Pelajar Cemerlang yang Gagal dalam Permohonan UPU Dinasihat Menfailkan Rayuan Permohonan ke JPT - Dr, Maszlee Malik, Menteri Pendidikan

Diterbitkan oleh Afterschool.my pada Jun 01, 2018, 02:41 am

Keputusan permohonan kemasukan ke IPTA telah diumumkan baru-baru ini. Seramai 182,409 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2017 telah berjaya ditawarkan ke program pra-universiti (asasi), sijil dan diploma di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di seluruh negara bagi sesi akademik 2018-2019 bermula Jun ini. 

 

 

Daripada jumlah keseluruhan calon yang berjaya ditawarkan tersebut, seramai 17,338 calon dari keluarga berpendapatan rendah (B40), 299 calon OKU, 348 orang asli dan 1,225 atlet. Penawaran tersebut menunjukkan peningkatan sebanyak 22% berbanding tahun lepas, hanya kira-kira 149,000 tempat sahaja ditawarkan. 

 

Dalam majlis penyerahan surat tawaran rasmi kepada calon-calon cemerlang yang berjaya mendapat tawaran ke IPTA, Menteri Pelajaran Dr Maszlee Malik berkata, beliau sedar tentang ketidakpuasan dalam kalangan pelajar yang memperolehi keputusan yang cemerlang tetapi tidak mendapat tempat di IPTA, sambil menambah bahawa kerajaan berusaha sebaik mungkin untuk memastikan semua pelajar yang layak dapat melanjutkan pengajian mereka.

 

 

"Saya ingin menjelaskan bahawa kerajaan memegang prinsip untuk membantu semua pelajar yang memiliki kelayakan akademik cemerlang dan memerlukan bantuan kewangan berdasarkan tahap sosioekonomi mereka," katanya dalam majlis berkenaan. 

 

Beliau turut menasihatkan kepada pihak yang tidak berpuas hati, boleh mengemukakan permohonan rayuan kepada Jabatan Pengajian Tinggi. Beliau memberi jaminan bahawa semua rayuan akan diberi perhatian yang adil dan saksama.

 

"Kami tidak akan mendiskriminasi sesiapa tetapi kami memerlukan ibu bapa untuk memfailkan rayuan supaya kami tahu mengenai kes-kes yang ada dan akan cuba membantu mereka," katanya.

 

Jadi, sekiranya anda atau anak anda memperolehi keputusan yang cemerlang tetapi gagal ditawarkan ke IPTA walaupun selepas keputusan rayuan permohonan diumumkan pada 5 Jun nanti, bolehlah pergi ke Jabatan Pengajian Tinggi  (JPT) untuk menfailkan rayuan. Kemungkinan permohonan anda atau anak anda kelak akan dipertimbangkan. Belum cuba belum tahu. Tahniah kepada yang berjaya ditawarkan dan kepada yang gagal jangan berputus asa. Boleh cuba failkan rayuan ke JPT sekiranya memperolehi keputusan yang cemerlang. 

 

BERITA BERKAITAN
Berita Terkini

Perlukan
bantuan?
mail