Dasar dan Kriteria Pemilihan Kemasukan ke Universiti Awam dalam Permohonan UPU Lepasan STPM

Diterbitkan oleh Afterschool.my pada Jul 05, 2022, 01:26 am

Dasar dan kriteria pemilihan penting untuk memastikan anda memenuhi semua syarat dan keperluan yang diletakkan oleh UPU. Dasar pemilihan adalah berasaskan prinsip meritokrasi dengan mengguna pakai 90% markah akademik dan 10% markah kokurikulum. Manakala kriteria pemilihan calon bagi lepasan STPM/Setaraf mengambil kira perkara-perkara dibawah :

 

 

Pencapaian akademik dalam peperiksaan dan pencapaian dalam aktiviti kokurikulum

Ramai yang beranggapan bahawa aktiviti kokurikulum itu tidak penting, tetapi tahukah anda ianya termasuk dalam kriteria pemilihan pelajar ke universiti awam. 10% markah kokurikulum akan dinilai melalui kaedah meritokrasi. Jadi jangan sesekali memandang remeh akan hal ini.

 

Kombinasi mata pelajaran yang bersesuaian dengan program pengajian dipohon

Bagi anda yang berbeza kelulusan dan ingin memohon bidang yang lain, perlu berhati-hati. Ini kerana keutamaan diberikan kepada pemohon daripada kelulusan bidang yang sama. Jadi jangan hairan jika ada pemohon yang cemerlang tetapi tidak berjaya dalam permohonan. Jadi dinasihatkan letakkan keutamaan pemilihan program pengajian mengikut bidang kelulusan yang sama. Jika anda berminat memohon bidang pengajian yang berbeza, letakkan di pilihan-pilihan yang terakhir. 

 

Gred mata pelajaran untuk tujuan pengkhususan

Setiap pemohon akan dikategorikan mengikut kelulusan dan bidang pengajian dan saringan permohonan bagi menentukan kelayakan untuk program pengajian yang dipilih.

 

Memenuhi syarat khas program dan lulus temuduga 

Anda mestilah memenuhi syarat khas program pengajian seperti yang ditetapkan oleh UA, Politeknik, Kolej Komuniti dan ILKA yang dipohon dan lulus temu duga/ujian bagi program bertemu duga/ujian yang dipohon sebelum layak ditawarkan ke kursus yang dipohon

 

Memiliki sijil kelayakan MUET 

Anda wajib mempunyai sijil kelayakan MUET dengan mendapat sekurang-kurangnya Tahap 1 (Band 1). Walau bagaimanapun ini adalah keperluan minimum sahaja. Setiap program pengajian meletakkan kelayakan MUET yang berbeza. Pastikan anda turut menyemak kelayakan khas program pengajian yang ditetapkan oleh UA.

 

Program pengajian pilihan pemohon mengikut keutamaan

Susunan pemilihan sangat penting, buat susunan program pengajian mengikut keutamaan kerana permohonan pertama akan disaring terlebih dahulu. Sekiranya gagal, program pengajian pilihan kedua dan seterusnya akan disaring sehinggalah pilihan terakhir. Jika pilihan ke 2 misalnya telah berjaya, maka pilihan seterusnya TIDAK AKAN disaring lagi. Jadi susunlah dengan baik mengikut minat anda dan keutamaan. Jangan pakai hentam sahaja. Lihat rajah saringan dibawah yang dikongsikan oleh UPU.

 

Bilangan tempat yang disediakan oleh Universiti Awam

Walaupun anda memenuhi semua syarat kelayakan tetapi jika pemohon lain lebih layak berbanding anda dan memenuhi kuota tempat yang disediakan untuk sesebuah kursus, anda akan tetap gagal dalam permohonan.

 

Oleh itu, jadilah pemohon yang bijak jika tidak mahu gagal dalam permohonan. Pastikan anda tidak melakukan sebarang kesilapan remeh sehingga menyebabkan permohonan gagal atau ditolak. Semoga berjaya!

BERITA BERKAITAN
Berita Terkini

Perlukan
bantuan?
mail