Panduan Lengkap Permohonan UPUOnline Kemasukan ke Universiti Awam, Politeknik, ILKA dan Kolej Komuniti

Diterbitkan oleh Afterschool.my pada May 25, 2022, 02:23 am

Setiap tahun, sistem UPUOnline menjadi tumpuan utama lepasan SPM/Setaraf dan STPM/Setaraf untuk mengemukakan permohonan kemasukan ke peringkat sijil, asasi, diploma atau ijazah sarjana muda di Universiti Awam (UA), Politeknik, ILKA dan kolej komuniti. Walau bagaimanapun, masih ramai yang kurang jelas mengenai peranan UPU, institusi pengajian yang diselaraskan dibawah permohonan UPU Online, proses permohonan, dasar dan kriteria pemilihan, panduan permohonan, keputusan permohonan, rayuan dan sebagainya. Menerusi artikel ini, kami kongsikan info lengkap permohonan UPU Online berdasarkan soalan lazim yang sering diajukan.

 

 

Siapakah yang bertanggungjawab menguruskan kemasukan pelajar ke IPTA?

BKPA JPT adalah Bahagian Kemasukan Pelajar IPTA (BKPA) di Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) atau lebih dikenali dengan UPU bertanggungjawab menyelaras kemasukan pelajar ke IPTA di Malaysia.

  • a) 20 Universiti Awam (UA), 36 buah Politeknik, 103 Kolej Komuniti dan 4 Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA) melalui UPUOnline
    • Program Pengajian Lepasan STPM/Setaraf
    • Program Pengajian Lepasan SPM/Setaraf

 

Sumber Infografik : UPUOnline

 

  • b) 33 Politeknik Konvensional/METrO, 3 Politeknik Premier 103 Kolej Komuniti dan Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA) melalui UPUSkills
    • Program Pengajian Lepasan SPM
    • Program Pengajian Lepasan Sijil Kemahiran Malaysia, Sijil Suruhanjaya Tenaga dan Kemasukan ke Program Sijil PengajarVokasional (VTO)

 

Sumber Infografik : UPU Online

 

Apakah peranan UPU dalam menguruskan permohonan pelajar ke IPTA?

UPU bertanggungjawab untuk :

  • Menggubal, melaksana dan memantau dasar-dasar bagi mempertingkatkan tempat belajar untuk Program Pengajian Lepasan SPM/Setaraf dan Program Pengajian Lepasan STPM/Setaraf.
  • Memproses dan menyelaras kemasukan pelajar ke UA/ Politeknik Premier bagi Program Pengajian Lepasan SPM/Setaraf dan Program Pengajian Lepasan STPM/Setaraf.
  • Memproses dan menyelaras kemasukan pelajar ke Politeknik Konvensional/Metro, Kolej Komuniti dan ILKA bagi Program Pengajian Lepasan SPM/Setaraf dan Lepasan SKM.
  • Memantau perimbangan pelajar Sains-Sastera bagi Program Pengajian Lepasan STPM/Setaraf selaras dengan dasar-dasar yang ditetapkan dari masa ke semasa.
  • Melaksanakan dasar bagi kemasukan pelajar antarabangsa ke program pengajian di Universiti Awam (UA).
  • Membangun, melaksana dan merealisasikan pengurusan Kerajaan Elektronik.
  • Mengurus dan menyelaras perkhidmatan kaunseling dan Karnival Pendidikan Tinggi Negara bagi persiapan pelajar untuk kemasukan ke UA.
  • Mengurus hal-hal berkaitan dengan pentadbiran kewangan di BPKP JPT termasuk Akaun Amanah.
  • Merancang dan melaksanakan sistem pengurusan data kemasukan ke UA dan memantapkan kawal seliaan

 

Apakah dasar yang digunakan oleh UPU untuk menyaring permohonan pelajar ke IPTA?

Dasar pemilihan dibawah permohonan UPU Online adalah berteraskan kepada prinsip meritokrasi dengan mengambil kira 90% markah merit akademik dan 10% markah kokurikulum.

 

Apakah kriteria yang diguna pakai oleh UPU semasa menyaring permohonan pelajar?

Kriteria pemilihan calon SPM Setaraf dan kriteria pemilihan calon STPM setaraf adalah berteraskan kepada 7 elemen yang menjadi tunjang kepada pemilihan kemasukan pelajar ke IPTA :

 

 

  • Pencapaian akademik dalam peperiksaan dan aktiviti kokurikulum
  • Tanggungan, pendapatan dan tempat tinggal (SES) (bagi permohonan ke Politeknik Konvensional/METrO, Kolej Komuniti dan ILKA)
  • Kombinasi mata pelajaran yang bersesuaian dengan program pengajian yang dipohon
  • Gred mata pelajaran mengikut aliran untuk tujuan pengkhususan (subjek wajib skor bagi aliran sains dan aliran sastera)
  • Memenuhi syarat khas program seperti yang ditetapkan oleh UA, Politeknik, Kolej Komuniti dan ILKA yang dipohon
  • Lulus temuduga/ujian bagi program pengajian yang mempunyai temuduga/ujian
  • Sijil MUET sekurang-kurang Band 1 (lepasan STPM/Setaraf)
  • Program pengajian pilihan pemohon mengikut turutan keutamaan
  • Bilangan tempat yang disediakan oleh UA, Politeknik, Kolej Komuniti dan ILKA

 

Apakah proses dan kaedah yang digunakan dalam pengiraan markah merit pemohon?

Bagi kaedah pengiraan markah merit calon ianya melibatkan tiga (3) proses iaitu :

  • Proses penentuan aliran iaitu aliran sains dan sastera
  • Proses penyediaan dan pengiraan merit berdasarkan kepada komponen markah akademik yang mewakili 90 % dan baki 10% adalah markah Kokurikulum
    • a) 90 markah bagi 5 mata pelajaran utama aliran sains dan 5 mata pelajaran utama aliran sastera
    • b) 30 markah bagi 3 mata pelajaran terbaik yang lain
  • Proses penyediaan susunan merit untuk menentukan ranking kedudukan pemohon bagi memudahkan proses pemilihan kelak 

 

Bagaimanakah proses pemilihan pelajar dibuat oleh UPU?

Proses pemilihan pelajar oleh UPU dilakukan dengan menyusun pemohon mengikut aliran berdasarkan markah merit yang paling tinggi hingga yang paling rendah untuk satu-satu program pengajian yang dipohon. Proses penentuan pemilihan juga dilaksanakan secara berkomputer dengan pengesahan pemilihan oleh semua IPTA terlibat. Pemohon akan disaring berdasarkan aspek berikut :

  • Melepasi syarat kelayakan am dan khas program pengajian 
  • Ranking kedudukan masih memenuhi kekosongan tempat bagi program pengajian pilihan
  • Melepasi Temuduga/ujian (jika ada) 
  • Keputusan akhir
    • Berjaya ditawarkan
    • Gagal dalam permohonan bagi program berkenaan

Jika anda melepasi aspek pemilihan dan ranking kedudukan markah merit bagi mana-mana program pengajian pilihan, anda akan ditawarkan ke program berkenaan mengikut susunan keutamaan. 

 

Tetapi jika gagal melepasi syarat atau ranking kedudukan semua pilihan program pengajian, bermakna anda telah gagal dalam semua permohonan dan perlu membuat permohonan rayuan.

 

 

Permohonan UPU Online sering menimbulkan kekeliruan kepada pemohon. Jadi, anda boleh rujuk panduan permohonan lepasan SPM/Setaraf dan panduan permohonan lepasan STPM/Setaraf berserta soalan lazim berkaitan permohonan seperti dibawah :

 

Bilakah tarikh permohonan UPU Online dibuka?

Permohonan UPUOnline untuk semua kategori permohonan biasanya dibuka bermula bulan Februari sehingga Mac setiap tahun. Untuk tahun ini, permohonan UPUOnline dibuka bermula 4 Februari sehingga 31 Mac 2022.

 

Bolehkah memohon UPU Online sedangkan belum mendapat keputusan SPM atau STPM lagi?

Anda boleh memohon sebaik sahaja permohonan UPUOnline dibuka. Selepas keputusan SPM/ STPM diumumkan, pihak UPUOnline akan memberi peluang untuk anda mengemaskini pilihan program yang layak berdasarkan keputusan dan syarat kemasukan program pengajian UPUOnline.

 

Bolehkah membuat permohonan melalui UPU Online sedangkan belum tamat pengajian? 

Jika anda pemohon dibawah kategori Diploma/setaraf yang belum menamatkan pengajian selepas tarikh tutup permohonan UPUOnline tetapi dijangka akan tamat pengajian selewat-lewatnya pada bulan Ogos, anda boleh mengemukakan permohonan UPUOnline.  

Sekiranya anda tidak berjaya ditawarkan, anda boleh membuat permohonan rayuan UPUOnline STPM Setaraf dengan mengemas kini tarikh tamat pengajian dan memuat naik dokumen terkini semasa permohonan rayuan untuk dipertimbangkan.

 

Bolehkah lepasan STPM membuat permohonan UPU Online ke peringkat Diploma dan Sarjana Muda UiTM? 

Bagi calon yang mempunyai keputusan STPM dan SPM, anda boleh mengemukakan permohonan ke peringkat Diploma dan Sarjana Muda dengan syarat membuat permohonan dibawah dua kategori iaitu kategori Lepasan SPM dan kategori lepasan STPM / Setaraf.

 

Apakah perbezaan antara pemohon lepasan STPM/ Setaraf, lepasan SPM, lepasan Sijil Kemahiran Malaysia, Sijil Suruhanjaya Tenaga dan Kemasukan ke Program Sijil Pengajar Vokasional (VTO)?

  • Lepasan STPM/Setaraf adalah calon yang mempunyai kelayakan seperti STPM, STAM, Matrikulasi, Asasi, Diploma, A-Level dan lain-lain untuk melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda 
  • Lepasan SPM pula adalah calon yang mempunyai kelayakan SPM untuk melanjutkan pengajian ke Peringkat Asasi, Sijil, Sijil Matrikulasi, Ijazah Sarjana Muda Perguruan (DI IPG SAHAJA) 
  • Lepasan Sijil Kemahiran Malaysia/ Sijil Suruhanjaya Tenaga adalah calon yang mempunyai SKM dan Sijil Pendawaian/ Sijil Jentera untuk naik tahap 
  • Sijil Pengajar Vokasional (VTO) pula adalah terbuka kepada semua calon yang mempunyai Sijil/ Diploma untuk mengikuti program menjadi tenaga pengajar Vokasional.

 

Bagaimana hendak menyemak syarat kemasukan am dan khas yang layak dipohon atau sebaliknya? 

Anda boleh menyemak syarat kemasukan melalui Panduan Semakan Semua Program Pengajian UPUOnline. Semua program yang terpapar dalam sistem UPU Online selepas keputusan rasmi SPM dan STPM dikeluarkan adalah program yang layak dipohon sahaja.

 

Berapakah jumlah pilihan program yang boleh dipilih ?

Anda boleh memilih 8 hingga 12 pilihan program pengajian yang berbeza. Jika berminat dengan program pengajian bertemuduga, anda boleh mengemukakan pilihan pada Pilihan 1 hingga 4 sahaja. Anda wajib memilih sekurang-kurangnya memilih 8 program pengajian dan digalakkan memilih 12 pilihan program pengajian bagi meningkatkan peluang berjaya dalam permohonan.

 

Jika pelajar lepasan SPM bukan tahun semasa, gagal mendapat kepujian dalam Bahasa Melayu pada tahun beliau mengambil SPM dan kemudiannya menduduki kertas Julai dan berjaya mendapat kepujian. Adakah UPU akan menggunakan keputusan Bahasa Melayu yang terkini? 

Pihak UPU hanya mengambil keputusan penuh dan keputusan kertas Julai tidak diambil kira dalam pemprosesan kemasukan bagi lepasan SPM.

 

Bagaiamana cara hendak mengenal pasti program pengajian yang ditawarkan mempunyai ujian atau temuduga?

Semua program pengajian yang ada temu duga ditandakan dengan tanda (#) pada akhir nama program pengajian dalam UPUOnline.

 

Sekiranya pelajar menghadiri temuduga di beberapa universiti, bolehkah pelajar memilih universiti yang diinginkan? 

Anda hanya akan ditawarkan satu program yang ada dalam pilihan sahaja. Jika tidak berjaya, anda perlu mengemukakan permohonan rayuan. 

 

Adakah pemohon perlu menghantar sebarang salinan dokumen/ sijil sebagai bukti bagi proses permohonan kemasukan?

Bagi lepasan SPM/ STPM/ Matrik/ Asasi/ STAM tahun semasa, anda tidak perlu menghantar sebarang salinan dokumen/ sijil kerana BKPA JPT melaksanakan proses padanan dengan pelbagai agensi seperti Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Lembaga Peperiksaan, Majlis Peperiksaan Malaysia, Bahagian Sukan, Kokurikulum & Kesenian KPM dan sebagainya bagi memastikan data peribadi, keputusan peperiksaan, MUET dan markah kokurikulum adalah tepat.

Walau bagaimanapun, jika anda merupakan pelajar Lepasan STPM/ Setaraf dalam Kategori Diploma/Setaraf, anda perlu memuat naik beberapa dokumen penting dalam Sistem UPU Online.

 

Siapakah yang boleh membuat pengesahan untuk dokumen bagi kategori Diploma setaraf? 

Setiap salinan dokumen yang dimuat naik hendaklah mendapatkan ‘Salinan Diakui Sah’ daripada mana-mana pegawai kakitangan kerajaan gred 41 ke atas dan gred pegawai yang berkaitan/mana-mana ketua kampung/penghulu dan lain-lain.

 

Adakah permohonan UPU Online boleh dibuat sekiranya masih belum mengambil MUET semasa permohonan dibuka?

Anda masih boleh mengemukakan permohonan UPU Online sekiranya masih belum mengambil MUET semasa permohonan dibuka. Namun begitu, anda perlu memiliki keputusan MUET selewat-lewatnya sebelum tarikh tutup fasa kemaskini permohonan UPU Online bagi membolehkan pemilihan program pengajian dibuat. Bagi yang ingin mendapatkan kelayakan MUET dengan segera, boleh rujuk panduan permohonan MUET dan MUET On Demand (MoD).

 

Kenapa jumlah paparan pilihan program pengajian untuk pelajar berbeza-beza? 

Pilihan program telah ditapis berdasarkan keputusan SPM/STPM/Matrikulasi/Asasi calon dan juga syarat am serta syarat khas program yang telah ditetapkan oleh IPTA/ILKA. Sebagai contoh, terdapat pemohon yang layak memilih 6 sahaja pilihan program dan ada yang boleh memilih sehingga 12 pilihan.

 

Adakah pemohon akan ditawarkan dengan program pengajian yang tidak dipilih dalam UPU Online? 

Anda hanya akan ditawarkan pilihan program yang ada dalam pilihan sahaja. Untuk lepasan SPM/Setaraf, jika anda tidak berjaya pada ambilan pertama, anda perlu mengemukakan permohonan rayuan dan dibenarkan juga memilih program pengajian yang layak dan masih mempunyai kekosongan tempat. 

Manakala bagi lepasan STPM/Setaraf, pada fasa 1 rayuan anda boleh memilih program pengajian berdasarkan kekosongan tempat dan memenuhi syarat kelayakan. Sekiranya masih gagal rayuan fasa 1, anda secara automatik akan memohon rayuan fasa 2, dimana anda tidak boleh memilih lagi program pengajian yang ingin dipohon. 

Pihak UPU Online akan menawarkan program pengajian yang masih ada kekosongan dan anda memenuhi syarat dan ranking kedudukan merit bagi program berkenaan.

 

Bagaimana cara pengisian ruangan no kad pengenalan di maklumat bapa/penjaga jika bapa bukan taraf warganegara? 

Ruang tersebut hanya menerima maklumat ibu/bapa/penjaga yang bertaraf warganegara dan mempunyai no kad pengenalan/ MyKad. Oleh itu, kemukakan maklumat penjaga yang lain seperti bapa/ibu saudara atau sesiapa yang mempunyai hubungan keluarga terdekat sahaja. Pastikan penjaga lain tersebut mempunyai no kad pengenalan/ MyKad.

 

Apakah langkah-langkah dalam permohonan kemasukan UPU Online?

Berikut dikongsikan turutan langkah-langkah dalam permohonan UPUOnline untuk memudahkan anda membuat permohonan:

Sumber Infografik : UPUOnline

  • Langkah pertama, layari laman rasmi UPUOnline 
  • Pastikan kategori permohonan anda 
  • Semak syarat kelayakan am dan khas UPUOnline 
  • Buat pengiraan markah merit akademik dan kokurikulum sebelum memilih program pengajian 
    • Pengiraan markah merit akademik dan kokurikulum penting sebagai panduan untuk memilih program pengajian yang bersesuaian dengan markah merit dan menyusun strategi agar peluang untuk berjaya dalam permohonan lebih cerah
  • Semak tren permohonan dan penawaran UPUOnline 
    • Semak tren permohonan dan penawaran dalam tempoh 5 tahun merangkumi jumlah program pengajian lepasan SPM dan STPM yang ditawarkan, senarai program pengajian kompetetif, purata 5 tahun markah merit bagi program pengajian popular dan senarai program pengajian yang menjadi pilihan pertama majoriti pemohon. Semakan ini penting dalam strategi menyusun program pengajian supaya dapat meningkatkan peluang untuk berjaya dalam permohonan
  • Semak laluan kerjaya bagi program pengajian pilihan supaya tamat pengajian nanti pekerjaan luas menanti anda
    • Untuk memastikan anda tidak menganggur selepas tamat pengajian, pastikan anda semak laluan kerjaya bagi setiap program pengajian yang dipilih. Dengan semakan ini dapat membantu anda membayangkan peluang pekerjaan yang menanti kelak
  • Isi permohonan UPUOnline dengan berhati-hati tanpa sebarang kesilapan
  • Pastikan semua maklumat penting diisi dengan lengkap
  • Susun pilihan program mengikut keutamaan
  • Lengkapkan permohonan UPUOnline anda
  • Klik butang simpan dan cetak slip permohonan sebagai bukti permohonan jika terdapat sebarang masalah kelak

 

Apakah panduan dan tips semasa memilih program pengajian?

Sumber Infografik : UPUOnline

 

Adakah saya diberi peluang untuk membuat kemas kini permohonan di sebabkan kesilapan dalam mengisi permohonan?

Anda boleh mengemaskini permohonan UPU Online semasa dan selepas permohonan ditutup. Bagi calon kategori STPM, Matrikulasi, Asasi dan STAM boleh mengemaskini pilihan program pengajian yang melepasi Syarat Khas berdasarkan keputusan sebenar peperiksaan STPM, peperiksaan semester akhir Matrikulasi, Asasi, peperiksaan STAM. 

Program pengajian bertemu duga dan/atau ujian yang dipilih semasa Fasa Permohonan perlu dikemaskini kepada program pengajian lain sekiranya calon tidak melepasi Syarat Khas program pengajian semasa Fasa Pengemaskinian. Untuk tips kemaskini boleh semak panduan dan tips kemaskini permohonan UPU Online.

 

Bagaimanakah proses pemilihan calon yang layak untuk ditemuduga atau ujian dilakukan?

Pemohon yang telah memilih program pengajian bertemuduga akan diproses dan dihantar ke Universiti Awam (UA), Politeknik, Kolej Komuniti dan ILKA untuk memilih pemohon yang akan dipanggil untuk menghadiri ujian/temu duga pada tarikh, masa dan tempat yang telah ditetapkan oleh mereka. Semakan panggilan temu duga boleh disemak melalui laman web IPTA masing-masing dan turut akan dikongsikan di laman web rasmi UPU.

 

Sekiranya tidak tersenarai atau gagal menghadiri ujian MEdSI atau program bertemuduga, adakah pihak UPU masih memproses pilihan program yang lain?

Walaupun tidak tersenarai atau gagal menghadiri ujian MEdSI atau panggilan mana-mana program temuduga, permohonan masih lagi akan dipertimbangkan untuk pilihan lain.

 

 

Apakah kaedah yang digunakan untuk menyemak keputusan permohonan?

Hebahan tarikh rasmi keputusan biasanya akan diumumkan sekitar bulan Julai untuk lepasan SPM Setaraf manakala lepasan STPM setaraf pula pada bulan Ogos setiap tahun. Anda boleh menyemak keputusan permohonan UPUOnline melalui 3 kaedah semakan keputusan UPUOnline iaitu:

  • Semakan melalui laman web rasmi universiti
  • Semakan melalui Hotline talian UPU
  • Semakan melalui aplikasi mobile UPUPOCKET

 

Adakah pemohon akan ditawarkan dengan program pengajian yang tidak dipilih dalam UPU Online?

Anda hanya akan ditawarkan program yang ada dalam pilihan sahaja. Jika anda tidak berjaya pada ambilan pertama, anda perlu mengemukakan permohonan rayuan.

 

Apakah perkara wajib yang perlu dilakukan selepas menerima tawaran UPU Online?

Sekiranya berjaya dalam permohonan, anda dinasihatkan untuk menyemak beberapa perkara penting seperti info program pengajian yang ditawarkan, potensi kerja selepas tamat pengajian, laluan pra universiti lain yang mungkin lebih baik daripada tawaran UPU dan sebagainya. Klik untuk semak perkara wajib yang perlu dilakukan bagi lepasan SPM setaraf dan lepasan STPM/Setaraf.  

Bagaimanakah hendak mendapatkan surat tawaran rasmi dan tempoh terima tawaran sekiranya berjaya dalam permohonan?

Surat tawaran rasmi akan dikeluarkan oleh universiti awam, politeknik, kolej komuniti dan ILKA dalam tempoh yang ditetapkan dan diumumkan melalui laman web masing-masing. Pelajar yang berjaya diberikan tempoh 9 hari untuk menerima tawaran. Jika tiada sebarang maklum balas diterima oleh pihak UPU Online, anda dianggap sebagai menolak tawaran.

 

Adakah terdapat laluan lain sekiranya menolak tawaran UPU Online?

Jika ingin menolak tawaran, anda perlu pastikan keputusan yang dibuat tepat dengan mengambil kira semua faktor sebelum terima atau tolak tawaran UPU Online. Anda juga dinasihatkan untuk mengenal pasti dan membandingkan laluan pendidikan lain selain UPUOnline untuk tetap sambung belajar

 

 

 

Gagal dalam permohonan, apakah langkah yang perlu dilakukan untuk pemohon yang buntu tentang halatuju pendidikan?

Terdapat beberapa perkara yang boleh dilakukan sekiranya anda hilang arah selepas gagal dalam permohonan UPU Online seperti kenal pasti laluan lain, kemukakan permohonan rayuan dan sebagainya. Untuk perkongsian penuh perkara yang wajib anda lakukan jika gagal, klik panduan jika gagal dalam permohonan bagi lepasan SPM dan lepasan STPM. 

 

Keputusan akademik cemerlang, kenapa masih gagal mendapat sebarang tawaran? 

Kejayaan anda untuk memperoleh tempat bergantung kepada susunan merit dan pemilihan program pengajian di IPTA, IPG, Matrikulasi dan ILKA yang dipohon. Jika merit anda tidak begitu tinggi dan memohon program pengajian kompetitif, berkemungkinan besar anda tidak terpilih untuk ditawarkan program pengajian.

Begitu juga jika anda hanya memohon di IPTA yang popular, anda akan menghadapi persaingan yang tinggi dan akhirnya tidak mendapat apa-apa tawaran daripada UA berkenaan. Anda boleh semak punca gagal dalam permohonan UPU Online bagi lepasan SPM dan lepasan STPM walaupun memperolehi keputusan akademik yang cemerlang. 

 

Berapa lamakah tempoh permohonan rayuan dibuka?

Kepada anda yang gagal mendapat tawaran, anda boleh mengemukakan permohonan rayuan bagi lepasan SPM dan lepasan STPM dalam tempoh 10 hari selepas keputusan permohonan diumumkan. Suka diingatkan bahawa, hanya pemohon yang gagal mendapat tawaran sahaja dibenarkan untuk mengemukakan permohonan.

 

Berapakah jumlah pilihan program pengajian yang boleh dipilih?

Dalam permohonan rayuan, anda dibenarkan untuk mengemukakan 4 pilihan program pengajian yang masih ada kekosongan tempat dan anda memenuhi syarat kelayakan bagi program berkenaan. Semak panduan permohonan rayuan lepasan SPM dan  lepasan STPM.

 

Dalam permohonan rayuan, kenapa tiada sebarang paparan pilihan program pengajian yang boleh dipilih?

Jika tiada sebarang paparan pilihan program pengajian, bermaksud anda tidak memenuhi syarat kelayakan am dan khas bagi program pengajian yang masih ada kekosongan yang ditawarkan semula dalam permohonan rayuan. Anda boleh pilih laluan lain untuk sambung belajar.

 

Sekiranya pemohon membuat permohonan rayuan dan memilih program pengajian yang sama, adakah pemohon berpeluang untuk berjaya dalam permohonan bagi program pengajian tersebut?

Kejayaan mendapat tawaran tertakluk kepada merit, memenuhi syarat am dan khas dan kekosongan tempat. Anda dinasihatkan memohon program lain dan juga tidak melepaskan peluang untuk mohon ke program-program pengajian kemahiran kerana peluang untuk belajar bidang kemahiran adalah sangat besar dan peluang pekerjaan juga adalah luas seperti di Politeknik, Kolej Komuniti dan Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA) yang lain.

 

Adakah permohonan rayuan ke kolej komuniti dan ILKA boleh dibuat melalui UPUOnline?

Bagi yang ingin mengemukakan permohonan rayuan ke kolej komuniti dan Institut Latihan Kemahiran Awam (ILKA), anda perlu membuat permohonan terus di laman web rasmi permohonan Kolej Komuniti dan ILKA yang berkenaan. Hanya rayuan ke universiti awam dan politeknik sahaja boleh dibuat melalui UPU Online.

 

Apakah panduan dan tips untuk pemohon yang gagal dalam UPU Online?

Kepada yang risau akan gagal dalam permohonan rayuan, anda dinasihatkan untuk menyemak tips permohonan dan punca-punca gagal dalam permohonan seperti mana yang dikongsikan diatas. Ini kerana ianya sama sahaja. Pastikan anda tidak melakukan kesilapan yang sama ketika mengemukakan permohonan rayuan. Panduan berkenaan boleh digunakan untuk meningkatkan peluang berjaya untuk berjaya dalam permohonan.

 

Bilakah saya boleh mengetahui keputusan permohonan rayuan lepasan SPM?

Keputusan permohonan rayuan lepasan SPM dan keputusan permohonan rayuan lepasan STPM/Setaraf akan diumumkan keputusannya selepas proses pemilihan berlangsung. Sila rujuk takwim dan makluman terkini di dalam Portal UPU atau aplikasi UPU Pocket.

 

Boleh saya tahu berapa kali hebahan rayuan bagi lepasan STPM/Setaraf melalui UPU Online?

Terdapat 2 kali hebahan rayuan melalui UPU Online. Hebahan rayuan kali pertama dibuka mengikut pilihan program yang mempunyai kekosongan tempat. Hebahan kali kedua rayuan dibuka mengikut kekosongan tempat selepas pendaftaran pelajar di UA.

 

Bilakah keputusan rayuan lepasan STPM/Setaraf kali pertama dan kali kedua akan diumumkan?

Hebahan keputusan rayuan akan di buat dua kali dan tarikh akan dimaklumkan selepas proses pemilihan berlangsung. Sila rujuk takwim dan makluman terkini di dalam Portal UPU atau aplikasi UPU Pocket.

 

Akhir kata, diharapkan dengan perkongsian lengkap ini dapat membantu melancarkan permohonan UPU Online. Tidak kiralah dimana sekalipun anda sambung belajar, apa yang penting program pengajian yang bakal diambil menjanjikan peluang pekerjaan yang luas selepas tamat pengajian. Semoga berjaya!.

BERITA BERKAITAN
Berita Terkini

Perlukan
bantuan?
mail