8 Pekerjaan Paling Tinggi Permintaan Di Malaysia Untuk Tahun 2022

Diterbitkan oleh Afterschool.my pada Apr 20, 2022, 10:22 am

Pandemik COVID-19 telah mengubah landskap pekerjaan di Malaysia. Ia mengubah mod kerja, kecekapan, dan pekerjaan keseluruhan dalam hampir semua industri. Kini, kebanyakannya bergantung pada teknologi untuk mengekalkan kualiti kerja sekaligus memastikan perniagaan berjalan dengan baik. 

 

 

Ini juga bermakna bahawa banyak operasi perniagaan terpaksa berhijrah ke ruang digital, makanya menukar pekerjaan anda dengan pekerjaan yang paling tinggi permintaan oleh majikan mungkin akan menyelamatkan anda dari kancah pengangguran. Walau bagaimanapun, masih terdapat beberapa pekerjaan yang masih kekal diminati seperti biasa, membuktikan bahawa masih terdapat beberapa kemahiran dan kepakaran yang kekal berharga dan diperlukan dalam norma baharu.

 

 

Menerusi artikel ini, kami telah mengenal pasti pekerjaan yang paling tinggi mendapat permintaan di Malaysia untuk tahun 2022 berdasarkan aliran semasa dan unjuran industri. 

 

1. Teknologi maklumat dan pembangunan perisian

Pekerjaan teknologi mendapat permintaan tinggi hari ini, memandangkan syarikat daripada pelbagai industri menggunakan teknologi digital ke dalam operasi harian mereka. Pergantungan yang semakin meningkat pada teknologi digital bermakna lebih banyak peluang pekerjaan dalam bidang ini.

 

Pembangun perisian dan aplikasi berada di bahagian atas senarai paling tinggi permintaan kerja, kerana mereka bertanggungjawab untuk mencipta platform digital untuk perniagaan. Perkara yang sama berlaku untuk pembangun web dan pereka pengalaman pengguna (UX) yang menyediakan platform reka bentuk pintar untuk meningkatkan keberkesanan perniagaan. 

 

 

Kebangkitan telekomunikasi telah menjadikan pekerjaan teknologi maklumat (IT) sebagai salah satu yang paling mendapat permintaan. Jawatan seperti penganalisis sistem dan pakar keselamatan siber juga sangat penting dalam syarikat, dimana mereka perlu mewujudkan sistem IT baharu untuk norma baharu. Sekiranya anda mempunyai latar belakang dalam IT, pastikan anda memanfaatkan peluang yang semakin meningkat ini. Tetapi jika sebaliknya, anda boleh mempertimbangkan untuk beralih kerjaya kepada teknologi dengan mempelajarinya atau menambah kemahiran sedia ada anda. 

 

2. Pemasaran digital

Banyak syarikat kini menyedari kepentingan pemasaran digital dengan pelanggan generasi hari ini. Penggunaan dan interaksi digital telah meningkat selama bertahun-tahun dan dipercepatkan lagi oleh wabak Covid-19. Keadaan ini telah membuka peluang pekerjaan baharu dalam syarikat yang cuba memanfaatkan peluang pasaran baharu yang wujud bagi memperolehi keuntungan. 

 

 

Pakar pemasaran digital ialah pekerjaan yang sesuai untuk anda yang suka mencipta, mengurus dan melaksanakan kempen pemasaran digital. Jika anda ingin menjadi penganalisis pemasaran, anda mestilah mempunyai kepakaran dalam menganalisis data. Bagi anda yang mempunyai minat terhadap media sosial boleh menceburi kerjaya sebagai pengurus media sosial. 

 

Terdapat banyak juga pekerjaan lain yang berkaitan dengan pemasaran kandungan, antaranya adalah pekerjaan sebagai penulis atau editor untuk kandungan bertulis, atau pengeluar video atau pereka grafik untuk kandungan video. Semua pekerjaan yang dikongsikan diatas berada di bawah satu nama baharu iaitu pemasaran digital. Ia adalah industri yang dipenuhi dengan banyak peluang terutamanya untuk anda yang bersemangat dan bersedia untuk meningkatkan kemahiran dan mempelajari perkara baharu.

 

3. Pekerjaan kewangan

Masa mungkin berubah tetapi pekerjaan berkaitan wang tetap kekal dalam mana-mana ekonomi. Memandangkan banyak syarikat berusaha untuk menyesuaikan diri dengan cabaran baharu, mereka memerlukan orang yang mempunyai kepakaran dalam bidang kewangan. Penganalisis kewangan, penasihat pelaburan dan akauntan adalah antara pekerjaan kritikal dalam pasaran hari ini. 

 

 

Mereka memainkan peranan penting dalam membimbing perniagaan melalui tempoh ekonomi yang mencabar dan membantu perniagaan bertahan atau bahkan berkembang maju dengan memaksimumkan peluang keuntungan. Tidak perlu dinafikan lagi, pekerjaan berkaitan kewangan akan terus menjadi antara pekerjaan yang paling mendapat permintaan tinggi di Malaysia.

 

4. Pengurus projek

Keupayaan untuk menyesuaikan diri menjadi ciri yang paling penting bagi syarikat untuk beberapa tahun kebelakangan ini. Itulah sebabnya terdapat peningkatan permintaan untuk pengurus projek, yang bertanggungjawab untuk menguruskan tempat kerja semasa mereka beralih ke normal baharu. 

 

 

Seorang pengurus projek memegang jawatan yang sangat berguna dalam pelbagai fungsi korporat, sama ada dalam kesinambungan perniagaan, jualan, mahupun pentadbiran pejabat. Di mana terdapat peluang perniagaan baharu, sentiasa ada keperluan besar untuk pengurus projek. Memandangkan 2022 menawarkan kemungkinan baharu, peranan ini akan terus menawarkan potensi kerjaya yang hebat. 

 

5. Pembangunan perniagaan dan eksekutif jualan

Peluang perniagaan baharu untuk tahun-tahun akan datang juga bermakna lebih banyak permintaan untuk pekerja dalam pembangunan dan jualan perniagaan. Syarikat akan mencari pekerja yang mempunyai kemahiran yang relevan dengan keperluan pasaran semasa bertujuan untuk mencari peluang pemasaran dan menjana pendapatan baharu. Oleh itu, eksekutif jualan perlu bijak meneroka kemahiran baharu supaya kekal relevan. 

 

 

Walau bagaimanapun, kemahiran komunikasi sebagai eksekutif jualan masih diperlukan disamping meningkatkan kemahiran dalam pemasaran digital yang sangat berharga pada tahun 2022. Eksekutif jualan pada hari ini perlu mahir dalam pemasaran e-mel dan media sosial untuk mencari lebih ramai pembeli yang berpotensi dan meningkatkan jualan mereka.  

 

6. Pakar perubatan

Memandangkan wabak ini terus menimbulkan ketidaktentuan, kesihatan akan terus menjadi keutamaan di Malaysia. Ini bermakna profesional perubatan khususnya jururawat akan terus mendapat permintaan yang tinggi. Industri penjagaan kesihatan negara adalah antara yang paling teruk terjejas akibat wabak ini. 

 

 

Jadi, negara memerlukan semua sokongan untuk bersiap siaga bagi menghadapi kemungkinan berlaku kembali fasa yang teruk seperti mana sebelum ini atau munculnya wabak baru pada masa depan. Pakar perubatan juga sangat diperlukan walaupun selepas hilangnya wabak memandangkan terdapat keperluan terhadap penjagaan kesihatan untuk melawan virus melalui program vaksinasi, penjagaan kesihatan bagi mereka yang pulih daripada COVID-19, dan pemantauan kes baharu.

 

7. Pendidik

Sistem pendidikan juga mengalami pergolakan besar sejak dua tahun lalu, memaksa guru untuk menyesuaikan diri dengan cepat dan beralih kepada pembelajaran di rumah. Sekolah dan universiti di Malaysia terus berada dalam mod pembelajaran jarak jauh dan mungkin masih berlaku pada tahun persekolahan akan datang. Institusi pendidikan akan mencari guru yang celik teknologi dan mahir dalam teknik pengajaran baharu yang sesuai dengan era digital.

 

 

Guru mungkin perlu meningkatkan kemahiran teknologi mereka serta mengemas kini kemahiran mengajar mereka untuk normal baharu. Sekolah dan universiti sedang mencari inisiatif untuk merapatkan jurang pembelajara dan pengajaran antara guru dan pelajar. Walaupun terdapat cabaran dengan persediaan pendidikan semasa, terdapat juga banyak peluang yang boleh digunakan oleh guru dengan teknologi yang tersedia untuk mereka. 

 

8. Eksekutif perkhidmatan pelanggan

Selain daripada peralihan ekonomi kepada teknologi digital, satu lagi perubahan ketara yang mungkin terbukti berkekalan ialah penekanan terhadap perkhidmatan pelanggan. Dalam masa yang sukar, adalah penting bagi syarikat untuk memberikan perhatian khusus pada sisi manusia dalam perniagaan. Tidak pernah ungkapan "pelanggan sentiasa betul" lebih relevan daripada hari ini, apabila jenama perlu lebih menyedari manfaat produk mereka kepada kehidupan orang ramai.

 

 

Kemahiran insaniah seperti kesabaran, profesionalisme, dan penyelesaian masalah masih tetap diperlukan. Tetapi untuk memastikan anda kekal relevan dalam bidang perkhidmatan pelanggan, anda mesti mempelajari semua tentang sistem Pengurusan Perhubungan Pelanggan (CRM) kerana pekerjaan ini tidak lagi hanya tertumpu kepada menyelesaikan isu pelanggan. Dengan CRM, pengamal perkhidmatan pelanggan lebih mahir dalam menjual dan menganalisis tingkah laku pelanggan.

 

Ini hanyalah beberapa pekerjaan yang paling mendapat permintaan di Malaysia yang akan menawarkan banyak peluang pada tahun-tahun akan datang. Untuk mendapatkan lebih banyak panduan berkaitan kerjaya, boleh semak senarai artikel dibawah.

 

ARTIKEL BERKAITAN

BERITA BERKAITAN
Berita Terkini

Perlukan
bantuan?
mail