Siri II - Senarai Keseluruhan Program Pengajian Berserta Syarat Kelayakan Mengikut Program yang Ditawarkan Oleh UiTM

Diterbitkan oleh Afterschool.my pada Jun 09, 2021, 10:23 am

Perkongsian keseluruhan program yang ditawarkan oleh universiti awam menerusi portal UPU kelak diteruskan seperti mana yang telah dijanjikan iaitu Universiti Teknologi Mara (UiTM). Seperti biasa kami ingatkan semula, perkongsian ini melibatkan semua kategori permohonan iaitu bermula dengan SPM, STPM, Matrikulasi/Asasi/ Diploma/ Setaraf dan STAM. 

 

Sebagai makluman, permohonan untuk ke Politeknik Premier tidak ditawarkan kepada pemohon lepasan SPM ianya hanya ditawarkan kepada pemohon lepasan STPM, Matrikulasi/Asasi/Diploma/Setaraf dan STAM sahaja. Memandangkan jumlah universiti awam yang agak banyak itu, jadi menerusi siri kedua, kami kongsikan program yang ditawarkan oleh UiTM. Bagi anda yang terlepas perkongsian siri pertama klik Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

 

 

Sebelum kami kongsikan pautan muat turun mengikut kategori permohonan anda, seperti biasa juga kami kongsikan serba sedikit latar belakang UiTM. Universiti Teknologi MARA mula ditubuhkan pada tahun 1956 seiring dengan penubuhan Dewan Latihan RIDA (Rural Industrial Development Authority) iaitu sebuah pusat percubaan yang menyediakan kursus pendidikan bahasa Inggeris untuk belia di kawasan luar bandar.

 

Matlamat penubuhan Dewan Latihan RIDA adalah untuk membina semula kehidupan masyarakat desa dan meningkatkan taraf ekonomi mereka. Pengambilan pelajar pertama adalah seramai 25 orang bagi kursus London Chamber of Commerce dan kursus untuk peniaga-peniaga kecil. Pada tahun 1965 Dewan Latihan RIDA bertukar nama kepada Maktab MARA (Majlis Amanah Rakyat) hasil dari Kongres Ekonomi Bumiputera yang diadakan di Kuala Lumpur pada 5 hingga 7 Jun 1965.

 

Pada tahun 1970 Maktab MARA bertukar nama kepada Institut Teknologi MARA (ITM). ITM diberi autonomi penuh dan tidak lagi diletakkan di bawah Bahagian Latihan MARA. Ianya diletakkan terus di bawah Kementerian Pembangunan Negara dan Luar Bandar. Pada tahun 1996, Akta ITM dipinda bagi membolehkan ITM berfungsi sebagai sebuah universiti tempatan awam selain membolehkan institut melibatkan diri dalam aktiviti perniagaan, mengadakan kursus secara francais dan menubuhkan cawangan di seberang laut.

    

Tanggal 26 Ogos 1999, ITM ditukar nama kepada Universiti Teknologi MARA (UiTM) setelah pengisytiharan dibuat oleh YAB Dato' Seri Dr. Mahathir Mohamad, Perdana Menteri Malaysia, sewaktu perasmian Perhimpunan Siswazah ITM. Kini UiTM menawarkan sejumlah 138 program pengajian di peringkat Sarjana Muda menerusi pelbagai fakultinya. Pengambilan pelajar bagi kebanyakan program peringkat Sarjana Muda dibuat dua (2) kali setahun. Bidang-bidang pengajian yang ditawarkan meliputi pelbagai bidang seperti perubatan, pergigian, perakaunan, undang-undang, pengurusan, pentadbiran, sains komputer, pentadbiran perniagaan, muzik, perhotelan, kejuruteraan, seni bina dan lain-lain.

 

 

PENGGUGUSAN FAKULTI

Universiti Teknologi MARA telah menyelaraskan fakulti-fakulti berdasarkan gugusan-gugusan tertentu iaitu:  

GUGUSAN SAINS & TEKNOLOGI

  •     Fakulti Sains Gunaan
  •     Fakulti Sains Komputer dan Matematik
  •     Fakulti Senibina, Perancangan dan Ukur
  •     Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi
  •     Fakulti Perubatan
  •     Fakulti Pergigian
  •     Fakulti Sains Kesihatan
  •     Fakulti Farmasi
  •     Fakulti Kejuruteraan Awam
  •     Fakulti Kejuruteraan Elektrik
  •     Fakulti Kejuruteraan Kimia
  •     Fakulti Kejuruteraan Mekanikal
  •     Fakulti Perladangan dan Agroteknologi

 

GUGUSAN SAINS SOSIAL & KEMANUSIAAN

  •    Fakulti Undang-Undang
  •    Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi
  •    Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media
  •    Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka
  •    Fakulti Pendidikan
  •    Fakulti Filem, Teater dan Animasi
  •    Fakulti Muzik

 

GUGUSAN PENGURUSAN & PERNIAGAAN

  •     Fakulti Perakaunan
  •     Fakulti Pengurusan Perniagaan
  •     Fakulti Pengurusan Hotel dan Perlancongan
  •     Fakulti Pengurusan Maklumat;

  PUSAT AKADEMIK
  • Akademi Pengajian Bahasa
  • Akademi Pengajian Islam Kontemporari

 

JANGKA MASA PROGRAM

Jangka masa program peringkat Sarjana Muda ialah enam (6) hingga lapan (8) semester.  Satu (1) semester bersamaan enam ( 6 ) bulan.

 

 

 

PENGAMBILAN PELAJAR

Pengambilan pelajar dibuat dua (2) kali dalam setahun, iaitu pengambilan bagi sesi September dan Mac. Untuk sesi pengambilan September, pemohon dikehendaki membuat permohonan ke Bahagian Pengurusan Kemasukan Pelajar (UPU), Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia (KPTM) dan sesi pengambilan Mac pula dikendalikan sepenuhnya oleh Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan permohonan perlu dibuat secara dalam talian melalui http://online.uitm.edu.my dalam tempoh ditetapkan.  Iklan pengambilan disiarkan oleh KPTM dalam akhbar tempatan pada awal Januari bagi kemasukan sesi September dan oleh UiTM pada bulan Oktober bagi kemasukan sesi Mac.

 

KEPERLUAN AKADEMIK

Pelajar mestilah mendaftar kursus keperluan Universiti, fakulti dan program di dalam tempoh dua (2) minggu selepas semester bermula. Seseorang pelajar dikehendaki mengambil dan lulus semua mata pelajaran keperluan Universiti, fakulti dan program yang telah ditetapkan sebelum dianugerahkan Sarjana Muda.

   

PANDUAN MEMILIH PROGRAM

Pemohon dinasihatkan agar membaca peraturan dan syarat kelayakan kemasukan dan memilih program yang sesuai dengan kelayakan pemohon untuk mengelak dari bersaing dengan pemohon yang mempunyai kelayakan yang lebih baik.

 

PANDUAN MEMILIH PROGRAM SEBAGAI PROGRAM PILIHAN

  • Pastikan hanya memilih program yang memenuhi syarat kelayakan yang ditetapkan sahaja.
  • Menyenaraikan pilihan program mengikut keutamaan.
  • Mendapatkan maklumat program yang hendak dipohon dengan membaca syarat-syarat khas program tersebut.
  • Sekiranya perlu boleh mendapatkan khidmat nasihat dan penerangan dari Fakulti yang berkenaan, kaunselor atau kampus cawangan UiTM yang berhampiran.

 

PEMILIHAN CALON BERDASARKAN SISTEM MERITOKRASI

    • Tidak semua calon yang layak itu berjaya ditawarkan kerana bilangan tempat yang disediakan adalah terhad.
    • Tidak semua yang berjaya itu ditawarkan program pilihan kerana persaingan program yang dipohon.
    • Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai kaedah meritokrasi, klik disini.

 

 

 

MENCETAK SURAT TAWARAN

Calon yang berjaya perlu mencetak surat tawaran, bil bayaran serta dokumen penting di dalam laman web http://www.online.uitm.edu.my bagi tujuan pendaftaran dan pembayaran yuran di mana-mana cawangan Bank Islam.

 

YURAN PENGAJIAN

Yuran pengajian di UiTM adalah yuran yang paling rendah berbanding IPTA yang lain. Yuran yang dikenakan ke atas setiap pelajar mengikut kadar satu semester adalah RM 200. Bolehlah berfoya-foya dengan duit PINJAMAN ya tak?. Hihi.

 

KEMUDAHAN KOLEJ KEDIAMAN

Pada dasarnya bagi semua pelajar lepasan STPM dan Matrikulasi adalah disediakan kolej kediaman pada tahun pertama pengajian. Namun selepas itu kebiasaanya ianya bergantung sama ada anda aktif atau sebaliknya. Jika sebaliknya bersedialah untuk mencari rumah sewa luar dari kampus.

 

 

BANTUAN KEWANGAN/ZAKAT

Bagi pelajar yang tergolong daripada golongan fakir miskin boleh mendapatkan bantuan kewangan/zakat. Permohonan hendaklah dibuat melalui surat kepada Bahagian Hal Ehwal Pelajar kampus masing-masing dengan menyertakan surat pengesahan pendapatan ibubapa/penjaga yang disahkan oleh Wakil Rakyat/Penghulu/Penggawa/Ketua Kampung.

 

KAMPUS PENGAJIAN

Pemohon yang berjaya akan mengikuti pengajian di mana-mana kampus Universiti Teknologi MARA, di seluruh negara bergantung kepada program pengajian yang dijalankan. Berikut adalah senarai kampus UiTM di seluruh negara.

Kampus Satelit

  • Kampus UiTM Seksyen 17 (INTEC), Shah Alam, Selangor
  • Kampus UiTM Puncak Perdana, Shah Alam, Selangor
  • Kampus UiTM Jalan Othman, Petaling Jaya, Selangor
  • Kampus UiTM Puncak Alam, Shah Alam,
  • Kampus UiTM Hospital Selayang & Hospital Sungai Buloh, Selangor (Hospital pengajar untuk Fakulti Perubatan UiTM)
  • Kampus UiTM Dengkil, Selangor (Pusat Asasi UiTM)

 

Kampus Cawangan (Branch Campus)

  • Kampus UiTM Arau, Perlis
  • Kampus UiTM Dungun, Terengganu
  • Kampus UiTM Sri Iskandar, Perak
  • Kampus UiTM Samarahan, Sarawak
  • Kampus UiTM Sungai Petani, Kedah
  • Kampus UiTM Bukit Mertajam, Pulau Pinang
  • Kampus UiTM Kuala Pilah, Negeri Sembilan
  • Kampus UiTM Alor Gajah, Melaka
  • Kampus UiTM Segamat, Johor
  • Kampus UiTM Jengka, Pahang
  • Kampus UiTM Machang, Kelantan
  • Kampus UiTM Kota Kinabalu, Sabah
  • Kampus UiTM Jasin, Melaka
  • Kampus UiTM Bertam, Pulau Pinang
  • Kampus UiTM Bukit Besi, Terengganu
  • Kampus UiTM Tapah, Perak
  • Kampus UiTM Rembau, Negeri Sembilan
  • Kampus UiTM Balik Pulau, Pulau Pinang
  • Kampus UiTM Pasir Gudang, Johor
  • Kampus UiTM Teluk Intan, Perak
  • Kampus UiTM Chendering, Terengganu
  • Kampus UiTM Raub, Pahang

  Kampus Bandar (City Campus)

  • Kampus UiTM Mukah, Sarawak
  • Kampus UiTM Tawau, Sabah
  • Kampus UiTM Johor Bahru, Johor
  • Kampus UiTM Raub, Pahang
  • Kampus UiTM Bukit Sekilau, Pahang
  • Kampus UiTM Alor Setar, Kedah
  • Kampus UiTM Bandaraya Melaka, Melaka
  • Kampus UiTM Seremban 3, Negeri Sembilan
  • Kampus UiTM Bandar Kota Bharu, Kelantan

    

PROGRAM PENGAJIAN DAN SYARAT KELAYAKAN AKADEMIK

Sudahkah anda bersedia untuk melihat senarai program pengajian beserta syarat kelayakan di UiTM?. Bagi anda yang sudah tidak sabar-sabar, anda boleh klik  pautan di bawah mengikut kategori permohonan masing-masing.

 

MAKLUMAN PENTING : Pemohon kategori A adalah pemohon yang menggunakan kelayakan SPM tahun semasa sahaja manakala Pemohon kategori B adalah pemohon yang menggunakan kelayakan SPM  2 tahun sebelumnya. Hanya dua kategori ini sahaja yang dibuka untuk permohonan UPU untuk pemohon lulusan SPM.

 

 

 

 

Untuk semakan syarat kelayakan di semua universiti sila klik senarai berikut :

 

SEMOGA BERJAYA KAMI UCAPKAN!

BERITA BERKAITAN
Berita Terkini

Perlukan
bantuan?
mail