Perbandingan Antara Jurusan Seni Bina (Arkitek) vs Kejuruteraan (Engineer), Mana Lebih Baik?

Diterbitkan oleh Afterschool.my pada Mar 24, 2022, 08:26 am

Sama ada pembinaan rumah, bangunan tinggi atau kampus kolej, arkitek dan jurutera terlibat dalam reka bentuk dan struktur pembinaan bangunan berkenaan. Walaupun kedua-dua bidang ini saling berkait rapat antara satu sama lain, tetapi ianya mempunyai disiplin, fungsi dan matlamat yang berbeza. 

 

Jika anda keliru untuk memilih antara kerjaya sebagai arkitek atau jurutera selain tidak pasti laluan pendidikan manakah yang terbaik, menerusi artikel ini kami kongsikan perbezaan di antara kedua-duanya seterusnya membantu anda membuat pilihan yang tepat.

 

 

Seni bina tertumpu pada reka bentuk manakala kejuruteraan adalah mengenai pelaksanaan projek

Seni bina tertumpu kepada reka bentuk bangunan dan struktur fizikal. Jurusan seni bina melibatkan kemahiran seni dan pengetahuan sains. Arkitek berperanan untuk memastikan reka bentuk mereka menyenangkan, realistik, selamat dan berfungsi dengan baik.  

 

Sebaliknya kejuruteraan, adalah bidang yang pelbagai dan mempunyai banyak cabang didalamnya seperti kejuruteraan awam, mekanikal, elektrik dan banyak lagi. Kejuruteraan awam adalah yang paling berkait rapat dengan seni bina, di mana bidang ini memfokuskan kepada aspek teknikal dan struktur pembinaan.

 

Jurutera awam melaksanakan visi arkitek dengan menyediakan cadangan reka bentuk teknikal, memilih bahan struktur yang betul, menyelaraskan aktiviti pematuhan keselamatan dan peraturan dan mengarahkan kerja pembinaan dijalankan. Bidang kejuruteraan lain juga turut terlibat seperti jurutera elektrik untuk sistem dan peralatan elektrik.

 

Ringkasnya, seni bina lebih tertumpu kepada "seni" dan estetika reka bentuk manakala kejuruteraan lebih tertumpu kepada sains dan cara menghidupkan atau merealisasikan reka bentuk yang dihasilkan. 

 

 

Kejuruteraan mempunyai kelayakan akademik yang lebih tinggi berbanding dengan seni bina

Berbanding dengan seni bina, jurusan kejuruteraan umumnya lebih ketat dari segi keperluan kemasukannya. Jurusan seni bina biasanya memerlukan kredit dalam subjek matematik. Bagi diploma seni bina, syarat kemasukan minimum adalah 3C termasuk subjek matematik dalam SPM. Untuk ijazah seni bina, anda memerlukan sekurang-kurangnya 2C termasuk matematik dalam STPM atau pra-universiti yang setaraf dengannya.

 

Untuk belajar dalam jurusan kejuruteraan, anda bukan sahaja memerlukan kredit dalam subjek matematik, tetapi juga kredit dalam subjek sains yang berkaitan terutamanya subjek fizik dan kimia. Diploma kejuruteraan biasanya memerlukan sekurang-kurangnya 3C dalam SPM, termasuk matematik dan satu subjek sains (fizik adalah subjek wajib kredit selain kimia dan biologi). Ijazah dalam kejuruteraan biasanya memerlukan 2C, yang mesti merangkumi matematik dan subjek sains yang berkaitan.

 

Nota: Setiap universiti mempunyai syarat kemasukan yang berbeza. Semak dahulu syarat kelayakan yang diletakkan oleh semua universiti yang menawarkan kursus kejuruteraan dan seni bina. Kemudian senaraikan jurusan dan universiti yang layak dipohon berdasarkan kelayakan akademik anda.

 

 

 

Seni bina dan kejuruteraan mempunyai modul pengajian yang berbeza

Pelajar seni bina memfokuskan kepada kemahiran seni dan  pengetahuan sains. Anda bukan sahaja akan belajar tentang sejarah reka bentuk seni bina, tetapi juga geometri dan algebra serta reka bentuk yang menggunakan bantuan komputer. Kerja kursus pula selalunya memerlukan anda untuk menghasilkan reka bentuk kreatif melalui penggunaan teori matematik dan saintifik yang mantap.

 

Sebaliknya, pelajar kejuruteraan mempunyai kurikulum berfokuskan ilmu sains dan matematik. Modul pembelajaran akan merangkumi subjek seperti kalkulus lanjutan, hidraulik, dinamik kejuruteraan dan analisis struktur.

 

Oleh itu, jika anda sedang mencari program pengajian yang seimbang antara kemahiran seni dan pengetahuan sains, seni bina adalah pilihan terbaik. Tetapi jika anda lebih suka kepada subjek sains dan matematik, kejuruteraan adalah jawapannya. 

 

Kedua-dua bidang adalah di bawah bidang kuasa badan profesional yang berbeza

Di Malaysia, bidang seni bina dikawal oleh Lembaga Arkitek Malaysia (LAM). Untuk menjadi Arkitek Profesional di Malaysia, anda mesti lulus dari program seni bina yang diiktiraf, lulus peperiksaan profesional Lembaga Arkitek Malaysia (LAM) serta mempunyai pengalaman kerja yang diperlukan.

 

Bagi pelajar kejuruteraan, bidang anda akan berada di bawah bidang kuasa Lembaga Jurutera Malaysia (BEM). Untuk menjadi seorang jurutera profesional, anda perlu mempunyai sekurang-kurangnya 3 tahun pengalaman kerja praktikal dan lulus dalam Peperiksaan Penilaian Profesional BEM. Kedua-dua bidang dikawal ketat. Anda tidak boleh menjadi arkitek profesional tanpa memiliki sijil daripada LAM. Perkara yang sama berlaku, dimana untuk menjadi jurutera profesional, anda memerlukan pensijilan BEM.

  

 

Seni bina dan jurutera memainkan peranan yang berbeza dalam projek pembinaan

Arkitek biasanya memainkan peranan yang lebih aktif semasa fasa awal pra-pembinaan. Mereka membuat rancangan reka bentuk awal, membuat perubahan dan pindaan berdasarkan kehendak pelanggan. Mereka mungkin kekal terlibat semasa tempoh pembinaan, terutamanya jika memerlukan sebarang kerja reka bentuk semula.

 

Sebaik sahaja projek pembinaan dimulakan, jurutera biasanya akan memulakan peranan mereka. Adalah menjadi tanggungjawab jurutera untuk menyelia proses pembinaan dan bertanggungjawab memastikan pembinaan berjalan dengan lancar. Tugas mereka termasuk menyelia sub-kontraktor, bertindak sebagai pengurus di tapak dan pelbagai tugas lain mengikut skop kerja masing-masing.

 

Arkitek dan jurutera adalah pakar dalam bidang yang berbeza

Satu lagi perbezaan ketara antara arkitek dan jurutera adalah jenis kerja yang boleh mereka lakukan sekiranya tidak terlibat dengan industri pembinaan. Persepsi masyarat menganggap arkitek bekerja dalam sektor yang melibatkan pembinaan bangunan dan struktur fizikal seperti rumah, hospital, pencakar langit dan jambatan. Tetapi jangan dilupa bahawa arkitek juga mempunyai kemahiran seni merangkap pereka dimana mereka boleh bekerja dalam bidang lain seperti reka bentuk dalaman dan reka bentuk objek seperti perabot, produk dan juga kereta.

 

Sementara itu, jurutera awam bukan sahaja boleh bekerja dalam sektor pembinaan bangunan dan struktur fizikal. Ini kerana, terdapat banyak sub-disiplin dalam kejuruteraan awam, termasuk kejuruteraan alam sekitar, kejuruteraan pengangkutan dan kejuruteraan sumber air. Sesetengah jurutera juga pakar dalam kejuruteraan lebuh raya, kejuruteraan pengangkutan dan sebagainya.

 

 

 

Gaji Arkitek vs Jurutera di Malaysia

Berdasarkan data daripada salaryexplorer, arkitek di Malaysia biasanya memperoleh sekitar RM6,120 sebulan. Anggaran gaji antara RM2,940 (paling rendah) hingga RM11,800 (purata paling tertinggi). Manakala gaji jurutera di Malaysia pula, biasanya sekitar RM5,560 sebulan. Anggaran gaji antara RM1,760 (paling rendah) hingga RM11,800 (purata paling tertinggi, gaji maksimum sebenar lebih tinggi). Ini adalah purata gaji bulanan termasuk perumahan, pengangkutan, dan faedah lain. 

 

Jadi, dapat dilihat dengan jelas bahawa gaji paling rendah arkitek adalah lebih tinggi berbanding gaji engineer. Walau bagaimanapun, tangga gaji engineer bergantung kepada jenis kerjaya kejuruteraan yang diceburi. Sebagai contoh gaji civil engineer di malaysia (jurutera Awam di Malaysia) biasanya sekitar RM6,280 sebulan. Anggaran gaji paling rendah RM3,020 hingga paling tinggi RM9,860 (tertinggi). 

 

Jadi bidang mana yang menjadi pilihan hati, seni bina atau kejuruteraan? Tidak kiralah apa pun pilihan anda, kedua-dua bidang mempunyai banyak prospek pekerjaan yang luas tidak hanya tertumpu kepada kerja-kerja di tapak pembinaan sahaja. Pendek kata, seni bina dan kejuruteraan saling bergantungan antara satu sama lain tetapi ianya bukan bidang yang sama.

 

Kami berharap dengan perkongsian ini, anda akan mempunyai idea yang lebih jelas tentang bidang mana yang lebih sesuai untuk anda. Untuk video tentang info kejuruteraan yang lengkap, bidang kejuruteraan yang sesuai untuk anda, syarat kelayakan, cara untuk jadi jurutera profesional dan sebagainya boleh layari youtube afterschool.my dengan tonton video perkongsian oleh ahli BEM dengan klik : INFO LENGKAP LALUAN KEJURUTERAAN. Semoga berjaya!

 

ARTIKEL BERKAITAN

BERITA BERKAITAN
Berita Terkini

Perlukan
bantuan?
mail