Info Lengkap dan Panduan Program Matrikulasi

Diterbitkan oleh Afterschool.my pada Jun 20, 2022, 10:38 am

Program Matrikulasi ditubuhkan hasil daripada keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 10 Mac 1999 sebagai persediaan pelajar bumiputera lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah pertama di universiti awam (UA) dalam bidang sains, teknologi dan profesional. Mulai sesi 2003/2004, 10 peratus daripada keseluruhan pelajar Program Matrikulasi ditawarkan kepada pelajar bukan bumiputera.

KEISTIMEWAAN PROGRAM MATRIKULASI

  • Program matrikulasi diiktiraf oleh semua UA dan turut diiktiraf oleh universiti terkemuka luar negara. Anda boleh klik Senarai Keseluruhan Universiti Luar Negara (Oversea) yang Menerima Lepasan Matrikulasi! 
  • Matrikulasi menawarkan pendidikan yang menyeluruh merangkumi bidang akademik dan pembangunan kemahiran insaniah. Pelajar berpeluang menyertai aktiviti-aktiviti sehingga ke peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
  • Lulusan Program Matrikulasi akan menerima Sijil Matrikulasi yang melayakkan mereka memohon berkhidmat dalam Perkhidmatan Awam pada Gred 29 dalam 39 skim perkhidmatan (Surat Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 3 Tahun 2016 yang berkuat kuasa mulai 1 Januari 2017).
  • Kos pengajian dan penginapan ditanggung oleh Kerajaan. Semua pelajar Program Matrikulasi hanya perlu membayar yuran pendaftaran sahaja semasa mendaftar.
  • Terdapat 15 buah kolej matrikulasi di seluruh Malaysia dan 2 Kolej MARA yang mengendalikan Program Matrikulasi.

 

PELUANG PENDIDIKAN DAN KERJAYA

Bidang yang boleh diceburi di peringkat ijazah pertama bagi setiap jurusan berikut adalah:

 

JURUSAN DAN ALIRAN YANG DITAWARKAN DI MATRIKULASI

Program Matrikulasi menawarkan empat jurusan iaitu jurusan sains, kejuruteraan, perakaunan dan perakaunan profesional  :

  • Jurusan Sains (Dua Semester dan Empat Semester) ditawarkan di semua kolej matrikulasi dan Kolej MARA Kulim kecuali di Kolej Matrikulasi Kejuruteraan dan Kolej MARA Kuala Nerang. Jurusan sains dibahagikan kepada tiga (3) aliran iaitu:
    • Aliran Sains Hayat
    • Aliran Sains Fizikal
    • Aliran Sains Komputer
  • Jurusan Kejuruteraan (Dua Semester) hanya ditawarkan di Kolej Matrikulasi Kejuruteraan Kedah, Kolej Matrikulasi Kejuruteraan Pahang dan Kolej Matrikulasi Kejuruteraan Johor. Aliran dibawah jurusan ini adalah :
    • i. Aliran Asas Kejuruteraan
    • ii. Aliran Kejuruteraan Awam
    • iii. Aliran Kejuruteraan Elektrik & Elektronik
    • iv. Aliran Kejuruteraan Mekanikal
  • Jurusan Perakaunan (Dua Semester) ditawarkan di semua kolej matrikulasidan Kolej MARA Kuala Nerang kecuali Kolej MatrikulasiKejuruteraan, Kolej Matrikulasi Sarawak dan Kolej MARA Kulim.
  • Jurusan Perakaunan Profesional (JPPro) (Dua Semester) mula diperkenalkan pada tahun 2018 bagi melayakkan pelajar menjadi Akauntan Bertauliah dalam masa yang singkat. Pelajar akan mengikuti JPPro di Kolej Matrikulasi Selangor (KMS) selama 1 tahun dan akan menyambung pengajian ke UiTM selama 2 ½ tahun.
  • Program matrikulasi juga ditawarkan selama 1 atau 2 tahun (jurusan sains sahaja). Untuk ketahui sama ada matrikulasi 1 atau 2 tahun lebih baik, boleh klik program matrikulasi 1 atau 2 tahun kelemahan dan kelebihan.

 

SYARAT MENERIMA SIJIL MATRIKULASI

Pelajar layak menerima Sijil Matrikulasi jika memenuhi syarat-syarat seperti yang berikut:

  • a) Berdaftar sebagai pelajar Program Matrikulasi. 
  • b) Mengambil sekurang-kurangnya empat kursus teras danempat kursus wajib yang ditetapkan di Program Matrikulasi.
  •  c) Menamatkan pengajian Program Matrikulasi dalam tempoh yang ditetapkan dengan sekurang-kurangnya PNGK 2.0.

 

PERMOHONAN KE PROGRAM MATRIKULASI

Pelajar lepasan SPM 2021 boleh memohon ke Program Matrikulasi melalui pautan https://matrikulasi.moe.gov.my. Jika anda tidak memohon sebelum ini, anda masih berpeluang untuk memohon selepas keputusan SPM diumumkan. Permohonan kemasukan ke Program Matrikulasi fasa 2 dibuka mulai 1 - 20 Jun 2022. Info lanjut mengenai permohonan ke matrikulasi boleh klik permohonan ke matrikulasi. 

 

SYARAT PERMOHONAN KE MATRIKULASI

Syarat am permohonan ialah:

  • i. Umur tidak melebihi 20 tahun semasa permohonan;
  • ii. Warganegara Malaysia; dan
  • iii. Pemohon mestilah calon SPM tahun semasa.

Manakala syarat kelayakan minimum kemasukan ke Program Matrikulasi ialah memperoleh sekurang-kurangnya gred berikut dalam peperiksaan SPM 2021:

  • i. Jurusan Sains
    • C Bahasa Melayu;
    • C Bahasa Inggeris;
    • B Matematik;
    • C Matematik Tambahan;
    • C Kimia;
    • C Fizik atau Biologi dan
    • Lulus Sejarah
  • ii. Jurusan Kejuruteraan
    • C Bahasa Melayu;
    • C Bahasa Inggeris;
    • B Matematik;
    • C Matematik Tambahan;
    • C Fizik;
    • Lulus Kimia;
    • Lulus Sejarah dan
    • C dalam satu daripada mata pelajaran berikut:
    • Biologi/ Sains Tambahan/ Asas Kelestarian/ Pertanian/Sains Rumah Tangga/ Reka Cipta/ Sains Komputer/Sains Sukan/ Lukisan Kejuruteraan/ Grafik KomunikasiTeknikal/ Prinsip Perakaunan/ Ekonomi/ Perniagaan/Pengajian Kejuruteraan Awam/ Pengajian KejuruteraanMekanikal/Pengajian Kejuruteraan Elektrik & Elektronik/ Kimia.
  • iii. Jurusan Perakaunan
    • C Bahasa Melayu;
    • C Bahasa Inggeris;
    • C Matematik;
    • Lulus Sejarah dan C dalam tiga daripada mata pelajaran berikut:
      • Fizik/ Kimia/ Biologi/ Sains/ Sains Tambahan/Asas Kelestarian/ Pertanian/ Sains Rumah Tangga/
  • Reka Cipta/ Sains Komputer/ Sains Sukan/ Lukisan Kejuruteraan/ Grafik Komunikasi Teknikal/ Prinsip Perakaunan/ Ekonomi/ Perniagaan/ Pendidikan Syariah Islamiah/ Tasawwur Islam/ Pengajian Kejuruteraan Awam/ Pengajian KejuruteraanMekanikal/ Pengajian Kejuruteraan Elektrik & Elektronik/Matematik Tambahan.
  • iv. Jurusan Perakaunan Profesional
    • C Bahasa Melayu;
    • A- Bahasa Inggeris;
    • A Matematik;
    • C Matematik Tambahan;
    • Lulus Sejarah;
    • Lulus Ujian aptitud dan termuduga dan A dalam tiga daripada mata pelajaran berikut:
      • Fizik/ Kimia/ Biologi/ Sains/ Sains Tambahan/Asas Kelestarian/ Pertanian/ Sains Rumah Tangga/Reka Cipta/ Sains Komputer/ Sains Sukan/Lukisan Kejuruteraan/ Grafik Komunikasi Teknikal/Prinsip Perakaunan/ Ekonomi/ Perniagaan/Pendidikan Syariah Islamiah/ Tasawwur Islam/Pengajian Kejuruteraan Awam/ Pengajian KejuruteraanMekanikal/ Pengajian Kejuruteraan Elektrik & Elektronik.

Bagi yang tidak mengambil Matematik Tambahan, bermula tahun 2021, pelajar layak memohon ke Jurusan Perakaunan. Selain daripada Jurusan Perakaunan, pelajar tidak layak untuk memohon ke jurusan lain kerana Matematik Tambahan merupakan mata pelajaran wajib untuk memohon Jurusan Sains, Kejuruteraan dan JPPro. Anda boleh klik Syarat Kelayakan Masuk ke Matrikulasi Bagi Program Aliran Sains, Kejuruteraan dan Perakaunan.

 

PENGAJIAN JURUSAN PERAKAUNAN PROFESIONAL (JPPro)

Keistimewaan JPPro adalah anda akan digelar Certified Accountant (Akauntan bertauliah) pada umur 25 tahun. JPPRo adalah progra, kerjasama antara UiTM dan ACCA Malaysia yang diiktiraf oleh ACCA Global. Lulusan JPPro Matrikulasi layak menyambung pengajian dalam bidang Perakaunan Professional di UiTM Shah Alam sahaja. Perbezaan laluan kerjaya bagi Jurusan JPPro dengan laluan sedia ada adalah seperti berikut:

Pebezaan antara Jurusan Perakaunan dengan Jurusan Perakaunan Profesional (JPPro) adalah :

  • a) Kursus yang dipelajari sepanjang tempoh pengajian
    • i. Jurusan Perakaunan – Mathematics, Perakaunan, Ekonomi dan Pengurusan Perniagaan.
    • ii. Jurusan Perakaunan Profesional – Mathematics, Business and Technology, Management Accounting dan Financial accounting.
  • b) Peluang ke bidang pengajian:
    • i. Jurusan Perakaunan - Perakaunan, Pengurusan Perniagaan, Ekonomi, Pentadbiran Pengurusan Awam,Teknologi Maklumat, Pengurusan, Sumber Manusia, Undang-Undang dan lain-lain.
    • ii. Jurusan Perakaunan Profesional - Sijil Akauntan Bertauliah yang dianugerahkan oleh Association of Chartered Certified Accountants (ACCA), Perakaunan, Pengurusan, Ekonomi dan lain-lain.

Selepas tamat JPPro di matrikulasi, jika pelajar tidak berminat untuk menyambung pengajian dalam bidang Perakaunan Profesional, mereka masih boleh menyambung pengajian dalam bidang lain pada peringkat ijazah pertama seperti perakaunan, pengurusan, ekonomi dan lain-lain.

 

PEMILIHAN DAN PENEMPATAN

Pemilihan pelajar dibuat berdasarkan meritokrasi. Pengiraan merit mengambil kira 90% markah akademik dan 10% markah kokurikulum. Manakala bagi JPPro hanya ditawarkan kepada pelajar Bumiputera yang lulus ujian aptitud dan temu duga. Sekiranya pelajar tidak lulus ujian aptitud dan temu duga JPPro, pelajar akan ditawarkan ke jurusan lain yang layak. 

Bagi penempatan pula, pelajar dari Sabah, Sarawak dan WP Labuan hanya pelajar yang ditawarkan Jurusan Kejuruteraan dan JPPro serta kes-kes khas sahaja akan ditempatkan di semnanjung.

 

TAWARAN DAN PENDAFTARAN

Pelajar boleh menyemak keputusan ke Program Matrikulasi mulai 16 Julai 2022 (tertakluk kepada perubahan semasa). Jika pelajar memohon ke program pra universiti lain seperti IPGM, asasi atau diploma, berkemungkinan hanya pelajar akan menerima satu tawaran sahaja contohnya ditawarkan ke Program Matrikulasi sahaja.

Untuk terima tawaran Matrikulasi, pelajar perlu layari http://matrikulasi.moe.gov.my, klik butang setuju terima, muat turun dokumen dan ikuti langkah-langkah yang dinyatakan. Kemudian, buat pembayaran yuran di kaunter Bank Simpanan Nasional (BSN) atau secara dalam talian mengikut jumlah yang ditetapkan. Akhir sekali, daftar secara dalam talian mengikut kolej masing-masing. 

Untuk makluman, kaedah pendaftaran pelajar baharu Program Matrikulasi Sesi 2022/2023 akan dilaksanakan secara dalam talian mulai 16 – 23 Julai 2022 (tertakluk kepada perubahan semasa). Pelajar perlu mendaftar di laman sesawang kolej masing-masing. Sekiranya anda mengalami masalah untuk mendaftar secara dalam talian, anda boleh menghubungi pihak kolej masing-masing.  Minggu Pengurusan Pelajar Baharu akan dilaksanakan bermula pada 24 – 29 Julai 2022 (Tertakluk kepada perubahan semasa). Anda boleh semak tarikh-tarikh penting kemasukan ke matrikulasi supaya tidak terlepas sebarang tarikh penting. 

 

YURAN PROGRAM MATRIKULASI

Pelajar hanya perlu membayar yuran pendaftaran sahaja memandangkan kos pengajian dan penginapan ditanggung sepenuhnya oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Disebabkan kos penginapan ditanggung oleh KPM, semua pelajar diwajibkan menginap di asrama yang disediakan secara percuma.

Bagi yuran pendaftaran pula, pelajar perlu membayar yuran berkenaan mengikut jurusan masing-masing. Berikut adalah perincian mengenai yuran pendaftaran :

Bagi yang mendaftar ke program, JPPro anda perlu membayar yuran tambahan iaitu :

  • Semester I – RM600 untuk pembelian buku
  • Semester II – RM1,690.00 untuk yuran peperiksaan ACCA

 

BANTUAN PENDIDIKAN

Bagi  kewangan matrikulasi diberikan kepada pelajar daripada keluarga B40, M40 dengan had pendapatan isi rumah sebanyak RM10,000.00 ke bawah akan diberi bantuan sara hidup pelajar sebanyak RM1,250.00 setiap semester. Pelajar yang layak akan menerima BSHP dalam tempoh 43 hari selepas kolej menerima dokumen yang lengkap. Pembayaran akan dibuat terus ke akaun pelajar.

Pelajar dari Sabah, Sarawak dan WP Labuan yang ditawarkan pengajian Program Matrikulasi di Semenanjung layak membuat tuntutan tiket penerbangan pergi dan balik sekali sepanjang pengajian. Pelajar perlu membeli tiket penerbangan terlebih dahulu dan membuat tuntutan selepas pembelian di kolej masing-masing. Walau bagaimanapun, pelajar Sabah, Sarawak dan WP Labuan yang ditempatkan di Kolej Matrikulasi Sarawak atau Kolej Matrikulasi Labuan tidak layak membuat tuntutan tiket penerbangan.

 

RAYUAN KE PROGRAM MATRIKULASI DAN RAYUAN TUKAR JURUSAN

Rayuan boleh dibuat secara dalam talian sahaja selepas keputusan diumumkan secara rasmi. Klik untuk langkah membuat permohonan rayuan. Keputusan rayuan boleh disemak melalui pautan https://matrikulasi.moe.gov.my. Keputusan adalah tertakluk kepada kekosongan tempat.

Bagi yang ingin memohon pertukaran daripada Jurusan Sains Sistem Dua Semester (SDS) ke Jurusan Perakaunan, permohonan dibuat kepada Pengarah kolej masing-masing. Selain daripada Jurusan Sains ke Perakaunan – permohonan dibuat melalui pautan https://matrikulasi.moe.gov.my pada 16 Julai 2022. Tarikh keputusan rayuan pertukaran jurusan akan dimaklumkan kemudian. Semakan boleh dibuat melalui pautan https://matrikulasi.moe.gov.my. Walau bagaimanapun kelulusan pertukaran adalah bergantung kepada kekosongan.

 

RAYUAN PERTUKARAN KOLEJ MATRIKULASI

Pada dasarkan pelajar tidak boleh membuat rayuan untuk pertukaran kolej kecuali bagi kes-kes tertentu dan memenuhi syarat berikut:

  • i. Pelajar memerlukan rawatan perubatan berkala disebabkan sakit kronik yang berpanjangan;
  • ii. Adik-beradik ditempatkan di kolej matrikulasi yang berlainan; atau
  • iii. Pertukaran dari Semenanjung ke Sabah/ Sarawak atau sebaliknya.

Semua permohonan rayuan pertukaran kolej boleh dibuat melalui pautan https://matrikulasi.moe.gov.my selepas keputusan rasmi diumumkan. Tarikh keputusan rayuan pertukaran kolej akan dimaklumkan kemudian. Semakan boleh dibuat melalui pautan https://matrikulasi.moe.gov.my. Kelulusan pertukaran adalah bergantung kepada kekosongan.

 

PENANGGUHAN PENDAFTARAN DAN PENGAJIAN

Pelajar yang berjaya tidak dibenarkan untuk menangguh pendaftaran kecuali jika menghadapi masalah kesihatan, kematian,

kemalangan dan lain-lain dengan merujuk pihak pengurusan kolej yang ditawarkan. Untuk penangguhan pengajian pula, pelajar dibenarkan sekiranya mengalami masalah kesihatan kronik yang memerlukan rawatan berterusan. Walau bagaimanapun anda perlu mendaftar di kolej matrikulasi yang ditetapkan terlebih dahulu sebelum memohon penangguhan pengajian. Permohonan perlu dikemukakan kepada Pengarah kolej masing-masing.

 

GAGAL MENAMATKAN PENGAJIAN

Pelajar yang gagal menamatkan pengajian Matrikulasi, dikehendaki membayar penalti sekiranya menarik diri atau meninggalkan pengajian sebelum menyempurnakan pengajian itu tanpa mendapat kelulusan daripada KERAJAAN terlebih dahulu mengikut Fasal 7 yang dinyatakan dalam Perjanjian Pembiayaan Pelajar Program Matrikulasi (PPM/BM.1/99-Pin-4).

 

Jadi buatlah pilihan yang terbaik. Kepada anda yang memilih untuk ke matrikulasi, anda boleh rujuk kepada artikel Tip Persediaan Masuk ke Matrikulasi yang Wajib Anda Tahu!. Menerusi artikel tersebut anda boleh menyemak struktur pengajian, kokurikulum dan sebagainya berkaitan matrikulasi untuk persediaan melanjutkan pengajian kelak. Anda juga dinasihatkan untuk menyemak artikel berkaitan dibawah sebagai panduan memilih laluan yang betul selepas SPM. Semoga berjaya!

BERITA BERKAITAN
Berita Terkini

Perlukan
bantuan?
mail