Pihak Universiti Bimbang Pemansuhan Aliran Sains & Sastera Akan Beri Kesan Pada Kursus Pengajian di Peringkat Universiti

Diterbitkan oleh Afterschool.my pada Oct 21, 2019, 09:20 am

Masih belum habis mengenai berita pemansuhan aliran sains & sastera mulai tahun depan. Terbaru, kami mendapatkan beberapa guru untuk memberi komen berkaitan pemansuhan ini, apa yang mengejutkan adalah majoritinya tidak tahu menahu mengenai perubahan ini. Tiada sebarang perbincangan dan makluman rasmi, tahu-tahu sudah keluar di media bahawa ianya akan dimansuhkan.

 

 

Kenapa perkara yang  melibatkan guru-guru ini tidak diketahui oleh mereka sedangkan mereka inilah yang akan menjadi tonggak kepada pelaksanaan perubahan ini. Apa sebenarnya yang berlaku, kenapa warga pendidik sama ada di peringkat menengah dan atasan (peringkat universiti) tidak dimaklumkan terlebih dahulu sebelum kenyataan dikeluarkan oleh pihak kementerian. 

 

Selain guru-guru di sekolah yang bimbang bagaimana mereka akan melaksanakan perubahan ini dari segi penyusunan jadual pembelajaran, pembahagian bilik darjah dan sebagainya. Cukupkah tempoh yang singkat ini untuk mereka membuat persediaan dan membantu pelajar memilih subjek yang bersesuaian dengan mereka?. Pemilihan subjek tersangatlah penting kerana ianya akan menentukan kursus pengajian yang layak dipilih di peringkat universiti kelak. 

 

Selain di peringkat sekolah, kebimbangan tersebut turut disuarakan di peringkat universiti oleh Presiden Majlis Profesor Negara (MPN) Prof Datuk Dr Raduan Che Rose. Beliau menganggap kerajaan tergesa-gesa membuat perubahan tanpa memikirkan kesan termasuk implikasi terhadap kursus di peringkat universiti selain bertentangan dengan langkah Kementerian Pendidikan yang menggalakkan mata pelajaran sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).

 

 

Menurut beliau, ketika ini kebanyakan universiti kekurangan pelajar daripada aliran sains terdiri daripada subjek fizik, kimia, biologi, matematik dan matematik tambahan. Jika semuanya sudah bercampur aduk, bagaimana pihak universiti hendak mengkategorikan pelajar untuk kursus pengajian berasaskan sains?. Beliau memaklumkan, mereka akan memanggil universiti dan profesor untuk mendapatkan maklum balas mengenai pemansuhan ini.   

 

 

Berdasarkan statistik Kementerian Pendidikan, pada 2018 pelajar memilih aliran STEM ialah 44 peratus berbanding 48 peratus pada 2012, iaitu penurunan empat peratus dengan penurunan sebanyak 6,000 pelajar setiap tahun. Untuk UA dan IPT, pada 2017 pelajar yang jurusan sains, matematik, kejuruteraan dan pembinaan ialah 334,742 orang, berbanding 570,858 bagi bidang lain, maka graduan yang dilahirkan di universiti serta IPT tak mencukupi untuk menampung keperluan industri.

 

Setiap kali berlakunya peralihan kuasa tidak kira kuasa kerajaan mahu pun kementerian, pasti akan ada perubahan yang dilakukan. Tetapi persoalannya perlukan perubahan ini sedangkan banyak lagi perkara lain yang boleh dilakukan untuk memastikan kecemerlangan dalam sistem pendidikan negara. Terdahulu pembelajaran sains dan matematik yang diajar dalam bahasa inggeris, kemudian ditukar semula kepada bahasa melayu. Sekarang, pemansuhan aliran sains dan sastera pula. Memansuhkan sistem sedia ada yang tidak pun menimbulkan masalah besar bukanlah sesuatu yang cerdik. Perbaiki sistem dan buat penambahbaikan tentunya akan mengembirakan semua pihak.

 

Sebagai sebuah laman rasmi pendidikan yang berhubung secara langsung dengan pelajar dalam membantu mereka menentukan halatuju pendidikan masing-masing, masalah bagi kebanyakan mereka bukanlah pada aliran yang dipilih, tetapi silap memilih subjek ketika di peringkat sekolah sehingga tidak melayakkan mereka memohon kursus yang diminati di peringkat universiti. 

 

Jadi kesimpulannya, kalau pun mereka diberi pilihan untuk memilih subjek sendiri, tentu sahaja mereka akan memilih gabungan subjek yang disukai dan dirasakan pandai sahaja. Padahal gabungan subjek yang dipilih tersebut kemungkinan tidak melayakkan mereka memohon ke kursus pengajian di peringkat universiti sekaligus mematikan impian kerjaya kelak.

BERITA BERKAITAN
Berita Terkini

Perlukan
bantuan?
mail