Bagaimana Menjadi Doktor di Malaysia Selepas SPM

Diterbitkan oleh Afterschool.my pada Apr 15, 2022, 11:01 am

Pernahkah anda bermimpi untuk memakai kot putih dan bekerja di hospital? Adakah anda sentiasa kagum dengan profesional perubatan yang berhadapan dengan pelbagai krisis kesihatan, karenah pesakit dan merasakan bahawa anda mampu bekerja seperti mereka untuk menyahut cabaran itu? Jika ya, maka kerjaya sebagai doktor mungkin sesuai untuk anda!

 

 

Untuk merealisasikan impian kerjaya anda, kami telah menyediakan panduan langkah demi langkah bagaimana hendak memperolehi kelayakan sebagai doktor di Malaysia bermula selepas SPM.

 

Langkah 1. Memenuhi syarat di peringkat SPM

Untuk belajar dalam kursus perubatan dan menjadi doktor di Malaysia, anda mesti memenuhi syarat kelayakan akademik yang ditetapkan di peringkat SPM oleh Majlis Perubatan Malaysia (MMC).

  • Memperolehi sekurang-kurangnya 5B dalam SPM atau Peringkat O-Level / IGCSE dalam subjek berikut:
    • Biologi
    • Kimia
    • Fizik
    • Matematik atau Matematik Tambahan, dan mana-mana satu subjek lain
    • Kepujian dalam Bahasa Melayu dan lulus subjek sejarah untuk memenuhi syarat-syarat bekerja dalam kerajaan semasa latihan housemanship anda nanti.

 

Bagaimana jika anda tidak mendapat 5B dalam mata pelajaran yang diperlukan pada peringkat SPM? Sekiranya anda gagal dalam subjek fizik atau matematik, atau tidak mengambil salah satu daripada dua subjek berkenaan semasa SPM kerana menganggap ia tidak berkaitan dengan perubatan, anda masih berpeluang untuk melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan iaitu dengan mengikuti program pengajian di peringkat pra-universiti, sama ada A-Level atau STPM, dan memenuhi keperluan di peringkat akademik yang lebih tinggi iaitu peringkat pra-universiti. 

 

Jika anda ingin melanjutkan pengajian ke Asasi Sains di mana-mana universiti atau Matrikulasi Australia (cth SACEi, AUSMAT), anda masih memerlukan 5B dalam mata pelajaran SPM yang kami senaraikan diatas. 

 

 

Langkah #2. Lengkapkan program pra-universiti 

Untuk melayakkan anda sambung ke peringkat ijazah dalam bidang perubatan, anda disyorkan untuk mengikuti program pra-universiti (A Levels, STPM, Matrikulasi, SACEi) atau mengikuti program Asasi Sains di mana-mana IPTA/IPTS. Sila ambil perhatian, jika anda ingin sambung ijazah perubatan di universiti awam, pastikan sambung Asasi Sains di universiti awam juga. Tetapi jika tidak kisah sambung di IPTS, boleh memilih mana-mana IPTS yang tawarkan foundation in science. Tamat Asasi Sains, anda boleh sambung degree perubatan di universiti sama atau IPTS lain. 

 

Keperluan akademik di peringkat pra-universiti untuk kelayakan ke program ijazah perubatan adalah seperti berikut:

  • A-Level : Memperolehi gred BBB, ABC atau AAC dalam Biologi, Kimia, Fizik atau Matematik
  • STPM : BBB, ABC atau AAC dalam Biologi, Kimia, Fizik atau Matematik
  • Matrikulasi Australia (cth SACEi, WACE): 3B dalam Biologi, Kimia, Fizik atau Matematik; atau ATAR 80 termasuk purata 80% dalam Biologi, Kimia, Fizik atau Matematik
  • Asasi Sains / Matrikulasi : PNGK 3.0 dalam Biologi, Kimia, Fizik atau Matematik, dan semua mata pelajaran mestilah sekurang-kurangnya C (GPA 2.0); dan 5B dalam SPM dalam Biologi, Kimia, Fizik, Matematik atau Matematik Tambahan, dan satu mata pelajaran lain
  • Melengkapkan mana-mana satu daripada kelayakan di atas akan melayakkan anda melanjutkan pelajaran ke ijazah perubatan (MBBS)

 

 

Langkah #3. Lengkapkan Pengajian Ijazah Perubatan 

Sebaik sahaja anda melengkapkan pengajian di peringkat pra-universiti dan memenuhi syarat kemasukan, anda akan layak untuk mengikuti Ijazah dalam Perubatan. Untuk menjadi pegawai perubatan berdaftar di Malaysia, anda mesti mengikuti ijazah perubatan yang diiktiraf oleh Majlis Perubatan Malaysia (MMC), tidak kira sama ada ijazah anda dari Malaysia atau luar negara.

 

Jika tidak, anda mungkin berisiko tidak dapat bekerja sebagai pengamal perubatan di Malaysia. Akreditasi juga perlu menunjukkan bahawa institusi dan program yang diikuti memenuhi piawaian dan garis panduan kebangsaan selaras dengan keperluan MMC. 

 

Kebanyakan ijazah perubatan mengambil masa 5 tahun pengajian. Semasa pengajian perubatan, anda akan fokus pada teori asas sains perubatan dalam 2 tahun pertama. Selepas itu, anda akan beralih kepada latihan klinikal di mana anda akan memperoleh pengalaman langsung dengan pesakit melalui penggiliran klinikal di hospital dan klinik kesihatan. Sebaik sahaja anda menamatkan ijazah perubatan, anda boleh ke langkah seterusnya iaitu housemanship.

 

Langkah #4. Lengkapkan housemanship anda

Housemanship (atau latihan perubatan) merujuk kepada perkhidmatan wajib di mana graduan perubatan menjalani latihan klinikal di hospital sebelum mereka boleh mendaftar sebagai doktor. Di Malaysia, graduan perubatan mesti menjalani housemanship selama 2 tahun di hospital kerajaan .

 

Sepanjang Housemanship selama 2 tahun, anda akan ditugakan ke 6 jabatan berbeza untuk tempoh 4 bulan bagi setiap jabatan. 5 jabatan pertama adalah dalam disiplin teras iaitu  perubatan dalaman, pediatrik, pembedahan, obstetrik dan ginekologi, dan ortopedik. Posting terakhir adalah dalam disiplin elektif pilihan anda, termasuk di jabatan perubatan kecemasan, anestesia, penjagaan primer dan psikiatri.

 

Latihan dalam pelbagai disiplin akan membolehkan anda memperoleh pengalaman yang luas dalam menguruskan pesakit dengan penyakit yang berbeza. Tugas anda termasuk menilai pesakit, menguruskan penjagaan pesakit, membuat pusingan wad, melakukan prosedur mudah di bawah pengawasan dan menguruskan pelepasan pesakit yang sudah boleh discharge daripada hospital.

 

Sebagai pelatih houseman, anda dianggap sebagai profesional perubatan berdaftar sementara. Anda akan dinilai di setiap posting dan hanya dibenarkan melengkapkan housemanship sebaik sahaja lulus.

 

 

Langkah #5. Lengkapkan pendaftaran penuh sebagai Pegawai Perubatan

Sebaik sahaja anda berjaya melengkapkan housemanship, anda boleh terus mendaftarkan diri dengan MMC dan menjadi pegawai perubatan berdaftar penuh. Pada peringkat ini, anda akan dapat menggunakan singkatan "Dr." di hadapan nama anda.

 

Langkah #6. Teruskan 2 tahun perkhidmatan wajib dengan kerajaan

Selepas pendaftaran penuh sebagai pegawai perubatan, anda dikehendaki menjalani perkhidmatan wajib dengan kerajaan selama 2 tahun. Perkhidmatan wajib ini hendaklah dilakukan di hospital dan klinik di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia. Terdapat kemungkinan untuk memohon pengurangan tempoh perkhidmatan wajib. Walau bagaimanapun, anda mesti telah berkhidmat di sektor awam sekurang-kurangnya 18 bulan.

 

 

Langkah #7. Untuk menjadi pakar, anda perlu melengkapkan pengajian pasca siswazah dan memperoleh pengalaman praktikal

 

Jika anda ingin menjadi pakar (cth pakar neurologi, pakar kardiologi, pakar sakit puan, pakar pediatrik), anda perlu melanjutkan pengajian ke peringkat pasca siswazah dan menjalani latihan lanjut yang diperlukan.

 

Kebanyakan pegawai perubatan yang baru berkelayakan akan terlebih dahulu bekerja selama beberapa tahun untuk menimba pengalaman. Pada masa ini, anda boleh meminta untuk ditempatkan di jabatan tertentu atau mendapatkan pakar untuk menjadi mentor anda. Dengan cara itu, anda akan dapat membiasakan diri dengan selok-belok jabatan dan melihat sama ada ia sesuai dengan anda atau sebaliknya. 

 

Sebaik sahaja anda telah memutuskan bidang yang anda inginkan pengkhususan, anda boleh meneruskan pengajian pascasiswazah yang mengambil masa 4 – 5 tahun untuk disiapkan. Selain itu, anda juga perlu menjalani 2 – 4 tahun latihan di bawah seliaan untuk menjadi pakar, bergantung pada bidang tersebut.

 

Setelah melengkapkan pelbagai kriteria untuk menjadi pakar (pendidikan lepasan ijazah, latihan, pengalaman kerja), anda kemudiannya boleh mendaftar sebagai pakar dengan MMC.

 

Semoga ini dapat memberi sedikit pencerahan tentang laluan menjadi seorang doktor selepas SPM. Walaupun tempoh pengajian perubatan agak panjang berbanding bidang lain selain cabaran yang bukanlah mudah seperti mana yang dilihat, yakinlah bahawa halangan ini akan menjadikan anda seorang yang berguna kepada negara dan masyarakat, berdedikasi, berdaya tahan serta integriti yang diperlukan untuk bergelar profesional perubatan. Untuk menyemak senarai kursus perubatan dan artikel lain berkaitan perubatan boleh klik link dibawah.

 

BERITA BERKAITAN
Berita Terkini

Perlukan
bantuan?
mail