Janji Kerajaan Baru Pakatan Harapan untuk Peminjam PTPTN yang Wajib Anda Tahu!

Diterbitkan oleh Afterschool.my pada May 15, 2018, 03:52 am

KEMASKINI : Terkini, selepas YB Dr. Maszlee Malik mengangkat sumpah sebagai Menteri Pendidikan merangkap Menteri Pendidikan Tinggi yang baru, beliau telah mengadakan sidang media dan turut menyentuh mengenai isu PTPTN dalam manifesto janji Pakatan Harapan (PH). Beliau memaklumkan pihak Kementerian akan berhubung dengan Jabatan Imigresen untuk memansuhkan senarai hitam peminjam selain penangguhan bayaran balik pinjaman PTPTN kepada peminjam yang memperolehi gaji RM4,000 dan ke bawah. Janji tersebut akan diberi keutamaan dan ditunaikan dalam tempoh 100 hari selepas PH memenangi Pilihan Raya ke-14.

 

Berita baik untuk graduan yang menanggung beban hutang pinjaman PTPTN, mungkin artikel ini bakal meredakan kebimbangan anda mengenai isu pembayaran balik pinjaman PTPTN yang mungkin membebankan anda.  

 

Semua sudah maklum, negara kita telah bertukar kepada kepimpinan yang baru di bawah kerajaan Pakatan Harapan. Jika dirujuk kepada manifesto (janji-janji pilihan raya) Pakatan Harapan sekiranya mereka berjaya memegang tampuk pemerintahan negara, mereka menawarkan banyak tawaran kepada rakyat merangkumi pelbagai aspek termasuklah aspek pendidikan melibatkan pinjaman pendidikan PTPTN. Apa yang dijanjikan oleh mereka?. Jom kita lihat manifesto pilihan raya Pakatan Harapan dan semua mengharapkan janji tersebut akan ditunaikan kelak.

 

 

Berikut adalah bukti penjelasan Pakatan Harapan yang dipetik melalui Buku Harapan (halaman 136) yang menerangkan mengenai semua manifesto (janji) pilihan raya Pakatan Harapan. Janji ini wajib ditunaikan oleh mereka sepertimana yang telah dijanjikan :

 

 

Janji yang pertama adalah penangguhan bayaran balik pinjaman PTPTN kepada peminjam yang bergaji RM 4,000 dan ke bawah. Bagi kami apa yang ditawarkan agak baik berbanding pemansuhan terus PTPTN. Relevannya di sini, sekiranya gaji anda belum mencapai RM 4,000 dan katakan selepas tempoh 3-5 tahun bekerja barulah gaji anda mencecah jumlah sedemikian. Pernahkah anda terfikir untuk keluarkan wang terkumpul KWSP/EPF di dalam AKAUN II untuk pengeluaran pendidikan?. 

 

Untuk maklum anda, pencarum dibenarkan mengeluarkan wang simpanan KWSP untuk tujuan pembelian rumah dan pendidikan termasuklah membayar balik hutang pendidikan. Jadi, sekiranya gaji anda sudah mencapai angka 4K dan perlu mula membayar pinjaman anda, buat semakan baki PTPTN dan semakan tunggakan PTPTN kemudian keluarkan sahaja wang KWSP untuk membuat pembayaran balik pinjaman anda. Jika jumlah AKAUN II KWSP melebihi jumlah hutang anda, boleh langsaikan keseluruhan hutang tersebut serentak dan akan diberikan diskaun sebanyak 20%. Jika langsaikan sebahagiannya sahaja, 10% diskaun akan diberikan. Bukankah untung namanya?. Untuk dapatkan info penuh pengeluaran KWSP pendidikan, KLIK DISINI. Untuk panduan pengeluaran KWSP Pendidikan,KLIK DISINI.

 

 

Ramai yang bertanya juga kenapa tidak diberikan PERCUMA sahaja?. Bagi kami pendidikan percuma itu cukuplah sekadar di peringkat rendah dan menengah sahaja bukan peringkat tinggi. Ini kerana, pelajar tidak akan bersungguh-sungguh untuk mendapat keputusan yang cemerlang. Maka, akan berkuranganlah kualiti pelajar yang berjaya dilahirkan kelak. Biar susah dahulu, senang kemudian. Jika ingin dilaksanakan sekalipun, berikan potongan diskaun seperti sebelum ini dimana diskaun bayaran balik diberikan berdasarkan keputusan yang diperolehi. Itu adalah lebih baik. 

 

Janji kedua berkaitan dengan jumlah pembayaran balik pinjaman mengikut gaji yang diperolehi. Janji ini juga dilihat menarik kerana dapat mengurangkan beban tanggungan individu yang berhutang. Jumlah bayaran balik pula akan ditetapkan mengikut kemampuan kewangan bulanan peminjam. Tidak membebankan, sesuai dengan gaji dan komitmen masing-masing. 

 

Janji ketiga adalah menghapuskan senarai hitam peminjam (PTPTN black list) yang tidak membuat balik bayaran pinjaman. Menurut kami, tindakan ini sangatlah baik kerana, selepas tamat pengajian sudah tentu mengambil masa untuk mencari pekerjaan disebabkan tiada pengalaman, kemahiran dan persaingan tinggi untuk merebut peluang pekerjaan yang terhad. 

 

Hakikat yang terpaksa dihadapi kini, walaupun peminjam tidak mempunyai pekerjaan, mereka tetap wajib melangsaikan hutang pinjaman selepas tempoh 12 bulan tamat pengajian TANPA perlu menunggu Notis Bayaran Balik daripada PTPTN. Sekiranya mereka menyambung pengajian dan dibenarkan untuk membuat penangguhan bayaran balik sekalipun, jumlah bayaran akan berjalan seperti biasa dan meningkat dari bulan dan tahun ke tahun. Bezanya tidak ada sebarang sekatan atau senarai hitam yang dikenakan. 

 

Sebaik sahaja tamat pengajian, bayaran yang sepatutnya dibayar sepanjang tempoh penangguhan itu akan bertukar menjadi hutang tertunggak yang wajib dibayar ke semuanya sekali. Jika tidak melangsaikan hutang tertunggak tersebut, automatik nama akan disenarai hitam. Jika mahu menghapuskan senarai hitam tersebut, perlu membuat bayaran penuh, sebahagian atau jumlah mana yang mampu. Kemudian pihak PTPTN, akan menstrukturkan semula jumlah bayaran yang perlu dibayar setiap bulan.

 

Image result for kesan senarai hitam ptptn

 

Tahukah anda bahawa, setakat bulan Disember 2017, semakan senarai hitam imegresen menunjukkan seramai 447,890 peminjam PTPTN telah disenarai hitam oleh Jabatan Imigresen kerana tidak membayar semula pinjaman. Mereka merupakan golongan terbesar yang dikenakan sekatan perjalanan ke luar negara. Selain itu, mereka yang disenarai hitam juga mengalami kesukaran untuk membuat pinjaman perumahan, pembelian kereta dan aset yang lain. Keadaan ini dilihat sebagai satu penganiayaan kepada nasib graduan seperti jatuh ditimpa tangga, terpijak pula tahi ayam. Tahi ayam pula, adalah tahi ayam candu yang baunya menyengat dan melekat. 

 

Tentu ramai yang tertanya bilakah janji-janji ini akan ditunaikan. Untuk melaksanakan sesuatu dasar, rang undang-undang dan sebagainya, ianya memerlukan perbincangan dan persetujuan dari pelbagai peringkat bermula daripada peringkat kabinet terlebih dahulu. Selepas mendapat persetujuan kabinet, barulah akan dibentang, dibahaskan di Dewan Rakyat (parlimen). Jika mendapat undian sokongan majoriti daripada kalangan ahli dewan rakyat (parlimen), barulah akan dibawa ke peringkat Dewan Negara untuk diperhalusi baik buruknya oleh pakar-pakar yang dilantik dikenali sebagai senator. Proses yang terakhir adalah dengan mendapatkan perkenan daripada Yang Dipertuan Agong untuk dilaksanakan. Prosesnya bukanlah semudah seperti mana yang disangka dan dapat dilaksanakan dalam masa yang singkat. 

 

Ditambah pula dengan situasi sekarang, kementerian sudah dirombak, kabinet belum lagi dibentuk selepas pilihan raya. Jadi ianya memerlukan masa. Tunggu sahaja semuanya sudah bersiap sedia, tentu penguguman kerajaan kelak akan menggembirakan semua peminjam. Apa-apa pun hutang wajib dibayar, selagi mampu bayar buatlah pembayaran. Bukan untuk kerajaan tetapi untuk membantu generasi yang akan datang bagi menampung pengajian mereka juga. Kami juga ingin ingatkan anda, artikel ini tidak ada sebarang unsur politik, cuma ianya adalah artikel perkongsian untuk menerangkan dengan lebih jelas apa yang telah dijanjikan oleh kerajaan yang baru untuk manfaat bersama. Semoga hidup kita bebas daripada hutang!. 

BERITA BERKAITAN
Berita Terkini

Perlukan
bantuan?
mail