Are you an international student?
Visit the International Students section on our website to find out the latest news and everything you need to know about studying in Malaysia.
Diterbitkan oleh Afterschool.my pada Feb 07, 2022, 09:47 am
Pelajar psikologi sering kali disalah sangka kerana kurangnya kesedaran orang ramai tentang bidang ini. Jika kita menonton filem yang mengetengahkan tentang masalah kesihatan mental misalnya, scene yang ditunjukkan adalah ahli terapi yang duduk di dalam bilik, mendengar pesakit mencurahkan isi hati mereka sambil berbaring di atas sofa.
Ada juga yang berpendapat bidang psikologi ini hanya merawat "orang gila", tetapi mereka lupa bahawa kanak-kanak hingga ke golongan dewasa dan warga tua, boleh menghidap masalah kesihatan mental (tekanan perasaan) pada bila-bila masa dalam hidup mereka, seterusnya mendorong mereka untuk mendapatkan khidmat kaunselor atau pakar psikologi. Untuk menafikan beberapa mitos popular dalam bidang ini, berikut antara salah faham biasa tentang mereka yang bekerja dalam bidang psikologi.
#1. Pelajar dan graduan psikologi boleh membaca fikiran
Psikologi secara umum boleh ditakrifkan sebagai kajian tentang minda dan tingkah laku manusia. Bagaimanapun, pelajar psikologi tidak boleh membaca minda orang lain. Andaian kebolehan membaca minda ini menjadi punca utama kekecewaan dalam kalangan pelajar atau graduan psikologi selepas mereka sambung belajar dalam bidang ini. Mitos ini berlaku mungkin disebabkan oleh soalan yang sering ditanya kepada pelajar psikologi selepas mereka memberitahu tentang jurusan diambil, "Apa yang saya fikirkan sekarang?". Walau bagaimanapun, perkara yang boleh dilakukan oleh pelajar atau siswazah psikologi ialah membuat tekaan terpelajar tentang apa yang mungkin dirasakan seseorang berdasarkan bahasa badan yang diunjukkan.
#2. Lulus dengan Ijazah Psikologi menjadikan anda seorang ahli psikologi
Apa yang ramai tidak faham ialah lulus dengan Ijazah Psikologi tidak menjadikan seseorang itu ahli psikologi . Seseorang perlu memperoleh ijazah sarjana (master) atau PhD dalam bidang berkaitan untuk melayakkan mereka menjadi seorang ahli psikologi. Selain itu, pelajar psikologi mungkin berhadapan dengan keadaan di mana orang lain mungkin meminta mereka untuk "menganalisis" atau mendiagnosis, malangnya, ia bukan cara bidang ini berfungsi. Jika anda hanyalah graduan di peringkat ijazah sarjana muda, subjek yang diajar tidak cukup lengkap dengan kemahiran yang membolehkan anda untuk menganalisis orang lain.
#3. Ijazah Psikologi tidak berguna
Bertentangan dengan apa yang dipercayai ramai, memperoleh Ijazah Psikologi bukanlah membuang masa dan bukan juga "ijazah yang tidak berguna". Terdapat pelajar yang memilih untuk belajar psikologi dengan niat untuk melanjutkan pengajian mereka dan menjadi ahli profesional dalam bidang kesihatan mental. Ijazah yang diperolehi dijadikan sebagai batu loncatan penting untuk profesion pilihan mereka. Namun, ada juga yang memilih untuk belajar psikologi kerana minat, tanpa berhasrat untuk menjadi pengamal kesihatan mental di masa hadapan. Walau apa pun niat anda, ijazah yang diperolehi boleh dianggap sebagai pasport ke dunia pekerjaan kerana ramai yang bekerja dalam bidang yang jauh berbeza daripada kelayakan universiti mereka.
#4. Ijazah untuk mereka yang lemah dari segi akademik
Bidang psikologi boleh menarik sesiapa sahaja sama ada pelajar cemerlang sehingga pelajar yang biasa sahaja akademiknya. Ianya bukanlah ijazah untuk mereka yang lemah dalam bidang akademik tetapi sama pentingnya seperti kursus lain. Jika anda berpendapat bahawa ijazah psikologi ini adalah untuk yang lemah akademik, kenapa universiti terbaik di Malaysia seperti Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia meletakkan syarat kelayakan am dan khas yang tinggi untuk kursus ini di universiti mereka?. Ini bermakna tanggapan bahawa ijazah psikologi ini untuk pelajar yang lemah akademik sangatlah tidak benar dan mengarut mengarut sama sekali.
#5. Graduan psikologi ramai menganggur
Bidang apa sekalipun jika graduan tidak pandai 'jual diri' untuk mendapatkan pekerjaan mereka akan menganggur, sekalipun mereka adalah graduan perubatan.. Untuk bidang psikologi, peluang pekerjaan bukan sahaja terhad dalam satu bidang sahaja tetapi graduan psikologi boleh memohon kerja dalam mana-mana industri. Sebagai contoh jawatan pegawai sumber manusia yang menguruskan hal ehwal pekerja dan bertindak sebagai kaunselor di tempat kerja. Apa yang penting, sentiasa membangunkan kemahiran tambahan lain semasa dan selepas tamat pengajian untuk meningkatkan kebolehpasaran kerja kelak.
Akhir kata, jika anda berminat untuk membantu membuat perubahan dalam kehidupan orang ramai dan menceburi bidang kesihatan mental selepas tamat pengajian ijazah, pertimbangkan untuk melanjutkan pelajaran anda ke peringkat lebih tinggi master dan PhD seterusnya melayakkan anda menjadi seorang ahli psikologi. Kepada yang sekadar berminat untuk belajar tetapi tidak mahu bekerja dalam minat ini tidak ada masalah. Anda boleh mohon pekerjaan dalam bidang lain dan terapkan ilmu psikologi yang diperolehi dalam bidang tersebut. Kepada yang menyemak lebih lanjut mengenai kursus psikologi di Malaysia, universiti yang menawarkannya, syarat kelayakan am dan khas, tempoh pengajian dan sebagainya boleh klik, info lengkap kursus psikologi di Malaysia.
Perlukan
bantuan?