Semakan Keseluruhan Program Pengajian di IPTA/IPTS/Kemahiran yang Mendapat Pengiktirafan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA)

Diterbitkan oleh Afterschool.my pada Mar 17, 2017, 06:39 pm

Selepas keputusan SPM diumumkan barulah semua calon kelihatan sibuk mengisi permohonan untuk melanjutkan pengajian bersandarkan keputusan yang diperolehi. Ramai yang menjadikan universiti/institusi awam sebagai pilihan yang pertama sebelum keluarnya keputusan.

 

 

Tidak kurang juga yang mahu memilih sahaja universiti swasta kerana melihat kepada situasi semasa, graduan universiti/kolej swasta lebih ramai yang mendapat pekerjaan berbanding institusi/universiti awam selepas tamat pengajian atau program yang diminati tidak melayakkan mereka untuk memohon tetapi di IPTS, program tersebut meletakkan syarat yang lebih rendah berbanding IPTA.

 

 

Ada juga yang memilih untuk melanjutkan pengajian ke bidang kemahiran memandangkan sekarang graduan kemahiran lebih mudah mendapat kerja selepas tamat pengajian. Yuran dan tempoh pengajian juga singkat. Gaji juga lumayan, sama sahaja dengan graduan universiti awam dan swasta yang lain kerana majikan mengukur gred gaji berdasarkan kemahiran.

 

 

Walau apa sekalipun pilihan anda, perkara utama yang perlu dititikberatkan adalah kelayakan program pengajian yang bakal diikuti. Laku ke sijil tersebut selepas tamat pengajian kelak?. Adakah sijil tersebut diiktiraf?. Tidak kira program pengajian di IPTA atau IPTS, secara dasarnya tidak semua program pengajian yang ditawarkan mendapat kelulusan daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA). Jangan ingat, semua program di universiti awam itu diiktiraf!.

 

 

Apa itu MQA?. MQA merupakan satu badan yang bertanggungjawab memberi satu perakuan rasmi bahawa sijil, diploma atau ijazah yang dianugerahkan kepada graduan mencapai standard kualiti dan kriteria yang ditetapkan oleh Malaysian Qualifications Agency (MQA) dan adalah selaras dengan Kerangka Kelayakan Malaysia atau Malaysian Qualifications Framework (MQF).

 

Program yang telah memperoleh Perakuan Akreditasi sahaja layak menggunakan perkataan 'Akreditasi oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA)' atau bentuk kenyataan lain dengan maksud yang sama dalam iklan dan tawaran kursus mereka.

 

KELEBIHAN STATUS MQA

 

Status Akreditasi yang diberikan oleh MQA memiliki beberapa kelebihan tersendiri. Selain ia menjadi tanda aras kualiti program pengajian yang diikuti oleh para pelajar, ia juga memberi manfaat lain seperti berikut:

 

  • Memudahkan pelajar mendapat bantuan kewangan antaranya seperti layak dipertimbangkan untuk mendapat pinjaman daripada agensi pembiayaan seperti Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN)
  • Memudahkan pemindahan kredit untuk ke peringkat pengajian seterusnya, walau bagaimanapun pemindahan kredit subjek tertakluk kepada syarat-syarat dan keputusan muktamad institusi terbabit
  • Membolehkan pelajar melanjutkan pengajian di institusi tempatan atau luar negara
  • Pelajar layak dipertimbangkan untuk menjawat jawatan awam. Selain itu, majikan sektor swasta turut menekankan program yang telah mendapat akreditasi dalam membuat pengambilan pekerja merek
  • Institusi boleh memfrancais program yang diakredit kepada institusi lain, walau bagaimanapun, tertakluk kepada syarat-syarat tertentu

 

 

Nampak dengan jelas kepentingannya?. Jangan sesekali dipandang remeh jika tidak mahu ditipu. Tidak semua IPTS ini mahu mengaut keuntungan, ianya bergantung kepada anda sama ada mudah diperdaya atau sebaliknya. Inilah yang dinamakan ilmu hidup. Pandai sahaja dapat straight A tetapi tidak tahu bagaimana menggunakan kecerdikan untuk hidup, tetap juga akan ditipu. Bak kata pepatah Inggeris "Welcome to the real world".

 

SEMAKAN KELAYAKAN

 

Sebelum membuat semakan, kami berikan sedikit tip iaitu pertama, jika anda sudah memilih kursus manakah yang ingin diikuti dan memenuhi syarat kelayakan, buat semakan sahaja mengikut universiti yang menawarkan kursus itu. Buat carian universiti dan kursus. Jika tiada dalam senarai, hubungi pihak universiti dan minta maklum balas mereka. Jika mereka tergagap hendak menjawabnya atau tiada jawapan maksudnya anda sudah TERTIPU!. Lupakan sahaja dan masih anda kesempatan lagi untuk menukar kursus sebelum anda membuat bayaran yuran pengajian dan mendaftar dengan mereka dan paling sadis menamatkan pengajian dengan sijil yang TIDAK LAKU!.

 

 

Kedua,  jika anda masih tidak tahu hendak melanjutkan pengajian ke mana dan bidang apa. Boleh rujuk juga kursus di semua IPTA/IPTS yang berdaftar di bawah MQA termasuk program pengajian kemahiran. Kami yakin dengan cara itu dapat menyelesaikan masalah kekeliruan dan kebuntuan itu. Jika masih tidak tahu memilih kursus apa, apa yang kami boleh katakan bak pepatah Inggeris "Please Grow Up!". Kepada anda yang sedang dalam pengajian juga boleh menyemak sama ada program yang diambil memiliki kelayakan MQA atau pun tidak. Oleh itu, kami kongsikan semakan mengikut kategori IPTA dan IPTS seperti berikut . Klik pautan berwarna biru di bawah untuk membuat semakan.

 

INSTITUSI PENGAJIAN AWAM

 

Kelayakan akreditasi MQA bagi program pengajian yang ditawarkan di semua Universiti Awam

Kelayakan akreditasi MQA bagi program pengajian yang ditawarkan di semua Politeknik

Kelayakan akreditasi MQA bagi program pengajian yang ditawarkan di semua Kolej/Institusi Awam

 

INSTITUSI PENGAJIAN SWASTA

Kelayakan akreditasi MQA bagi program pengajian yang ditawarkan di semua Universiti Swasta

Kelayakan akreditasi MQA bagi program pengajian yang ditawarkan di semua Kolej Universiti Swasta

Kelayakan akreditasi MQA bagi program pengajian yang ditawarkan di semua kolej/institusi  

INSITUSI KEMAHIRAN

 

Kelayakan akreditasi MQA bagi program pengajian yang ditawarkan di semua institusi kemahiran

 

Akhir kata, diharapkan perkongsian ini membantu anda supaya tidak terjerumus dengan sijil palsu dan sebagainya. Walau apa sahaja pilihan anda, selagi mana sijil tersebut diakui oleh MQA, anda tidak perlu risau ditipu dan sebagainya. Peluang untuk bekerja dengan kerajaan mahu pun syarikat swasta terbuka luas. Tiada istilah anda dari IPTA mahu pun IPTS. INGAT! perakuan program pengajian itu yang penting bukan institusi. Jika IPTA sekali pun tetapi program tidak diakui tiada guna. Apa- apa pun kami mengucapkan selamat maju jaya.

ARTIKEL BERKAITAN

  

BERITA BERKAITAN
Berita Terkini

Perlukan
bantuan?
mail