Are you an international student?
Visit the International Students section on our website to find out the latest news and everything you need to know about studying in Malaysia.
Diterbitkan oleh Afterschool.my pada Jan 07, 2017, 08:15 am
Baru-baru ini timbul kebimbangan dalam kalangan ibu bapa tentang masa depan pendidikan anak-anak mereka yang bersekolah di Kolej Vokasional. Kebimbangan tersebut timbul, ekoran berita yang dikeluarkan oleh beberapa akhbar tempatan yang menyatakan, pelajar Kolej Vokasional tidak layak melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi walaupun memiliki Diploma Vokasional Malaysia (DVM). Ini kerana, pelajar KV tidak memiliki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), maka mereka perlu mengambil kursus peralihan atau pra-ijazah selama satu atau dua semester sebelum layak melanjutkan pengajian ke peringkat seterusnya.
Memahami akan kebimbangan ibu bapa tersebut, kerajaan menerusi Kementerian Pendidikan Malaysia, Bahagian Pendidikan Teknik dan Vokasional (KV), meredakan kebimbangan tersebut dengan memaklumkan bahawa pelajar KV layak untuk menyambung pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda dengan syarat mereka perlu memenuhi beberapa kriteria yang telah ditetapkan iaitu pertama mempunyai pengalaman kerja sekurang-kurangnya dua tahun atau memiliki Sijil Program Akreditasi Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (APEL).
Pengarah Bahagian Pendidikan Teknik dan Vokasional (BPTV) Kementerian Pendidikan, Zainuren Mohd Nor, berkata selain dua kriteria itu, pelajar KV juga boleh terus memohon program sarjana muda ditawarkan universiti dengan syarat memperoleh keputusan cemerlang dalam akademik.
"Pelajar perlu mendapat kepujian dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, purata nilai gred keseluruhan (PNGK) akademik sekurang-kurangnya 3.33 dan PNGK vokasional 3.67. Selain itu, pelajar itu juga perlu melengkapkan semua modul vokasional yang ditawarkan dan memohon kepada Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pendidikan Tinggi, sebelum program KV mendapat akreditasi penuh daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA)," katanya.
Dalam kenyataan yang lain, Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) menyatakan, graduan DVM perlu mengambil beberapa subjek teras iaitu Sains dan Matematik ketika mengikuti kursus pra-ijazah itu di universiti bagi memantapkan pengetahuan dalam bidang berkenaan dan sebagai persediaan memohon program sarjana muda. Diharapkan dengan kenyataan balas ini, ibu bapa tidak perlu lagi bimbang untuk menghantar anak mereka ke Kolej Vokasional kerana peluang pekerjaan sangat terbuka luas kepada mereka yang memiliki kemahiran tertentu berbanding graduan institusi lain yang masih lagi menganggur.
Perlukan
bantuan?