Ini 6 Negara Terbaik yang Benarkan Anda Bekerja Sambil Belajar di Luar Negara!

Diterbitkan oleh Afterschool.my pada Apr 07, 2022, 02:21 am

Anda merancang untuk belajar di luar negara, tetapi tidak mempunyai biasiswa yang boleh menampung semua perbelanjaan? Jangan risau, anda mungkin boleh mempertimbangkan untuk bekerja secara part time atau full time di negara berkenaan. Dengan bekerja, anda boleh menampung kos pengajian dan sara hidup selain memperolehi pengalaman bekerja di luar negara. 

 

 

Walau bagaimanapun, masalah utama yang dihadapi oleh kebanyakan pelajar antarabangsa ialah tidak dibenarkan bekerja sambil belajar termasuk negara kita yang turut menghalang pelajar asing daripada bekerja. Negara tumpuan pelajar dari seluruh dunia seperti Amerika Syarikat juga mempunyai undang-undang yang sangat rumit dan peraturan yang ketat untuk pelajar antarabangsanya yang ingin bekerja. Di sesetengah negara, seperti Costa Rica, pelajar antarabangsa dilarang sama sekali untuk bekerja sambil belajar.

 

Namun, terdapat juga negara yang membenarkan pelajar antarabangsa bekerja sambil belajar. Berikut ialah enam negara dengan kualiti pendidikan terbaik untuk anda yang ingin belajar sambil bekerja di luar negara. Ada negara yang turut membenarkan ahli keluarga anda bekerja dengan peraturan yang sama!.

 

1.   Sweden

Walaupun Sweden tidak tersenarai antara kalangan sepuluh negara teratas dalam soal kualiti sistem pendidikan, tetapi negara ini masih antara pilihan terbaik di dunia untuk pelajar antarabangsa melanjutkan pengajian.

 

Tidak seperti kebanyakan negara di seluruh dunia, anda dibenarkan bekerja sambil belajar di Sweden asalkan mempunyai permit kediaman (visa pelajar). Tiada had rasmi untuk jumlah jam yang anda boleh bekerja, tetapi anda perlu menghabiskan kira-kira 40 jam seminggu untuk menghadiri kuliah, belajar dan mengerjakan tugasan pengajian anda. 

 

Selain itu, pelajar antarabangsa yang datang dari luar negara EU/EAA, anda boleh memohon dengan lembaga migrasi untuk tinggal di Sweden selama 12 bulan selepas tamat pengajian untuk mencari pekerjaan di sana. Dengan peraturan ini, tidak hairanlah jika Sweden menjadi antara negara popular untuk sambung belajar.

 

2. United Kingdom

Beberapa universiti terbaik dunia terletak di UK, tetapi negara itu mempunyai peraturan yang ketat dalam hal bekerja sambil belajar. Jika anda warganegara EU, EEA (Kawasan Ekonomi Eropah), atau Switzerland tiada had pada bilangan jam anda boleh bekerja setiap minggu dan tiada proses permohonan. Anda hanya perlu memaklumkan kepada majikan dari mana anda berasal.

 

 

Jika anda dari negara di luar EU, peraturannya agak berbeza. Pertama sekali, anda memerlukan Visa Pelajar Tahap 4 (Umum) sebelum dibenarkan bekerja. Walau bagaimanapun, masih terdapat banyak sekatan. Secara ringkasnya, anda dibenarkan bekerja selama 20 jam seminggu jika anda melanjutkan pengajian sepenuh masa di peringkat ijazah atau ke atas atau 10 jam seminggu jika pada tahap bawah daripada ijazah seperti diploma dan sijil. 

 

3. Perancis

Perancis ialah salah sebuah negara terbaik untuk sambung belajar kerana mereka membenarkan semua pelajar antarabangsanya bekerja sambil belajar. Walaupun anda berjaya menyambung pengajian dibawah tajaan biasiswa, anda tetap boleh bekerja sekiranya ingin menambah kewangan atau menimba pengalaman bekerja di negara asing. Had bekerja adalah 964 jam setahun (kira-kira 19 jam seminggu), dan jika anda bukan daripada negara EU, anda mesti mempunyai permit pemastautin pelajar (APT) sebelum boleh bekerja secara sah. 

 

4. Kanada

Kanada ialah sebuah negara yang indah dengan banyak tawaran dalam bidang pendidikan, terutamanya jika anda merancang untuk tinggal di sana selepas tamat pengajian. Negara ini sangat mengalakkan pelajar asing untuk tinggal dan bekerja di Kanada selepas tamat pengajian.

 

 

Jika anda ingin bekerja sambil belajar, anda perlu mengikuti pengajian sekurang-kurangnya di peringkat ijazah. Pelajar antarabangsa dengan permit belajar boleh bekerja sambilan (kurang daripada 20 jam seminggu) tanpa permit kerja. Jika anda ingin bekerja sepenuh masa atau menjadi sebahagian daripada penempatan kerja semasa belajar, anda perlu memohon permit kerja. Pasangan anda juga boleh memohon permit kerja. 

 

5. Australia

Jika anda berjaya mendapatkan visa pelajar dan mengikuti pengajian di Australia, anda bukan sahaja boleh bekerja di sana sambil belajar tetapi mana-mana ahli keluarga yang ikut serta tinggal di Australia (ahli keluarga termasuk dalam permohonan visa pelajar) sebagai contoh suami, isteri, ibu, bapa, anak, adik beradik boleh bekerja dengan peraturan yang sama. 

 

 

Semasa anda belajar, anda boleh bekerja sehingga 20 jam setiap minggu dan sepenuh masa semasa cuti hujung minggu atau cuti semster dan sebagainya. Jika anda seorang pelajar pasca siswazah (master atau PhD) mod penyelidikan, anda boleh bekerja sepenuh masa. Hak yang sama diberikan kepada semua ahli keluarga yang datang bersama anda!.

 

6. New Zealand

Akhir sekali, New Zealand. Negara ini sama seperti Sweden, tidak mempunyai universiti terkenal dunia tetapi ia menawarkan pendidikan yang sangat baik dan membenarkan anda untuk bekerja sambil belajar!. Permohonan visa pelajar juga agak mudah untuk diluluskan berbanding negara lain.

 

Jika anda ingin bekerja sebelum anda memulakan pengajian, anda mesti menyemak eVisa atau label visa fizikal yang boleh didapati dalam pasport atau surat yang disertakan bersama visa pelajar anda untuk kebenaran bekerja. Jika anda tidak dapat mencari hak bekerja anda, maka anda tidak layak untuk bekerja.

 

 

Anda boleh bekerja sehingga 20 jam seminggu jika anda belajar sepenuh masa sekurang-kurangnya dua tahun. Manakala sepanjang cuti, anda boleh bekerja secara sepenuh masa. Juga, Ph.D. dan pelajar Sarjana (dalam penyelidikan) boleh bekerja sepenuh masa tanpa sebarang sekatan.

 

Diharapkan dengan perkongsian ini dapat membantu anda yang mempunyai masalah kewangan untuk sambung belajar ke luar negara. Perkongsian ini juga berguna untuk anda yang mendapat tajaan biasiswa. Maklum sahajalah, biasiswa juga kadang kala tidak mencukupi untuk menampung kos sara hidup yang meningkat di negara luar. 

 

Jika tidak ada masalah kewangan sekalipun, anda digalakkan untuk bekerja dan merasai pengalaman berharga bekerja di negara asing sekaligus dapat membentuk jati diri, merasai kesusahan, budaya bekerja dan sebagainya. Semoga berjaya!

 

ARTIKEL BERKAITAN

BERITA BERKAITAN
Berita Terkini

Perlukan
bantuan?
mail