Are you an international student?
Visit the International Students section on our website to find out the latest news and everything you need to know about studying in Malaysia.
Diterbitkan oleh Afterschool.my pada Feb 15, 2019, 03:57 am
Pasaran kerja di dalam dan luar negara abad ini sangat kompetitif dan berubah terlalu pesat. Graduan moden perlu meningkatkan kelayakan akademik jika ingin mencapai kejayaan dalam kerjaya pilihan. Di zaman serba canggih ini, tidak mudah kita membezakan diri daripada orang lain dengan hanya memiliki ijazah sarjana muda.
Dengan lambakan graduan ijazah sarjana muda di pasaran kerja hari ini, permintaan industri terhadap kelayakan seseorang calon itu sudah tentu akan lebih tinggi. Selain kelayakan akademik, pengalaman kerja juga turut menjadi salah satu kriteria pemilihan.
Kamariah Mohd Noor, naib presiden (Operasi & Pengalaman Pelajar) di Open University Malaysia (OUM) berkata, “Mereka yang mengambil inisiatif untuk menyambung pengajian secara separuh masa, biasanya adalah golongan pekerja sepenuh masa. Ilmu pengetahuan yang diperolehi sepanjang pembelajaran dijadikan nilai tambah selepas menamatkan pengajian.”
Bercakap mengenai OUM sebagai universiti pilihan bagi golongan dewasa yang bekerja, Kamariah menjelaskan, “Sistem penyampaian dan sokongan pembelajaran di OUM dibangunkan khas untuk pelajar yang memilih pembelajaran secara jarak jauh dan terbuka. Bahan pembelajaran yang berkonsepkan interaktif dan mudah akses sangat praktikal dalam membantu para pelajar menguruskan pengajian mereka. Selain itu, OUM turut mempunyai rangkaian tenaga pengajar berkelayakan, dilantik untuk mengajar dalam kelas bersemuka di pusat-pusat pembelajaran di seluruh negara.”
Nawwal Syafiqah Muhammad Rushdi, seorang pengurus besar di Makang Sedak Signature dan pelajar diploma dalam bidang pengurusan, berkata OUM adalah pilihan terbaik buat dirinya.
“Pada awalnya, sukar juga untuk menyesuaikan diri dengan kaedah pembelajaran di OUM. Akhirnya saya mula menyedari bahawa OUM adalah pilihan yang tepat. Saya dapat memilih bila dan apa yang ingin saya belajar mengikut jadual sendiri selain dapat memberi sepenuh tumpuan kepada perniagaan. Sebagai contoh, belajar dua jam setiap hari melalui platform pembelajaran dalam talian OUM myINSPIRE sudah cukup untuk saya. Kuiz dan kerja kursus yang diberikan turut membantu saya memahami subjek dengan lebih baik. Tempoh yang diberikan untuk menyelesaikan setiap tugasan juga tidak membebankan,” kata Nawwal.
Bagi Datin Suriani Abdul Rahman, pelajar ijazah sarjana dalam bidang pengurusan di samping bekerja sepenuh masa sebagai ketua pengurusan bakat di Radio Televisyen Malaysia, berkata pelajar OUM diberikan fleksibiliti dalam pembelajaran.
“Jadual waktu untuk keseluruhan semester diberikan lebih awal. Justeru, kami boleh merancang aktiviti pembelajaran seperti kelas, tugasan dan persediaan untuk keseluruhan semester dengan mudah. Melalui myINSPIRE, saya juga boleh memilih untuk belajar dan menghantar tugasan secara dalam talian di mana-mana sahaja. Saya bebas untuk bekerja, mengembara atau menjalankan aktiviti lain sambil meningkatkan kemahiran."
Pandangan yang sama turut dikongsikan oleh R. Chandra Vani, alumni OUM yang kini bekerja sebagai penganalisis kanan sistem di sebuah jabatan kerajaan. “Persekitaran pembelajaran di OUM adalah mesra keluarga. Sebagai ibu kepada empat orang anak, saya masih berpeluang untuk memiliki segulung ijazah walaupun pada masa yang sama perlu bekerja dan meluangkan masa berkualiti bersama keluarga. ”Chandra Vani juga berkongsi pengalamannya semasa memohon jawatan penganalisis komputer selepas melengkapkan pengajian di OUM. Dengan cubaan pertama, beliau telah berjaya mendapatkan jawatan tersebut.
“Peranan dan tanggungjawab saya dalam jawatan baru sangat mencabar tetapi saya akan terus memanfaatkan ilmu pengetahuan yang diperolehi semasa di OUM dalam urusan kerja harian,” tambahnya.
Berlokasi di 33 pusat pembelajaran di seluruh Malaysia, syarat kemasukan yang fleksibel melalui Pengakreditan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (APEL), yuran yang berpatutan dengan kaedah pembelajaran yang teradun, OUM sememangnya menyediakan sistem pembelajaran yang fleksibel untuk mereka yang ingin belajar sambil bekerja.
Dengan adanya myINSPIRE, OUM telah memudahkan pembelajaran melalui e-modul, e-forum, video tutorial dan forum secara langsung. Untuk sokongan pentadbiran, aplikasi myOUM turut disediakan agar pelajar sentiasa berhubung dengan aktiviti pembelajaran di universiti seperti maklumat pendaftaran kursus, jadual tutorial, serta jadual dan keputusan peperiksaan setiap semester.
Penggunaan aplikasi digital ini memberi kelebihan kepada pelajar OUM sekaligus melonjak OUM terus maju ke hadapan dalam usaha meningkatkan kualiti kehidupan selain membuka minda rakyat Malaysia tentang pentingnya peningkatan dalam tahap pendidikan.
Perlukan
bantuan?