Subjek Sains & Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) Bakal Dilaksanakan Semula

Diterbitkan oleh Afterschool.my pada Feb 03, 2020, 08:52 am

Ramai yang beranggapan politik tidak ada kaitan dengan pendidikan. Pandangan tersebut ternyata salah, dan hal ini terbukti apabila PPMSI bakal dilaksanakan semula oleh kerajaan sekarang. Semua sedia maklum pada pemerintahan terdahulu, subjek sains dan matematik yang diajar dalam bahasa inggeris telah ditukar semula ke bahasa Melayu. Persoalannya, apa akan terjadi jika berlaku semula peralihan kuasa?. Berikut kami kongsikan sejarah PPSMI.

 

 

Memang tidak dinafikan bak kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir, ilmu sains bertambah sepanjang masa hasil kaji selidik pakar yang majoritinya bukan dibuat dalam bahasa Melayu. Untuk menguasai ilmu baharu tersebut, bahasa Inggeris menjadi penting dan terjemahan kepada bahasa Melayu tidak dapat dibuat dengan kadar segera melainkan oleh mereka yang pakar dalam bahasa Melayu, Sains dan Inggeris serta memahami ilmu baharu yang ingin dialih bahasa. Tetapi, jika seseorang fasih dalam bahasa Inggeris, mereka dapat mempelajari secara langsung tanpa menunggu terjemahan. 

 

Walau bagaimanapun, apa impaknya kepada pelajar dan guru-guru sebaik sahaja pelaksanaanya kelak. Bukankah akan menimbulkan kekeliruan semula sebagaimana sebelum ini, bukan sahaja kepada pelajar malah guru-guru yang terlibat. Kemungkinan juga akan berlaku kekecohan sepertimana demonstrasi gerakan pemansuhan terdahulu. Difahamkan juga, sistem PPSMI yang lama tidak akan digunakan tetapi sistem baru bakal diperkenalkan iaitu dengan penggunaan sistem teknologi maklumat (IT). Bagaimana sistem tersebut akan berfungsi, masih belum jelas dan di peringkat kajian. 

 

 

Persoalan kebanyakan orang, sistem ini jelas dilihat bertukar mengikut dasar politik sehingga terlupa kesan kepada pihak-pihak yang terlibat selain kos yang diperuntukkan. Apa yang akan terjadi sekiranya berlaku semula peralihan kuasa?. Tidak kisahlah pembelajaran tersebut diajar dalam bahasa inggeris atau bahasa melayu tetapi mana-mana kerajaan sekalipun perlu fikirkan cara untuk mengekalkan dasar/sistem yang dibuat walaupun kerajaan silih berganti. Jika ada kekurangan perbaiki bukan mansuhkan kemudian perkenalkan semula. Sampai bila pelajar perlu jadi tikus makmal dan bila akan berkembangnya ilmu jika pendirian pun tidak tetap. 

 

Perbincangan dan kata sepakat bukan sahaja dalam kalangan parti pemerintah tetapi parti pembangkang dan semua pihak yang terlibat. Sekiranya ianya menjadi realiti, diharapkan pelaksanaan ini hanya melibatkan pelajar di peringkat sekolah rendah bermula darjah 1 kerana ilmu tersebut masih baru dan tidak dicampur aduk bahasa. Bukannya tingkatan 1 sepertimana sebelum ini.

BERITA BERKAITAN
Berita Terkini

Perlukan
bantuan?
mail