PETRONAS baru-baru ini menandatangani satu Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Universiti Teknologi MARA (UiTM) untuk terus bekerjasama dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D), latihan pelajar serta program pensyarah adjung.

Menyokong Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pengajian Tinggi) dan aspirasi Kementerian Pengajian Tinggi untuk kerjasama yang lebih intensif dan kerap di antara industri dengan universiti awam, kerjasama itu juga membolehkan PETRONAS untuk mengukuhkan lagi kerjasama sedia ada dengan UiTM untuk meningkatkan keupayaan dan kecekapan pelajar yang terpilih.
MoU itu ditandatangani di antara Naib Presiden Kanan Kumpulan Pengurusan Sumber Manusia PETRONAS, Dato' Raiha Azni Abd Rahman dan Naib Canselor UiTM, Prof. Emeritus Dato' Dr Hassan Said, dan disaksikan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Dato' Seri Idris Jusoh.
Bercakap di majlis tersebut, Dato' Raiha Azni berkata, "PETRONAS berbesar hati mengukuhkan kerjasama dengan UiTM untuk tempoh tiga tahun akan datang. Melalui kerjasama ini, pelajar UiTM akan mendapatkan pengetahuan dan pengalaman secara langsung daripada pakar-pakar industri terkemuka di Malaysia. "
"Sebagai sebuah syarikat minyak dan gas negara, PETRONAS maju terus dalam memperkasakan masyarakat melalui inisiatif yang memberi tumpuan kepada pendidikan, pembangunan masyarakat dan kesejahteraan, serta alam sekitar. MoU ini adalah satu lagi usaha untuk menyokong komitmen PETRONAS terhadap pembangunan tenaga kerja masa depan yang sedia-pasaran," katanya.
Pelajar dari lima fakulti UiTM iaitu Perakaunan, Undang-undang, Komunikasi & Pengajian Media, Pengurusan Perniagaan dan Pengurusan Maklumat akan diberikan pendedahan melalui penempatan internship di PETRONAS, belajar langsung daripada barisan pakar serta menimba pengalaman dalam lain-lain hal yang berkaitan dengan industri PETRONAS.