Soal Jawab Lazim Berkaitan Permohonan, Saringan Ujian e-UKCG, Temuduga & Keputusan Tawaran Ke Institut Pendidikan Guru (IPG)

Diterbitkan oleh Afterschool.my pada May 05, 2020, 11:43 am

Pelbagai pertanyaan diajukan kepada kami mengenai permohonan ke IPG, tak sempat kami hendak menjawabnya. Jangan pening kepala, berikut kami kongsikan soalan lazim yang sering ditanya mengenai permohonan ke IPG termasuk tarikh dan kaedah temuduga yang akan dilaksanakan. UNTUK SEMAKAN KEPUTUSAN, KLIK DISINI.

 

PERMOHONAN

  • Permohonan calon akan ditapis berdasarkan syarat kelayakan dan kriteria yang telah ditetapkan oleh KPM.
  • Calon yang terpilih diwajibkan menjalani Ujian Kelayakan Calon Guru (e-UKCG) secara dalam talian dan diwajibkan menyediakan rakaman Video Pengajaran (VP) serta Video Kecergasan Fizikal (VKF) dan menghantar link/ url menerusi portal PISMP.

 

S1. Siapakah yang boleh layak memohon?

J. Pelajar lepasan SPM tahun 2020, 2019 dan 2018.

 

S2. Adakah syarat umur ditetapkan?

J. Umur tidak melebihi 20 tahun pada 30 Jun 2021.

 

S3. Di manakah saya boleh mendapat maklumat program yang di tawarkan?

J. Maklumat boleh didapati dari laman sesawang Kementerian Pendidikan Malaysia https://www.moe.gov.my/   

 

S4. Apakah perbezaan antara Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) dengan Program Penghantaran Pelajar Cemerlang (PPC)  Ke Luar Negara Pendidikan Islam?

J. Perbezaan utamanya ialah dari segi syarat, Syarat minimum bagi PISMP ialah cemerlang dalam lima (5) mata pelajaran SPM manakala  syarat minimum bagi PPC ialah cemerlang dalam tujuh (7) mata pelajaran SPM.

 

S5. Di manakah saya boleh memohon?

J. Pemohonan boleh dibuat melalui https://pismp.moe.gov.my/

 

S6. Berapakah pilihan bidang yang boleh dibuat?

J. Pemohon perlu membuat dua pilihan bidang sahaja.

 

S7. Apakah syarat minimum untuk saya memohon?

J1. Lulusan SPM 2020  tiada syarat minimum yang dikenakan, anda boleh memohon berdasarkan kepada keputusan periksaan percubaan SPM dan bagi yang tidak menduduki peperiksaan percubaan pemohon boleh menggunakan keputusan akhir tahun tingkatan empat. Tawaran bergantung kepada keputusan SPM sebenar.

J2. Lulusan SPM 2018 dan 2019, pemohon mesti memenuhi syarat umum dan syarat bidang yang telah ditetapkan.

 

S8. Adakah saya perlu menyemak syarat permohonan?

J. Ya, pemohon mesti menyemak syarat permohonan yang telah ditetapkan kerana IPG akan membuat padanan pemohonan dengan keputusan peperiksaan sebenar SPM bagi pemohon SPM tahun semasa (SPM 2020).

 

S9. Apakah keputusan yang saya akan gunakan semasa pemohonan?

J1. lulusan SPM 2020 akan menggunakan keputusan percubaan SPM manakala lulusan SPM bagi negeri yang tidak melaksanakan peperiksaan percubaan akan menggunakan keputusan akhir tahun tingkatan empat.

J2. Lulusan SPM 2018 dan 2019 akan menggunakan keputusan sebenar SPM.

 

S10. Saya telah memenuhi keperluan syarat minimum permohonan tetapi masih gagal membuat pilihan program/bidang?

J. Selain dari memenuhi syarat asas yang ditetapkan , pemohon juga perlu memenuhi syarat bidang pengkhususan yang dipohon.

 

S11. Berapa kali saya boleh mengemas kini permohonan?

J. Pemohon boleh mengemaskini sehingga tarikh akhir permohonan (15 April 2021).

 

S12. Di manakah saya boleh mendapatkan penjelasan lanjut tentang pengisian permohonan terutamanya syarat khusus bidang pengajian yang dipohon?

J. Anda boleh merujuk di https://pismp.moe.gov.my/       

 

B. SARINGAN e-UJIAN KELAYAKAN CALON GURU (e-UKCG)

  • e-UKCG terdiri daripada Bahagian A  (120 soalan) dan Bahagian B (60 soalan). Calon MESTI menjawab dalam tempoh 45 minit secara dalam talian iaitu 30 minit untuk Bahagian A dan 15 minit untuk Bahagian B.
  • Calon hanya dibenarkan menjawab sekali sahaja dalam jangka masa yang ditetapkan.
  • Sekiranya calon tidak menduduki e-UKCG secara dalam talian pada masa yang ditetapkan, calon akan dikira gagal dalam peringkat saringan.

 

S1. Apakah e-UKCG?

J. e-UKCG adalah merupakan ujian psikometrik secara atas talian yang digunakan oleh IPGM KPM untuk menyaring calon-calon yang memohon latihan perguruan di IPG. Hanya calon yang lulus e-UKCG layak dipertimbangkan untuk menduduki saringan seterusnya.

 

S2. Bilakah e-UKCG PISMP dijalankan?

J. e-UKCG PISMP 2021 akan dijalankan pada 1 hingga 25 April 2021.

 

S3. Bolehkah calon menukar tarikh e-UKCG yang telah ditetapkan?

J. TIDAK. Calon tidak dibenarkan menukar tarikh e-UKCG dan calon perlu bersedia untuk menduduki ujian tersebut pada tarikh yang telah ditetapkan.

 

S4. Bagaimana calon boleh mengetahui status layak e-UKCG?

J. Calon yang telah melengkapkan permohonan PISMP 2021 secara dalam talian akan diberi tarikh menduduki e-UKCG. Sila peka dan ingat tarikh e-UKCG yang ditetapkan.

 

S5. Adakah calon ditempatkan di pusat-pusat tertentu untuk menduduki e-UKCG?

J. TIDAK. Calon boleh menduduki e-UKCG di kediaman masing-masing atau di mana-mana tempat yang mempunyai talian internet yang baik.

 

S6. Bagaimana sekiranya calon sukar mendapatkan talian internet untuk menduduki e-UKCG di rumah?

J. Calon boleh menduduki e-UKCG di kawasan atau tempat lain yang ada menyediakan perkhidmatan internet dengan baik seperti kafe siber, pusat ICT kampung, sekolah, perpustakaan awam atau di kawasan-kawasan yang menyediakan internet tanpa wayar. Perlu diingatkan, e-UKCG adalah SULIT. Calon tidak dibenarkan menunjuk, membuka ruang untuk orang lain melihat atau menyebarkan soalan ujian kepada individu atau pihak lain.

 

S7. Apakah alat yang boleh digunakan untuk menjawab e-UKCG?

J. e-UKCG hanya boleh dijawab secara dalam talian. Oleh itu calon memerlukan talian internet dan digalakkan menggunakan komputer atau komputer riba untuk menjawab e-UKCG untuk lebih selesa. Walau bagaimanapun calon boleh menjawab menggunakan alat-alat lain seperti telefon bimbit atau tablet.

 

S8. Di manakah calon boleh mendapatkan panduan untuk menduduki e-UKCG?

J. Panduan kepada calon untuk menduduki e-UKCG disediakan. Calon boleh memuat turun panduan dan membaca dengan teliti sebelum mula menjawab.

 

S9. Apakah persediaan yang perlu calon lakukan sebelum menduduki e-UKCG?

J1. Calon akan ditetapkan tarikh untuk menduduki e-UKCG. Calon perlu peka dengan tarikh yang diberi dan membuat persediaan awal seperti mengenal pasti lokasi yang sesuai untuk menjawab sekiranya tiada talian internet di rumah.

J2. Pastikan calon membaca dan memahami arahan soalan dengan teliti sebelum membuat pengesahan untuk menjawab soalan.

J3. e-UKCG mengandungi banyak soalan dan perlu dijawab dalam tempoh masa yang terhad. Oleh yang demikian, calon dinasihatkan untuk menjawab secara spontan. Pilih jawapan yang sesuai dengan diri sendiri.

 

S10. Bolehkah calon berbincang dengan keluarga atau orang lain semasa menjawab e-UKCG?

J. TIDAK. Calon tidak dibenarkan berbincang atau bertanya kepada ahli keluarga atau orang lain semasa menjawab e-UKCG.

 

S11. Setelah calon selesai menjawab e-UKCG dan klik butang hantar, adakah calon boleh menjawab semula ujian tersebut?

J. TIDAK. Calon tidak lagi boleh menjawab e-UKCG setelah hantar.

 

S12. Bagaimana sekiranya berlaku gangguan semasa calon menjawab e-UKCG seperti kerosakan talian internet, terputus bekalan elektrik, kerosakan komputer dan sebagainya?

J. Sekiranya berlaku gangguan seperti di atas yang menyebabkan calon tidak boleh meneruskan ujian, calon perlu memohon untuk meneruskan ujian dengan klik butang [ Aduan Ralat ]. Calon akan diberikan tarikh/masa baharu untuk meneruskan ujian. Sila baca arahan dengan teliti.

 

C. TEMU DUGA

 PENYEDIAAN DAN PENGHANTARAN VIDEO PENGAJARAN (VP)

  • Calon yang lulus e-UKCG sahaja dikehendaki menyediakan VP.
  • Menghasilkan VP antara 6 ke 8  minit dan muat naik ke aplikasi Youtube. Rakaman VP hendaklah dibuat dalam tetapan 'Unlisted' sahaja untuk dibuka dan dinilai oleh panel penilai. Adalah diingatkan bahawa risiko ketidakpatuhan kepada perkara ini adalah di bawah tanggungjawab calon sendiri.
  • Hantar link/ URL VP ke portal PISMP setelah butang setuju terima dilaksanakan. Garis Panduan Penyediaan Video Pengajaran akan dimaklumkan hanya kepada calon yang berjaya dipanggil untuk menduduki saringan e-UKCG.
  • Sekiranya calon tidak menghantar VP, calon akan dikira gagal dalam peringkat saringan.
  • Penyediaan VP hanya akan dilakukan pada calon yang melepasi syarat bidang.

 

S1. Adakah temu duga bersemuka masih dilaksanakan?

J. TIDAK. Temu duga bersemuka digantikan dengan penilaian rakaman video. Anda dikehendaki menyedia dan menghantas video demonstrasi pengajaran ataupun bercerita cerita kanak-kanak untuk dinilai.

 

S2. Adakah semua calon yang memohon IPG perlu menyediakan rakaman video?

J. TIDAK. Hanya pemohon yang lulus UKCG sahaja dikehendaki menyediakan rakaman video berdasarkan garis panduan yang disediakan.

 

S3. Bilakan saya akan dimaklumkan untuk menyediakan rakaman video?

J. Anda akan mengetahui tarikh penyediaan video apabila membuat semakan keputusan UKCG melalui portal yang ditetapkan. Anda perlu memasukkan ID dan kata laluan untuk membuat semakan.

 

S4. Apakah kandungan rakaman video yang perlu disediakan?

J. Kandungan video yang perlu disediakan merangkumi komponen Pengenalan Diri dan Demonstrasi Pengajaran/ Bercerita Kanak-Kanak. Satu garis panduan lengkap telah disediakan sebagai rujukan pemohon menyediakan rakaman video yang boleh dimuat turun daripada portal yang ditetapkan. Anda dinasihatkan untuk membaca segala arahan yang terkandung dengan teliti.

 

S5. Berapa lamakan tempoh rakaman video yang perlu saya sediakan?

J. Anda diberi tempoh selama 45 hari bermula pada 30 April 2021 hingga 16 Mei 2021 untuk menyediakan rakaman video. Anda dikehendaki menghantar link/url rakaman video kepada IPGM menerusi portal PISMP selewat-lewatnya pada 16 Mei 2021 jam 11.59 malam.

 

S6. Bagaimanakah sekiranya saya tidak mematuhi garis panduan/pengisian rakaman video yang disediakan?

J. Rakaman video anda TIDAK akan dipertimbangkan untuk dinilai oleh panel penilai.  Permohonan anda juga TIDAK akan diperaku.

 

S7. Sekiranya saya tidak menghantar rakaman video/menghantar selepas tarikh yang ditetapkan adakah permohonan saya layak dipertimbangkan?

J. Permohonan anda TIDAK LAYAK untuk dipertimbangkan/diperaku.

 

S8. Adakah saya akan dihubungi sekiranya IPGM ingin mendapatkan maklumat tambahan/lanjut tentang diri saya?

J. YA. Dalam tempoh penilaian rakaman video dibuat, anda juga boleh dihubungi oleh panel penilai menerusi panggilan video /Skype/panggilan telefon bagi tujuan mendapatkan maklumat tambahan/lanjut tentang diri anda. Oleh itu, anda dikehendaki bersedia dengan gajet dan aplikasi yang bersesuaian (telefon pintar/komputer riba/PC/Skype) dan kemudahan internet bagi melancarkan perbualan. Anda akan dihubungi terlebih dahulu supaya anda bersedia dengan Tarikh dan masa yang sesuai untuk mengadakan perbualan.

 

S9. Apakah tindakan yang akan dikenakan sekiranya saya memuat naik rakaman video dalam mana-mana media sosial?

J. Semua rakaman video yang dihantar adalah menjadi hak milik KPM. Justeru, anda tidak dibenarkan memuat naik rakaman video tersebut di mana-mana media sosial. Sekiranya anda didapati melakukan perkara tersebut, permohonan anda akan TERBATAL dengan serta merta.

 

D. PENYEDIAAN RAKAMAN VIDEO KECERGASAN FIZIKAL (VKF)

  • Calon perlu menyediakan rakaman VKF mengikut garis panduan yang telah ditetapkan. Sila baca dengan teliti arahan dan garis panduan yang diberi.
  • Rakaman VKF hendaklah dibuat dalam tetapan 'Unlisted' sahaja untuk dibuka dan dinilai oleh panel penilai. Adalah diingatkan bahawa risiko ketidakpatuhan kepada perkara ini adalah di bawah tanggungjawab calon sendiri.
  • Hantar link/ URL VKF ke portal PISMP setelah butang setuju terima dilaksanakan.
  • Sekiranya calon tidak menghantar VKF, calon akan dikira gagal dalam peringkat saringan.
  • Penyediaan VKF hanya akan dilakukan pada calon yang melepasi syarat bidang.

 

S1. Apakah Video Kecergasan Fizikal (VKF)?

J. Video Kecergasan Fizikal atau VKF adalah merupakan saringan kecergasan dan kesihatan calon yang dijalankan secara penilaian rakaman video. Calon yang lulus saringan e-UKCG akan diminta menyediakan rakaman VKF mengikut garis panduan yang ditetapkan.

S2. Bolehkah tempoh penyediaan VKF?

J. Calon diminta menyediakan rakaman VKF dalam tempoh antara 30 April hingga 16 Mei 2021. Tarikh akhir calon perlu menghantar rakaman VKF adalah pada 16 Mei 2021.

 

S3. Bolehkah calon menukar rakaman VKF yang telah dihantar?

J. TIDAK. Calon tidak boleh menukar rakaman VKF yang telah dihantar. Oleh itu, calon perlu memastikan terlebih dahulu rakaman VKF yang akan dihantar betul-betul menepati garis panduan yang ditetapkan.

 

S4. Bagaimana calon boleh mengetahui perlu menyediakan rakaman VKF?

J. Semakan keputusan e-UKCG akan dikeluarkan mulai 30 April 2021. Hanya calon yang lulus e-UKCG sahaja perlu menyediakan rakaman VKF.

 

S5. Apakah alat yang boleh digunakan untuk membuat rakaman VKF calon?

J. Calon boleh membuat rakaman VKF menggunakan alat perakam video atau telefon bimbit. Kaedah dan spesifikasi rakaman ada dinyatakan di dalam garis panduan yang disediakan. Sila baca dengan teliti.

 

S6. Apakah persediaan yang perlu calon lakukan sebelum membuat rakaman VKF?

J1. Calon perlu membaca garis panduan melaksanakan VKF dengan teliti.

J2. Calon boleh melakukan ujian berulang-ulang kali sebagai persediaan dan latihan. Hanya rakaman VKF yang terbaik sahaja perlu dihantar dalam tempoh yang ditetapkan. Perlu diingatkan bahawa rakaman yang telah dihantar tidak boleh diubah.

J3. Pastikan rakaman video dan audio adalah jelas. Kandungan rakaman yang tidak jelas akan menjejaskan penilaian.

 

E. PEMILIHAN, TAWARAN DAN PENEMPATAN

PEMILIHAN

  • Calon yang terpilih untuk mengikuti program yang ditawarkan adalah bergantung kepada keputusan e-UKCG, perakuan panel penilai  VP dan VKF ,skor merit dan kelulusan oleh Ahli Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Penajaan KPM
  • Semua keputusan adalah muktamad.

PENAWARAN

  • Penawaran bidang pengkhususan dan tempat pengajian adalah muktamad sebarang rayuan tidak dipertimbangkan.

PERJANJIAN PENDIDIKAN GURU

  • Calon yang ditawarkan mengikuti program di institusi yang ditetapkan adalah tertakluk kepada Perjanjian Pendidikan Guru seperti yang telah ditetapkan oleh KPM.
  • Calon hendaklah bersetuju dan patuh dengan kontrak perjanjian untuk berkhidmat di mana-mana sekolah di bawah seliaan KPM termasuk di kawasan pedalaman setelah tamat pengajian.

 

S1. Bolehkah saya menolak tawaran?

J1. Boleh, semasa semakan tawaran.

J2. Selepas menolak tawaran anda tidak akan ditawar semula untuk kali ke dua.

 

S2. Bolehkah saya menukar program/bidang pengajian?

J. Anda TIDAK dibenarkan menukar program/bidang pengajian kerana tawaran adalah muktamad.

 

S3. Bolehkah saya menukar tempat pengajian?

J. Anda TIDAK dibenarkan menukar tempat pengajian kerana keputusan tawaran adalah muktamad.

 

S4. Bolehkah saya menangguh pendaftaran?

J. Anda TIDAK boleh tangguhkan pendaftaran.

 

S5. Adakah saya boleh membuat rayuan?

J. TIDAK boleh merayu.

 

S6. Bilakah saya boleh menyemak keputusan?

J. Pemohon boleh menyemak keputusan pada 16 Julai 2021

 

S7. Di manakah saya boleh menyemak keputusan tawaran?

J. Keputusan boleh disemak di https://pismp.moe.gov.my/

 

S8. Adakah tawaran saya boleh dibatalkan?

J. Boleh sekiranya anda tidak memenuhi syarat dan kriteria yang ditetapkan atau anda menipu semasa pemohonan.

 

S9. Adakah rayuan boleh dibuat?

J. Rayuan tidak dibuka.

 

SEMAKAN DAN TARIKH-TARIKH PENTING :

Semua calon perlu sentiasa peka terhadap tarikh-tarikh penting yang ditetapkan oleh KPM seperti berikut. Walaubagaimanapun tarikh-tarikh tersebut bergantung kepada pindaan. 

Diharapkan dengan perkongsian ini dapat membantu anda membuat persediaan yang rapi kelak. Untuk artikel berkaitan kerjaya sebagai guru, panduan memilih hala tuju pendidikan yang baik, tarikh-tarikh penting permohonan masuk ke universiti dan sebagainya, boleh klik artikel berkaitan kami dibawah. 

 

ARTIKEL BERKAITAN

BERITA BERKAITAN
Berita Terkini

Perlukan
bantuan?
mail