Tips jadi mahasiswa universiti luar bandar

Diterbitkan oleh Afterschool.my pada Feb 12, 2016, 03:38 pm

Mahasiswa universiti luar bandar menghadapi cabaran yang berbeza dengan pelajar di kota. Tarik nafas panjang, nikmati udara yang bebas pencemaran dan bertenang baca tips dari kami:

1.  "Bosannya, aaarrggghhh!"

Apabila seorang pelajar dari bandar tiba di luar bandar, isu paling besar yang melanda mereka ialah kebosanan, mungkin sebab tidak ada Solaris, atau Pavillion, atau Suria KLCC berhampiran, dan sebagai pengganti cuma ada emporium yang sudah wujud sejak zaman Tunku Abdul Rahman. Penyelesaian: Kompleks membeli-belah bukanlah tanda ukur kemajuan dan kegembiraan. Banyak sahaja aktiviti yang anda boleh lakukan di luar bandar seperti aktiviti lasak, mandi sungai, atau berjalan di kawasan kampung sambil menghirup udara segar. Mungkin anda boleh belajar sesuatu yang baru seperti teknik memerah susu lembu atau mungkin mulakan hobi yang menguntungkan seperti bercucuk tanam. Mungkin ia boleh mengisi jiwa anda yang kekosongan.

2. Masalah pengangkutan

Masalah pengangkutan adalah masalah yang sangat serius jika kita berada di luar bandar. Tiada LRT, bas pun kena jalan menapak setengah jam untuk tiba di perhentian bas lalu menunggu bas yang lalu sejam sekali, jadi bagaimana untuk bergerak dari satu tempat ke satu tempat? Penyelesaian: Dapatkan sebuah motosikal. Mungkin ia sangat bahaya jika anda orang yang mudah cuak, tetapi itulah alternatif yang paling afdal untuk anda jika anda berada di kawasan luar bandar. Belajar bawa motor sangat menguntungkan cuma, janganlah berlumba haram, ya?

3. "Banyaknya pantang larang!"

Tak boleh begitu, tak boleh begini. Pergi pantai tak boleh pakai baju hijau? Biar betul! Penyelesaian: Ya, di kawasan kampung, kita tak boleh nak warna rambut gaya seapunk atau tindik telinga, tapi kita boleh saja bergaya tanpa menjolok mata orang sekeliling. Fitrah manusia tidak suka bila orang buat sesuka hati bila kita di tempat mereka. Atau belajar lebih lanjut kepercayaan mereka dan jadilah novelis. Banyak penerbit tempatan dan antarabangsa yang mencari cerita dengan nuansa kampung di Malaysia.

4. Internet

Masalah signal internet memang satu masalah besar bagi manusia pasca millennium seperti kita. Alasan "ala orang zaman dulu boleh je hidup tanpa internet" tidak boleh dipakai memandangkan kita bukan hidup di zaman dulu. Penyelesaian: Langgani "portable wifi hotspot", mungkin perlu kos yang  agak besar tetapi ia menjamin kestabilan signal internet (walau macam mana pun, perkataan 'jamin' itu saya tidak boleh jamin). Tetapi jika rasa leceh, ajak kawan cari cybercafe yang berada di kawasan pekan. Saya rasa pada zaman ini hampir semua cybercafe sudah ada UniFi.

5. Makanan

"Ala, tak ada Tony Romas! Tak ada chicken chop!" mungkin termasuk keluhan mahasiswa universiti luar bandar. Penyelesaian: Pernah cuba gulai daging umbut sawit? Atau sambal tempoyak daun kayu? Atau ikan puyu masak berlada? Makanan yang anda mungkin agak susah untuk jumpa di tengah kota? Tapi kalau anda rasa makanan kampung masih tidak boleh lalu di tekak anda kerana anda terlalu urban, ambil kunci motor anda dan pergi ke pekan berhampiran untuk makan di restoran siap saji. Rasanya setiap pekan di Malaysia ada KFC.

6. Berdikari

Ya, tiada mak ayah yang tolong bawa kita ke pusat tuisyen, atau tiada ayah yang akan bayarkan bil internet, tapi inilah masanya untuk mula belajar berdikari. Penyelesaian: Di universiti inilah tempat anda untuk belajar, bukan sahaja ilmu untuk akademik, tetapi ilmu kehidupan. Selain belajar untuk mendapatkan keputusan yang baik dalam pelajaran, belajarlah juga untuk jadi dewasa. Kesimpulannya, belajar di luar atau dalam bandar sama-sama ada kelebihan masing-masing. Tergantung kita untuk ciptakan pengalaman berharga selagi bergelar mahasiswa. AS_BM_UPU_banner

BERITA BERKAITAN
Berita Terkini

Perlukan
bantuan?
mail