Pengajaran Subjek Sains & Matematik dalam Bahasa Inggeris Bakal Dilaksanakan Semula?

Diterbitkan oleh Afterschool.my pada Nov 26, 2018, 01:16 am

Dalam perkembangan terbaru, Kementerian Pendidikan akan membentangkan kajian impak perlaksanaan Dual Language Programme (DLP) bagi subjek Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris pada Januari 2019. Program DLP yang dikenali juga sebagai Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) sebelum ini dilaksanakan bertujuan meningkatkan penguasaan bahasa inggeris dalam kalangan pelajar.

 

 

Timbalan Menteri Teo Nie Ching memaklumkan dalam Dewan Rakyat bahawa, kajian yang lebih komprehensif sedang dijalankan dan setakat ini, seramai 55.82 peratus murid sekolah rendah dan 57.23 peratus murid sekolah menengah telah menunjukkan peningkatan dalam Bahasa Inggeris.

 

 

Sekiranya pembentangan impak ini menunjukkan perkembangan yang positif, adakah bermakna pihak Kementerian Pendidikan akan melaksanakan semula PPSMI yang sebelumnya telah dimansuhkan?. Jika PPSMI ini diteruskan semula, pihak yang paling terkesan tentulah pelajar serta guru yang terlibat. Adakah guru-guru bersetuju jika PPSMI ini diteruskan semula?.

 

 

Dasar PPSMI diperkenalkan sebelum ini hasil Mesyuarat Khas Jemaah Menteri pada Julai 2002 dipengerusikan Tun Dr Mahathir yang ketika itu merupakan Perdana Menteri. Ia dilaksanakan secara berperingkat bermula sesi persekolahan 2003, sebelum dimansuhkan bermula 2012 oleh Kerajaan Barisan Nasional dibawah Pimpinan Dato' Seri Najib selepas mendapat kritikan daripada pemimpin politik, ibu bapa dan pakar bahasa sejak tahun 2009.

 

 

Sebelum kerajaan Pakatan Harapan (Harapan) memenangi Pilihan Raya, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata PPSMI kemungkinan akan diperkenalkan semula sekiranya parti gabungan itu menang pada PRU14 dan jika majoriti rakyat bersetuju PPSMI dilaksanakan semula. Ternyata Pakatan Harapan memenangi PRU14. 

 

Jadi pandangan rakyat yang bagaimanakah akan diambil kira untuk mengetahui majoriti yang bersetuju atau kerajaan akan membuat keputusan berdasarkan keputusan kajian impak DLP. Sama-sama kita nantikan perkembangan dan maklum balas dari menteri kelak. Adakah anda bersetuju jika PPSMI dilaksanakan semula atau mungkin cadangan lain yang boleh memantapkan penguasaan bahasa inggeris dalam kalangan pelajar?. 

BERITA BERKAITAN
Berita Terkini

Perlukan
bantuan?
mail