7 Pekerjaan Reka Bentuk Multimedia Terbaik di Malaysia untuk Anda yang Kreatif

Diterbitkan oleh Afterschool.my pada Apr 12, 2022, 08:33 am

Reka bentuk multimedia adalah salah satu bidang yang paling menarik dan berkembang pesat dalam bidang seni visual. Pada masa sekarang, pereka multimedia mendapat permintaan yang tinggi di pasaran kerja disebabkan oleh kemahiran mereka dalam menggabungkan pelbagai jenis media bertujuan untuk menyampaikan maklumat kepada umum, termasuk penggunaan teks, imej, audio dan video. Daripada aplikasi mudah alih kepada permainan video dan iklan di laman web, semuanya dihasilkan oleh reka bentuk multimedia.

 

 

Sekiranya anda sukakan animasi digital, imej visual, teks, video dan juga audio untuk berkomunikasi dengan orang lain, kerjaya sebagai pereka multimedia mungkin sesuai untuk anda!. Jika anda ingin bekerja dalam bidang ini, berikut adalah kriteria dan personaliti utama yang diperlukan untuk menjadi seorang pereka multimedia:

  • Boleh menerima tekanan dan melakukan kerja dalam tempoh yang singkat 
  • Berfikir secara kritis dan on-the-spot
  • Mahir menggunakan perisian yang berbeza
  • Sentiasa meningkatkan kreativiti anda ke tahap yang lebih tinggi
  • Bekerja dalam satu pasukan atau secara individu

 

Di bawah ini kami kongsikan beberapa pekerjaan reka bentuk multimedia paling popular di Malaysia serta gaji permulaan terkini yang diperolehi mereka!.

 

1. Pereka bentuk multimedia

Sebagai pereka bentuk multimedia, peranan anda adalah untuk mencipta kandungan menggunakan animasi, artwork dan imej digital yang boleh berinteraksi dengan penonton. Antara projek yang mungkin anda akan terlibat adalah penghasilan video animasi, video bermaklumat dan iklan. 

 

 

Anda juga mungkin akan diminta untuk menggabungkan elemen reka bentuk grafik atau sentuhan khas menggunakan komputer seperti mana yang anda lihat dalam filem, iklan, permainan games dan laman web. Sebagai pereka multimedia, kemungkinan besar anda akan bekerjasama dengan agensi pengiklanan, syarikat pembangunan games, dan juga studio filem. 

Anggaran gaji permulaan : RM 3,056 sebulan

 

2. Animator

Jika anda gemar menonton filem animasi oleh Pixar or Disney atau Les' Copaque Production di Malaysia sendiri, anda tentunya kagum dengan usaha dan bakat animator di sebalik filem yang digemari ramai itu. Selain mencipta kesan visual dan menyunting urutan animasi, peranan anda sebagai animator termasuk menggabungkan program pemodelan dan animasi komputer, memanipulasi cahaya, tekstur dan bayang-bayang.

 

 

 

Anda akan merancang urutan naratif dan menghidupkan cerita pada skrin. Dengan populariti filem animasi yang berkembang pesat, menceburi bidang animasi boleh membawa anda kepada kemajuan dan kepuasan kerjaya yang hebat. Animator dan penulis skrip Brad Bird, sebagai contoh, memenangi Anugerah Akademi untuk karya hebatnya dalam Toy Story dan The Incredibles Pixar .

Anggaran gaji permulaan: RM 2,816 sebulan

 

3. Pereka bentuk permainan

Anda suka bermain video games sehingga boleh membayangkan alam permainan anda sendiri? Jika ya, kerjaya sebagai seorang pereka permainan mungkin sesuai untuk anda. Industri permainan video sedang berkembang pesat, ini bermakna terdapat permintaan yang tinggi untuk pereka permainan yang boleh menghidupkan permainan dengan kemahiran mereka dalam bidang reka bentuk multimedia, seperti animasi, ilustrasi 3D, grafik bergerak dan banyak lagi.

 

 

Mereka bentuk permainan video memerlukan masa yang panjang dan dedikasi untuk menyampaikan permainan dengan visual yang mengagumkan. Anda mesti bersedia dari segi mental dan fizikal untuk kerjaya ini!. Jika anda impikan pekerjaan masuk kerja pukul 8, balik pukul 5 lupakan sahaja impian anda untuk bergelar pereka bentuk permainan. 

Anggaran gaji permulaan: RM 2,916 sebulan

 

4. Pereka grafik

Reka bentuk grafik adalah antara laluan kerjaya yang paling ramai diambil oleh graduan reka bentuk multimedia. Sebagai pereka bentuk grafik, anda berperanan mereka bentuk grafik untuk pelbagai jenis produk seperti majalah, iklan, papan iklan dan reka bentuk pembungkusan.

 

 

Anda perlu bekerjasama rapat dengan pelanggan untuk memberi penerangan dan juga menasihati mereka tentang reka bentuk, susun atur dan format projek sebelum mereka bentuk grafik untuk mereka. Sebagai pereka grafik, anda perlu mempunyai kemahiran IT yang bagus, bakat mereka bentuk dan perhatian yang tinggi terhadap perincian selain peka dengan trend terkini yang boleh dijadikan kelebihan semasa menghasilkan reka bentuk.

Anggaran gaji: RM 2,398 sebulan

 

5. Ilustrator 3D

Anda masih boleh memperolehi gaji yang tinggi dengan ijazah dalam reka bentuk multimedia walaupun anda tidak mengambil peranan yang tepat sebagai pereka multimedia. Seorang ilustrator/artis 3D boleh memperoleh pendapatan yang besar (bermula dari sehingga RM 4,000) jika mereka sudah mempunyai pengalaman dalam industri dengan kemahiran yang diperlukan dan portfolio yang mengagumkan. 

 

 

Jika anda tidak berminat dengan projek berasaskan hiburan, anda boleh menceburi bidang perubatan dan penjagaan kesihatan juga. Dengan kemajuan teknologi, terdapat keperluan yang semakin meningkat untuk artis 3D dalam mencipta imej 3D dan ilustrasi perubatan untuk tujuan penyelidikan.

Anggaran gaji: RM 4,481 sebulan

 

6. Penyunting video

Di sebalik setiap video yang hebat adanya seorang editor yang mencurahkan jiwa dan raga mereka untuk memastikan setiap adegan dipertontonkan dengan sempurna. Jika anda bercita-cita untuk mencipta dan menyunting video yang menghiburkan, memberi inspirasi atau lucu seperti JinnyboyTV atau DanKhooProductions, anda akan menyukai pekerjaan sebagai editor video.

 

 

Memandangkan kerjaya ini sangat teknikal, pastikan anda mempunyai kemahiran yang mantap dalam pelbagai perisian penyuntingan video, seperti Adobe Premiere Pro dan Final Cut Pro. Gaji akan meningkat apabila anda memiliki lebih banyak pengalaman dan terlibat dalam lebih banyak projek.

Anggaran gaji: RM 2,413 sebulan

 

7. Jurutera bunyi

Anda mungkin tertanya-tanya: "Apakah kaitan bunyi dengan reka bentuk multimedia?" Filem atau video tidak akan lengkap tanpa kesan audio dan bunyi yang betul. Oleh itu, kerjaya reka bentuk multimedia juga termasuk dalam kejuruteraan bunyi.

 

 

Peranan anda adalah untuk mengadun dan mencipta semula bunyi untuk filem, iklan, produksi teater dan juga video muzik.  Jadual kerja anda mungkin tidak teratur kerana anda sentiasa bergerak antara set produksi dan studio. Walau bagaimanapun, peluh dan air mata anda akan terbayar apabila  melihat hasil akhir projek anda!

Anggaran gaji: RM 3,215 sebulan

 

Anda masih keliru, bidang pengajian apa yang menjanjikan peluang pekerjaan yang luas selepas tamat pengajian?, baca artikel Ketahui 13 Bidang Pengajian yang Senang Dapat Kerja

BERITA BERKAITAN
Berita Terkini

Perlukan
bantuan?
mail