasa inggeris termasuk dalam aktiviti pembelajaran atau peperiksaan. Maka, bukanlah sesuatu yang pelik jika keputusan akademik mereka tidaklah sebagus mana tetapi berjaya ditawarkan kerja dek kerana fasih berbahasa inggeris.

 

Walau apa sekalipun puncanya, graduan yang sedang atau bakal menghadapi masalah ini perlu merancang halatuju selepas tamat pengajian dengan baik. Semua pihak termasuk diri mereka sendiri perlu bangun dari lena yang panjang. Usah bermimpi disiang hari lagi. Universiti Awam juga perlu memainkan peranan dengan memperbanyakkan kursus pengajian berteraskan industri semasa disamping kekalkan kursus berkaitan bidang kebudayaan, warisan dan seangkatan dengannya supaya masyarakat tidak lupa akan asal usul mereka. Sungguhpun begitu, tidak perlu juga mengambil terlalu ramai pelajar untuk sesuatu kursus yang kurang potensi kerja tetapi sediakan lebih banyak tempat untuk kursus yang banyak peluang pekerjaan. Guru-guru di sekolah juga seharusnya memberi pendedahan yang jelas dan betul kepada pelajar tentang halatuju kerjaya bukan hanya suruh belajar tetapi tiada halatuju masa depan. 

 

 

Selain itu, UA perlu perbanyakkan kerjasama dengan pihak industri supaya graduan yang dilahirkan sudah bersedia menghadapi cabaran sebenar dunia pekerjaan dan menyumbang kepada pembangunan dan kemajuan ekonomi negara. Bagi pelajar/graduan sendiri, tingkatkan penguasaan bahasa inggeris supaya kemampuan kita tidak diperlekehkan oleh mana-mana pihak. Anda juga boleh rujuk artikel berkaitan dibawah, bagaimana untuk merancang halatuju kerjaya selepas tamat pengajian dibawah :

 

Semoga perkongsian ini bermanfaat dan dijadikan panduan serta peringatan kepada anda semua. SEMOGA BERJAYA!.

BERITA BERKAITAN
Berita Terkini

Perlukan
bantuan?
mail