STPM Sukar? Fakta atau Mitos?

Diterbitkan oleh Afterschool.my pada Feb 18, 2020, 01:15 am

Selepas menamatkan Sijil pelajaran Malaysia (SPM) tentu ramai yang buntu memilih ke mana hendak melanjutkan pengajian. Ramai yang bertanya antara Matrikulasi, Tingkatan 6, Diploma atau Asasi, mana satu yang merupakan jalan singkat untuk mendapatkan ijazah?. Ramai yang menyatakan STPM itu susah, Matrikulasi pula jika "kantoi" terpaksa memohon semula dengan menggunakan keputusan SPM, sijil pula tidak laku untuk memohon pekerjaan.

 

Jika diploma di IPTA, seakan sukar untuk diterima masuk memandangkan keputusan SPM yang kurang baik selain terpaksa bersaing sengit manakala diploma di IPTS, yuran pula mahal. Program Asasi? Lupakan sahaja jika bukan benar-benar cemerlang. Ini kerana majoriti pelajar Asasi adalah dalam kalangan mereka yang memperolehi keputusan SPM cemerlang. Apa sekali pun tanggapan anda, persoalannya adakah itu fakta atau sekadar mitos semata-mata?.

 

 

Bagi menjawab persoalan berkenaan, kami gunakan konsep soalan dan jawapan dengan merujuk kepada soalan yang sering disoal oleh majoriti dalam kalangan pelajar lepasan SPM. Menerusi artikel ini kami fokuskan dahulu fakta atau mitos mengenai STPM. Kemudian akan diikuti dengan matrikulasi, diploma dan asasi. Jadi teruskan bersama kami untuk mengetahui sama ada ianya benar atau sengaja diada-adakan cerita sahaja. Jom semak adakah soalan-soalan berkaitan STPM ini bermain dalam fikiran anda. Jika ya anda tentunya tidak salah artikel!.

Betul ke STPM tu susah gila?  

      

Untuk makluman anda, Tingkatan Enam telah mula beroperasi di sekolah-sekolah menengah harian bantuan penuh kerajaan lebih daripada 50 tahun dahulu. Kebanyakkan guru-guru juga adalah lulusan STPM. Bermula pada tahun 2013, STPM telah diubah format menerusi penjenamaan semula dan menjadi salah satu inisiatif KPM dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013 - 2025. Sebelum ini formatnya adalah sama sahaja seperti SPM, iaitu peperiksaan akhir yang akan tentukan kelayakan pelajar ke universiti.

 

Tahukah anda majoriti mereka yang menjejak kaki ke universiti adalah dalam kalangan pelajar lepasan Tingkatan enam walaupun hakikatnya STPM ini dikatakan sukar?. Tahukah anda juga, mereka ini majoritinya juga mendapat keputusan yang kurang baik dalam SPM?. Disebabkan kekecewaan tersebut, mereka menebus kembali kegagalan itu sehingga berjaya memperolehi keputusan yang cemerlang dalam STPM. Oleh itu, jika anda adalah pelajar cemerlang tentu anda tiada masalah bukan?.

  

Apakah syarat kelayakan masuk ke Tingkatan Enam?

 

Berdasarkan pandangan majoriti, syarat kemasukan ke STPM dilihat lebih mudah berbanding syarat kemasukan ke matrikulasi, diploma dan asasi. Pelajar yang mendapat keputusan SPM yang kurang baik juga boleh membuat rayuan dan diterima masuk ke Tingkatan Enam. Berikut adalah syarat kemasukan ke STPM :

 

  • Memiliki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
  • Menepati syarat-syarat umum dan khusus bagi aliran yang diambil
  • Lulus SPM dengan mendapat kepujian bagi mata pelajaran Bahasa Malaysia.
  • Bagi melayakkan murid ke aliran Sains Sosial, jumlah mata unit bagi tiga mata pelajaran yang terbaik mestilah tidak melebihi 12.
  • Aliran Sains pula tidak melebihi 18 mata unit.
  • Aliran Agama tidak melebihi 14 mata unit.

 

Kebiasaanya, pelajar akan ditawarkan secara automatik ke tingkatan enam jika tidak mendapat mana-mana tawaran untuk melanjutkan pengajian. Namun, ada juga diantaranya tidak ditawarkan. Ini berkemungkinan, mereka mendapat tawaran lain atau mendapat keputusan SPM yang kurang baik. Tetapi jangan terlalu risau kerana, pelajar masih boleh membuat rayuan. Seandainya anda termasuk dalam kategori tersebut nanti, anda boleh muat turun borang rayuan dengan klik di sini sebagai persediaan sekiranya tidak mendapat tawaran kelak. Isikan dengan lengkap dan hantar ke sekolah pusat tingkatan enam masing-masing.

 

Berapa lamakah tempoh pengajian di Tingkatan Enam?

 

 

Tempoh pengajian di Tingkatan Enam adalah selama setahun setengah yang telah dibahagikan kepada tiga penggal (semester). Selepas anda menamatkan pengajian selama 3 penggal ini, anda boleh terus memohon untuk kemasukan ke universiti awam atau swasta bagi pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda dengan menggunakan keputusan STPM anda. Menariknya anda sudah tidak perlu mengambil diploma dan sebagainya untuk melayakkan anda ke universiti. Jimat masa bukan?

 

Apakah aliran yang ditawarkan di peringkat STPM?

 

 

Jika anda berminat melanjutkan pengajian ke peringkat STPM, anda boleh memilih 3 aliran pengajian iaitu Aliran Sains Sosial, Aliran Sains dan Aliran Agama. Menerusi ketiga-tiga aliran ini anda boleh memohon bidang apa sekalipun di universiti. Peluang anda masih terbuka berbanding pelajar diploma atau asasi yang tentu-tentunya tiada pilihan lain melainkan meneruskan pengajian dalam bidang yang sama. Berikut dikongsikan kurikulum STPM yang wajib diambil oleh semua pelajar :

 

  • Pelajar wajib mengambil 4 atau 5 mata pelajaran sahaja termasuk mata pelajaran wajib iaitu Pengajian Am dan  Mata pelajaran MUET.
  • Subjek Pilihan lain mengikut aliran adalah Bahasa Melayu, Bahasa Cina, Bahasa Tamil, Bahasa Arab, Literature in English, Kesusasteraan Melayu Komunikatif, Syariah, Usuluddin, Sejarah, Geografi, Ekonomi, Pengajian Perniagaan, Perakaunan, Matematik (M), Matematik (T), Information and Communication Technology (ICT), Fizik, Kimia, Biologi, Sains Sukan, Seni Visual.
  • Semua murid Tingkatan Enam juga diwajibkan untuk terlibat dalam aktiviti kokurikulum dan pemarkahan 10 % kokurikulum adalah berdasarkan pengiraan 2 markah tertinggi dalam Kelab/ Persatuan, Sukan/ Permainan serta Badan Beruniform

  Apakah penilaian untuk masuk ke universiti?  

Melanjutkan pengajian ke tingkatan enam tentunya untuk mendapat tiket masuk ke universiti bukan?. Format penilaian untuk melayakkan pelajar masuk ke universiti adalah melalui peperiksaan akhir setiap penggal dan kerja kursus. Setiap penggal, pelajar akan mempelajari misalnya tiga topik kemudian diikuti dengan peperiksaan yang berkisarkan mengenai tiga topik itu sahaja. Ini tentunya memudahkan pelajar untuk skor dalam peperiksaan. Pelajar juga beruntung kerana sekiranya terdapat subjek yang gagal, mereka boleh memperbaiki keputusan berkenaan dengan menduduki peperiksaan ulangan.

 

Diakhir semester, markah terbaik setiap penggal peperiksaan akan dikumpulkan kemudian markah itulah yang bakal melayakkan anda untuk masuk ke universiti. Kebiasaanya juga, majoriti lepasan STPM akan mudah diterima untuk masuk ke universiti berbanding kelayakan yang lain walaupun mendapat CGPA yang rendah berbanding lepasan matrikulasi, diploma dan sebagainya. Maksudnya di sini, pelajar STPM yang akan diberi keutamaan kemudiannya matrikulasi dan seterusnya untuk masuk universiti. Jadi mana satu pilihan anda?. Mungkin anda sudah ada jawapannya sekarang.

 

 

Adakah sijil STPM diiktiraf?

 

 

Dari segi pengiktirafan, STPM mendapat pengiktirafan dalam dan luar negara iaitu pengiktirafan daripada Kerajaan Malaysia, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), dan Cambridge Assessment, England. Bagi pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan STPM dan kokurikulum, mereka layak memohon untuk melanjutkan pengajian ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dalam dan luar negara. Oleh itu, jika anda ingin disanjung ambillah STPM kerana percaya atau tidak STPM merupakan salah satu peperiksaan paling sukar di dunia. Dari segi peluang pekerjaan, lulusan STPM boleh menjawat jawatan dalam perkhidmatan awam dengan menggunakan Sijil STPM sekiranya tidak mahu menyambung pengajian ke peringkat ijazah. Ini kerana, sijil STPM adalah setaraf sijil Diploma.

 

Berapa yuran untuk ambil STPM, mahal ke, bagaimana dengan biasiswa?

 

Dari sudut pembiayaan kewangan, tiada yuran dikenakan bagi pelajar sekolah kerajaan dan sekolah bantuan penuh kerajaan malah mereka juga turut diberikan bantuan biasiswa yang boleh dipohon melalui sekolah masing-masing selepas menerima tawaran belajar di Tingkatan 6. Oleh itu, kewangan bukanlah menjadi masalah kepada pelajar yang kurang berkemampuan. Jika anda mengambil diploma, pastinya anda perlu membuat pinjaman pendidikan. Kemudian apabila masuk ke universiti, anda terpaksa berhutang lagi kecuali anda memperolehi keputusan yang cemerlang. Pinjaman anda akan bertukar kepada biasiswa.

 

Jadi dapat disimpulkan bahawa, STPM ini walaupun ianya dilihat sebagai satu peperiksaan yang sukar, pembelajaran yang padat dalam masa yang singkat namun sekiranya anda berjaya memperolehi sijil STPM tentu sahaja masa depan anda akan cerah selain turut membuka peluang kepada anda yang mungkin kurang berkemampuan. Jika anda masih terfikir ianya sukar, cuba anda renungkan atau bertanyakan kepada guru anda, majoriti pelajar STPM yang layak masuk ke universiti ini dahulunya dalam kalangan pelajar pandai atau sebaliknya?. Jika mereka menjawab sebaliknya, kami lontarkan semula soalan kepada anda. Mengapa mereka boleh anda tidak boleh?. Oleh itu, jangan pernah terfikir akan kegagalan tetapi berusaha untuk mengelakkan kegagalan itu. 

ARTIKEL BERKAITAN YANG WAJIB DIBACA

BERITA BERKAITAN
Berita Terkini

Perlukan
bantuan?
mail