5 sebab anda kena pilih masuk politeknik
Diterbitkan oleh Afterschool.my pada Feb 03, 2016, 11:39 am
Sebenarnya mereka yang memilih politeknik mempunyai banyak kelebihan, berdasarkan kehendak pasaran kerja serta ekonomi dunia semasa.
Sayangnya, ramai lepasan SPM yang memandang Politeknik 'sebelah mata' kerana banyak sebab. Kami beri anda 5 sebab anda kena pilih masuk politeknik:
1. Kurang persaingan dengan universiti
Faktor 'glamour' universiti memang menjadi faktor mengapa lebih ramai lepasan SPM untuk tidak memandang politeknik. Tambahan pula, filem dan drama Melayu di negara ini lebih banyak bercerita tentang universiti tetapi tidak politeknik.
Oleh itu, persaingan untuk ke politeknik adalah sangat kurang jika dibandingkan dengan universiti. Sebagai contoh, jumlah pelajar keseluruhan politeknik di Malaysia ialah berjumlah
85,000 pada tahun 2008.
Universiti pula,
1.3 juta pelajar!
2. Bidang teknikal lebih banyak kerja
Sebagai sebuah negara yang bercita-cita untuk mencapai status negara berpendapatan tinggi menjelang 2020, Malaysia memerlukan ramai pakar dalam bidang teknikal. Ini kerana negara-negara maju di Asia seperti Jepun, Korea Selatan, Taiwan dan Singapura menumpukan modal insan mereka untuk menjadi pakar dalam bidang teknikal dalam usaha mereka untuk menjadi negara maju. Jadi, Malaysia juga tidak seharusnya ketinggalan dalam bidang ini.
3. Pembukaan sektor baru teknologi hijau
Abad ke-21 menyaksikan pencambahan teknologi baru yang lebih memikirkan soal kelestarian alam serta mencari alternatif kepada bahan bakar seperti minyak dan gas.
Teknologi hijau yang menggunakan sumber yang boleh diperbaharui sudah mula berkembang pesat dan dijangka menjadi sektor yang sama penting dengan sektor minyak dan gas menjelang pada 2020.
Pembukaan sektor baru ini juga memerlukan pakar-pakar baru dalam bidang teknikal, jadi sudah pastilah graduan dari politeknik akan mendapat lebih banyak peluang pekerjaan dengan kebangkitan teknologi hijau ini.
4. Persaingan global
Selain negara-negara maju seperti Jepun, Korea Selatan, Taiwan dan Singapura, negara-negara membangun seperti China, Vietnam, Indonesia dan Thailand kini memberi persaingan sengit dengan Malaysia dalam bidang teknologi dan teknikal.
Kebangkitan China sebagai kuasa besar serta pemain ekonomi global juga menyebabkan Malaysia perlu mengambil peluang, memandangkan Asia kini sudah menjadi bahagian yang penting dalam ekonomi dunia.
5. Kurangkan bergantung tenaga asing
Dengan populasi hari ini seramai 30 juta orang, Malaysia seharusnya mampu berdiri sendiri atau kurang bergantung pada tenaga asing dalam bidang teknikal.
Jika kita mampu berdiri sendiri dalam bidang teknikal, kita mampu menjimatkan sejumlah wang yang besar yang kita gunakan untuk mengimport tenaga asing, dan kita mampu mengimport tenaga kita ke negara yang lebih besar seperti di Asia Selatan atau Afrika.
Pilih kolej Politeknik yang paling dekat dengan anda di sini.