Kenapa Ujian IELTS Penting untuk Melayakkan Anda Mohon Pengajian ke Universiti di Luar Negara?

Diterbitkan oleh Afterschool.my pada Dec 06, 2017, 04:22 pm

Melanjutkan pengajian ke luar negara sememangnya impian. Tetapi persoalannya adalah apakah syarat kelayakan permohonan terutamanya syarat kelayakan bahasa?. Anda sedia maklum bahawa UJIAN MUET wajib diambil untuk melayakkan anda masuk ke pengajian ijazah di universiti awam atau swasta di negara ini tetapi bagaimana pula dengan universiti luar negara?. Adakah mereka menerima kelayakan MUET?. Jika tidak apakah ujian kelayakan Bahasa Inggeris yang diterima oleh majoriti universiti luar negara untuk kemasukan ke universiti mereka?. Jawapannya adalah peperiksaan IELTS.

 

 

Apakah itu IELTS?

 

IELTS merujuk kepada Sistem Penilaian Bahasa Inggeris Antarabangsa (IELTS). IELTS adalah ujian penguasaan Bahasa Inggeris paling popular di dunia dan menjadi penanda aras kepada tahap penguasaan bahasa inggeris pelajar di seluruh dunia. Sekiranya anda memperolehi skor yang baik dalam peperiksaan ini, ianya bakal membuka peluang yang luas untuk anda belajar di mana-mana sahaja universiti terkenal di seluruh dunia, bahkan memohon pekerjaan di luar negara!.

 

 

Untuk pengetahuan anda, IELTS telah membina reputasinya di seluruh dunia sejak penubuhannya 28 tahun yang lalu dan lebih daripada 2.5 juta pelajar menduduki ujian ini pada tahun lepas. Dengan sijil bahasa Inggeris ini, universiti luar negara akan dapat mengukur tahap penguasaan anda sekaligus kemampuan untuk berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris dengan baik apabila melanjutkan pengajian di universiti mereka kelak.

 

Kenapa kelayakan IELTS sangat berguna?

 

  • Diiktiraf di seluruh dunia
  • Ujian yang tepat untuk mengukur kecekapan bahasa Inggeris anda
  • Syarat kemasukan untuk belajar di luar negara dan syarat untuk memohon biasiswa
  • Meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris untuk peluang pekerjaan yang lebih luas terutamanya di luar negara
  • Kelayakan standard untuk semua pelajar antarabangsa

 

Bagaimanakah Struktur Ujian IELTS?

 

Peperiksaan IELTS di Malaysia dibahagikan kepada empat bahagian dan dinilai pada setiap peringkat. Ianya lebih kurang sama dengan ujian MUET iaitu penilaian melibatkan aspek percakapan, membaca, menulis dan mendengar. Purata keputusan IELTS membentuk skor band keseluruhan bermula dengan band satu hingga band sembilan (cemerlang). Ia juga dinilai dari segi skor 5 sebagai contoh, 4.5, 6.5 dan sebagainya. Berikut adalah penerangan mengenai struktur ujian secara spesifik :

 

Membaca

 

Masa yang diperunukkan adalah 60 minit untuk menjawab soalan dibawah seksyen ini yang mengandungi 40 soalan. Seksyen ini dibahagikan kepada beberapa bahagian berlainan mengikut bentuk soalan seperti soalan objektif, mengenal pasti dan memadankan maklumat, melengkapkan ayat, dan sebagainya.

 

Menulis

 

Ujian menulis, ianya dibahagikan kepada dua bentuk soalan. Soalan pertama, anda dikehendaki menulis laporan ringkas berdasarkan info grafik yang diberikan manakala soalan kedua pula adalah soalan berbentuk penulisan esei.

 

Mendengar

 

Mungkin sukar difahami cara orang lain bertutur dalam bahasa Inggeris, tetapi dalam bahagian ini, anda akan diuji sejauh mana perhatian anda terhadap perbualan audio yang diperdengarkan . Sepanjang 30 minit, anda perlu mendengar setiap butiran perbualan berkenaan dan tandakan jawapan pada helaian jawapan masing-masing.

 

Bercakap

 

Bahagian ini dibahagikan kepada tiga subkategori yang berbeza, iaitu Bahagian I, II dan III. Pada Bahagian I, anda perlu menunjukkan kemahiran bercakap dengan mengadakan perbualan secara bersemuka dengan pemeriksa. Anda akan diminta untuk memperkenalkan diri dan memberikan jawapan ringkas kepada soalan yang diajukan. Masa yang diberikan adalah selama lima minit untuk menarik perhatian pemeriksa dengan kefasihan berbahasa inggeris.

 

Bahagian II pula,  anda perlu memberi ucapan selama dua minit mengenai topik tertentu yang diberikan oleh pemeriksa manakala bahagian 3 adalah soalan susulan berkaitan dengan topik di Bahagian II, di mana anda perlu menganalisa dan memberi pendapat anda.

 

Bagaimana hendak memohon untuk Ujian IELTS?

 

British Council Malaysia merupakan salah satu institusi utama yang mengendalikan ujian IELTS ini. Bagi membantu pelajar membuat persediaan untuk menghadapi peperiksaan IELTS, British Council Malaysia menyediakan kursus Bahasa Inggeris secara percuma melalui dalam talian termasuklah ujian ulang kaji IELTS. Bantuan inilah sangatlah berguna untuk anda membuat persediaan yang rapi.

 

Kepada anda yang ingin mengikuti kursus persediaan IELTS secara bersemuka dengan tenaga pengajar yang merupakan pakar dalam Bahasa Inggeris, anda boleh mendaftar di cawangan British Council yang terletak di Kuala Lumpur. Mereka akan membantu anda mempelajari strategi untuk meningkatkan skor sekaligus meningkatkan kecekapan anda dalam bahasa utama dunia ini. Anda boleh mendaftar di laman web pendaftaran IELTS Malaysia atau laman web British Council IELTSdengan klik pada pautan berwarna biru yang kami kongsikan dibawah :

 

Daftar  untuk kursus bahasa Inggeris secara sepenuh masa

Daftar untuk kursus persediaan IELTS

 

 

Diharapkan dengan perkongsian ini membantu mengejar impian anda untuk melanjutkan pengajian ke luar negara. Akhir kata, semoga berjaya untuk anda.

BERITA BERKAITAN
Berita Terkini

Perlukan
bantuan?
mail