Peminjam PTPTN Kekal Tersenarai dalam CCRIS Walaupun Senarai Hitam Imigresen telah Dihapuskan

Diterbitkan oleh Afterschool.my pada Jun 26, 2018, 02:20 am

Selepas tertubuhkan kerajaan baru Pakatan Harapan, kerajaan telah mengotakan janji mereka untuk memadam senarai nama peminjam PTPTN yang disenarai hitam ke luar negara secara berperingkat. Walau bagaimanapun, bagi peminjam yang dikenakan CCRIS, mereka kekal tersenarai dalam senarai hitam kewangan dan permohonan pinjaman bank mereka sukar diluluskan bagi tujuan pembelian kereta, rumah, hartanah dan sebagainya. 

 

Ketua Eksekutif PTPTN, Wan Ahmad Wan Yusoff dalam kenyataan beliau berkata, walaupun kerajaan membersihkan senarai hitam imigresen, peminjam yang gagal membuat pembayaran selepas tempoh 12 bulan tamat pengajian akan tetap tersenarai dalam sistem maklumat rujukan kredit pusat (CCRIS).

 

Apa itu CCRIS? CCRIS (Central Credit Reference Information System) ialah rekod yang diselia oleh Bank Negara Malaysia yang mengawasi corak pembayaran balik pinjaman anda. Ianya melibatkan maklumat berikut :

  • Butiran mengenai pinjaman anda dengan setiap institusi kewangan di Malaysia
  • Rekod pembayaran pinjaman bagi tempoh 12 bulan yang lepas termasuk sebarang tunggakan
  • Sebarang pinjaman di bawah pemerhatian bank 
  • Pinjaman yang telah melalui penjadualan dan penstrukturan semula 

 

Apabila anda ingin membuat permohonan pinjaman bank (pinjaman perumahan atau peribadi), bank akan menyemak rekod CCRIS anda untuk mengakses corak pembayaran anda. Walaupun setiap bank mempunyai kriteria kredit yang berbeza, anda boleh dianggap mempunyai rekod CCRIS yang kurang baik jika pembayaran anda tertunggak selama 2- 3 bulan dalam tempoh 6 bulan yang lepas (termasuk PTPTN) atau anda mempunyai pinjaman di bawah pemerhatian bank. Rekod buruk ini bakal menjejaskan kelulusan pinjaman anda.

 

Ramai yang beranggapan bahawa mereka telah disenarai hitam oleh CCRIS, sebenarnya CCRIS tidak akan menyenarai hitam anda.  Mereka hanya memberikan rekod kredit anda kepada institusi kewangan, jika anda ingin memohon pinjaman kewangan. Pihak pemberi pinjaman akan membuat penilaian kredit anda sebelum mereka meluluskan permohonan pinjaman tersebut.

 

Bagaimana ingin menghapus rekod buruk CCRIS jika disebabkan oleh PTPTN?. Kepada peminjam yang ingin menghapuskan nama mereka dari senarai CCRIS berkenaan, peminjam masih boleh berunding dengan pihak PTPTN untuk mengurangkan jumlah pembayaran balik pinjaman yang mampu dibayar setiap bulan. Sekiranya peminjam dikenakan bayaran RM100 sebulan dan tidak mampu, bayaran boleh dikurangkan ke RM50 setiap bulan. Kemudian, barulah mudah sekiranya ingin memohon pinjaman kereta, rumah dan sebagainya.

 

Sementara itu, perkembangan terkini berkaitan isu PTPTN, pihak kerajaan memutuskan bahawa hanya senarai hitam imigresen sahaja yang dihapuskan tetapi peminjam yang memperoleh gaji bawah RM 4,000 masih tetap perlu membuat pembayaran bulanan mengikut jumlah yang telah ditetapkan oleh PTPTN seperti biasa. Pelaksanaan janji itu ditangguhkan sehingga ke suatu tarikh yang akan dimaklumkan kelak oleh pihak kerajaan. 

 

 

Jadi, sekiranya anda tidak mampu membayar jumlah bayaran yang perlu dibayar setiap bulan, boleh hadir ke kaunter PTPTN untuk berunding dengan pegawai PTPTN bagi mengurangkan jumlah bayaran balik tersebut. Untuk info lain berkaitan dengan PTPTN, anda boleh rujuk artikel berkaitan dibawah :

SEMOGA PERKONGSIAN INI BERMANFAAT!.

BERITA BERKAITAN
Berita Terkini

Perlukan
bantuan?
mail