Adakah Sijil UEC (Sijil Sekolah Menengah Persendirian Cina) akan Diiktiraf untuk Kemasukan ke IPTA selepas Tun Dr. Mahathir Mengangkat Sumpah Jawatan pada Isnin ini?

Diterbitkan oleh Afterschool.my pada May 18, 2018, 10:45 am

Pada kempen Pilihan Raya ke 14 (GE14) yang lalu, salah satu manifesto Pakatan Harapan yang kini memegang tampuk pemerintahan negara sekiranya berjaya menguasai negara adalah dengan mengiktiraf Unified Examination Certificate (UEC). Manifesto yang terkandung di dalam Buku Harapan halaman (135) berkenaan jelas menunjukkan bahawa, PH telah berjanji akan mengiktiraf UEC sebagai syarat am kelayakan masuk ke universiti awam dengan syarat pemohon lulus kepujian dalam Bahasa Melayu di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Adakah janji berkenaan akan ditunaikan?.

 

 

UEC mula diperkenalkan pada 1975. Sijil ini diterima sebagai syarat kelayakan masuk ke banyak universiti di luar negara namun tidak diperakui di Malaysia. UEC mula diperkenalkan di Malaysia oleh Gabungan Persatuan Ahli Lembaga-Lembaga Sekolah Cina (Dong Zhong). UEC yang turut dikenali sebagai Sijil Peperiksaan Gabungan Sekolah Menengah Persendirian Cina ini, tidak mendapat pengiktirafan daripada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sebagai syarat kemasukan ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) negara.

 

 

 

Umumnya, sijil UEC dibahagikan kepada tiga tahap iaitu Mene­ngah Rendah (UEC-JML), Vokasional (UEC-V) dan Menengah Tinggi (UEC-SML) yang kesemuanya menggunakan bahasa Mandarin. UEC-SML mengandungi subjek Matematik, semua subjek sains dan semua subjek aliran perdagangan. Sejak dahulu lagi, SMPC tidak mengguna pakai dasar dan kurikulum sistem pendidikan kebangsaan. Sebaliknya, menggunakan kurikulum yang kebanyakannya diambil dari Taiwan. Sistem penilaiannya juga dibuat oleh badan penilaian sendiri, bukannya oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM). 

 

 

Walau bagaimapun, Sijil UEC yang diguna pakai oleh Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) ini, dibenarkan beroperasi mengikut cara dan silibusnya tersendiri dengan syarat, pelajarnya turut diwajibkan mengambil mata pelajaran yang ditawarkan di dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Secara tidak langsung, pelajar akan tamat pengajian dengan memiliki dua sijil kelayakan iaitu UEC dan SPM.

 

 

Dong Jiao Zong iaitu sebuah badan bukan kerajaan (NGO) Cina sejak tiga dekad lalu mendesak kerajaan Barisan Nasional pada ketika itu untuk mengiktiraf sijil UEC sebagai kelayakan untuk memasuki IPTA. Tuntutan berkenaan berdasarkan perkiraan bahawa UEC telah pun diiktiraf oleh pusat pengajian tinggi luar negara seperti Uni­ted Kingdom, Amerika Syarikat, Taiwan, Hong Kong, China, Singapura, Australia dan Kanada. Maka, adalah tidak adil sekiranya KPT tidak menerima kelayakan sijil UEC untuk kemasukan ke IPTA tempatan. 

 

UEC sebelum ini hanya diperakui oleh kerajaan negeri Selangor dan Pulau Pinang yang ditadbir oleh PH selain di Sarawak bagi pengambilan kerja oleh kerajaan negeri dan syarikat yang ada kaitan dengan kerajaan negeri. Lulusan UEC juga sejak tahun 2010, telah diterima untuk kemasukan ke program ijazah sarjana muda pendidikan (Bahasa Cina) di institusi pendidikan guru di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia. 

 

 

Memandangkan YAB Tun Dr. Mahathir telah mengumumkan bahawa beliau akan mengambil alih Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pendidikan Tinggi sebagai Menteri Pelajaran, maka sama-samalah kita nantikan sama ada janji yang terkandung dalam manifesto tersebut ditunaikan selepas upacara mengangkat sumpah jawatan yang dijangka bakal berlangsung pada Isnin, 21 Mei 2018. 

BERITA BERKAITAN
Berita Terkini

Perlukan
bantuan?
mail