Tun Dr. Mahathir bin Mohamad Dilantik sebagai Menteri Pendidikan yang Baru

Diterbitkan oleh Afterschool.my pada May 17, 2018, 02:46 am

KEMASKINI :

Majlis Presiden Kerajaan Pakatan Harapan telah sebulat suara bersetuju memilih YAB Dr Maszlee Malik sebagai Menteri Pendidikan yang baru menggantikan YAB Tun Dr. Mahathir Mohamad. YAB Tun M yang sebelum ini memaklumkan beliau akan menyandang jawatan itu, menarik balik keputusan berkenaan dengan merujuk kepada Buku Harapan (Manifesto janji Pilihan Raya PH) dimana Perdana Menteri, Menteri atau Menteri Besar tidak boleh memegang lebih daripada satu portfolio kementerian. Untuk menunaikan janji tersebut, jawatan Menteri Pendidikan akan disandang oleh YAB Dr Maszlee. Tahniah afterschool ucapkan diatas pelantikan tersebut. 

 

 

 

Dalam mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan bagi membincangkan pelbagai perkara termasuk pembentukan barisan Kabinet yang baru pada hari ini, telah sebulat suara bersetuju melantik 5 orang menteri yang akan memegang portfolio 5 kementerian termasuklah menteri yang akan menjaga portfolio Kementerian Pendidikan Malaysia dan Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia. 

 

Dalam sidang media selepas berakhirnya Mesyuarat Majlis Presiden berkenaan, YAB Tun Dr. Mahathir telah mengumumkan 5 orang menteri yang akan bertanggungjawab terhadap 5 buah kementerian iaitu Menteri Pertahanan kekal (YAB Mohamad Sabu), Menteri Kewangan (YAB Lim Guan Eng), Menteri Hal Ehwal Wanita dan Kebajikan (YAB Dato'Seri Dr. Wan Azizah), Menteri Dalam Negeri (YAB Tan Sri Dato' Haji Muhyiddin) dan  Tun Dr. Matahir sendiri akan menjawat jawatan sebagai Menteri Pelajaran iaitu gabungan antara Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) selain jawatan Perdana Menteri yang telah diumumkan sebelum ini. Dahulunya KPM dan KPT dipimpin oleh dua orang Menteri yang berbeza. Tun M, yang dahulunya pernah menjawat jawatan sebagai Menteri Pendidikan ke-8, kini menyandang semula jawatan tersebut.

 

Apabila ditanya kenapa beliau memilih portfolio pendidikan, Tun M berkata,"Saya ambil alih portfolio pendidikan kerana saya fikir ramai orang tidak berpendidikan di negara ini, jadi saya fikir saya akan beri tumpuan dalam bidang ini. Selain itu, saya fikir cara pengajaran kita sudah ketinggalan zaman. Hari ini dengan komputer dan peralatan lain, kita harus mencipta cara pengajaran baru," katanya dalam sidang media tersebut.

 

Dalam sidang media berkenaan juga dimaklumkan, seramai 13 orang menteri akan mengangkat sumpah jawatan yang dijangka bakal diadakan pada hari isnin ini sekiranya dipersetujui oleh pihak istana. Memandangkan hanya 5 menteri sahaja yang diumumkan, baki 8 orang menteri lagi akan diumumkan kelak. Tun M juga turut menyatakan, keseluruhan 25 orang menteri akan dilantik menganggotai Kabinet dan akan berlaku pertambahan jumlah anggota sekiranya ada keperluan kelak. 

 

 

Kami di pihak afterschool.my mengucapkan setinggi- tinggi ucapan tahniah diatas pelantikan tersebut. Diharapkan dengan pelantikan ini dapat terus memacu perkembangan pendidikan di negara ini sehingga ke peringkat antarabangsa. Tahniah sekali lagi diucapkan kepada semua menteri yang dilantik. Diharap dapat menjalankan tugas dengan cekap dan amanah untuk kepentingan rakyat keseluruhannya.

BERITA BERKAITAN
Berita Terkini

Perlukan
bantuan?
mail