Naib Canselor UiTM baru: Kementerian Pengajian Tinggi mengumumkan Profesor Emeritus Datuk Dr Hassan Said sebagai Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang baru mulai 1 Februari 2016.

Profesor Emeritus Datuk Dr Hassan Said akan mengambil alih kepimpinan Tan Sri Prof Ir Dr Sahol Hamid Abu Bakar yang telah berkhidmat sebagai Naib Canselor UiTM sejak 1 Januari 2010. Khidmatnya (Sahol Hamid) sebagai Naib Canselor UiTM akan berakhir pada 31 Disember 2015.
Hassan, 60, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda dalam bidang matematik dari University of Manchester (1979), Ijazah Sarjana Sains dari Brunel University, United Kingdom (1981) dan Ijazah Doktor Falsafah dari Brunel University (1984), pakar dalam reka bentuk geometri berbantukan komputer.
Beliau merupakan Naib Canselor dan Presiden Taylor's University sebelum pelantikannya. Beliau juga adalah bekas Ketua Pengarah Pengajian Tinggi dari Januari 2005 hingga April 2008.
Menurut kementerian itu, Hassan memainkan peranan penting di dalam penubuhan Institut Penyelidikan Pendidikan Tinggi Negara (IPPTN). Karisma sebagai pemimpin dan pencapaian akademiknya dipercayai membawa universiti itu ke tahap yang lebih tinggi.