5 ciri-ciri arkitek yang berjaya
Diterbitkan oleh Afterschool.my pada Feb 18, 2016, 02:34 pm
Ciri arkitek yang berjaya.
Bulan lalu, Afterschool ke pejabat Persatuan Arkitek Malaysia (PAM) sempena PAM Office Talk 2016, yang disampaikan oleh seorang arkitek terkemuka, Ar. Norzaini Mufti.
Sebagai pemilik ZSR Architecture Ventures Sdn Bhd, beliau berkongsi pengalaman tentang 5 ciri-ciri seorang arkitek yang berjaya.
1. Pilih kerjaya arkitek kerana minat
Jika kamu merancang untuk menjadi arkitek kerana mahu mengejar glamor, menurut Ar. Norzaini, kamu tidak akan mampu untuk bertahan kerana cabaran yang cukup tinggi untuk menjadi seorang arkitek.
Sebaliknya jika kamu mahu menjadi arkitek kerana minat serta mempunyai ketekunan yang jitu, kamu boleh terus berjaya dan terus bermotivasi dalam melaksanakan kerjaya ini.
2. Mempunyai skil sosial yang baik
Siapa kata arkitek hanya membina bangunan? Arkitek yang berjaya, menurut Ar.Norzaini, juga perlu pandai dalam membina perhubungan yang baik. Arkitek yang berjaya perlu mempunyai skil sosial yang baik seperti skil dalam berkomunikasi, toleransi dan kesabaran.
Dengan skil ini, barulah seorang arkitek akan berjaya untuk menjalankan kerjanya kerana idea dan komunikasi berjalan seiring tanpa ada salahfaham.
3. Menyeimbangkan antara seni dan sains
Arkitek yang baik tidak hanya pakar dalam satu bidang tetapi pelbagai bidang dan mampu mengimbangkannya dalam hasil kerjanya. Sebuah bangunan memerlukan sains untuk membinanya tetapi dalam masa sama memerlukan seni untuk meningkatkan nilai aestetikanya.
Kata Ar. Norzaini lagi, keseimbangan ini yang dapat menjadikan sebuah bangunan itu cantik dan dalam masa sama mampu berfungsi dengan baik.
4. Jadikan inspirasi, jangan cemburu
Dalam bidang ini, persaingan amat sengit, dan berkemungkinan rekacipta anda tidak sehebat arkitek yang lain.
Untuk berjaya dalam bidang ini, menurut Ar. Norzaini, kita seharusnya mengambil inspirasi dari rekacipta orang lain dan bukannya mencemburui dan membuat musuh.
Mungkin jika kita berkawan baik dan bertukar-tukar pandangan dengan arkitek lain, kita juga mampu menghasilkan sebuah arkitektur yang indah dan bagus.
5. Menepati masa
Menepati masa juga sangat penting untuk memastikan klien terus mempercayai kita.