Tip untuk Anda yang Bakal Menghadiri Temuduga Kursus Pengajian!

Diterbitkan oleh Afterschool.my pada Jul 05, 2022, 05:18 pm

Untuk tahun ini temuduga bagi kursus pengajian berbeza dengan tahun-tahun sebelumnya akibat virus covid yang melanda dunia. Jadi, anda dinasihatkan untuk terus baca perkongsian kami mengenai tip temuduga secara online yang bakal diadakan kelak. Untuk semak tip klik link artikel berikut : Semakan Panggilan Temuduga Dibawah UPU & Tip Temuduga Kursus Pengajian Secara Online.

 

 

 

Kepada anda yang memohon kursus pengajian yang mempunyai tanda # temuduga, pastikan anda membuat persediaan yang secukupnya. Cabaran untuk merebut kuota tempat yang disediakan itu lebih mencabar berbanding mereka yang memohon kursus yang tidak mempunyai temuduga iaitu hanya bersandarkan kepada keputusan akademik 90% dan kokurikulum 10% semata-mata.

 

Sekiranya anda  rasa anda telah memenuhi syarat kelayakan, stamina berkuasa kuda jika ada ujian fizikal kelak, jangan menaruh harapan yang terlalu tinggi sekiranya anda TIDAK menonjolkan kemahiran komunikasi yang baik, pemikiran yang kritis, peka kepada isu-isu semasa terutamanya dalam kursus pengajian yang dipohon dan kurang berkeyakinan semasa ditemuduga nanti. GERENTI anda akan gagal dalam saringan merebut kursus pengajian yang diimpikan itu. Jadi untuk membantu anda membuat persediaan, kami kongsikan tip temuduga sebelum dan semasa anda menghadiri temuduga, selain punca kenapa anda GAGAL dalam temuduga.

 

PERSIAPAN TEMU DUGA

 

  • Pastikan anda memakai pakaian yang sesuai, kemas dan bersih.
  • Jangan pakai pakaian yang terlampau berwarna-warni dan menjolok mata, berselipar serta memakai minyak wangi yang baunya menyengat atau mengenakan solekan yang keterlaluan.
  • Rambut hendaklah pendek dan tersisir rapi bagi lelaki dan kemas bagi perempuan yang tidak bertudung. Pada yang bertudung jangan memakai tudung yang terlalu fesyenista. Cukup sekadar ala kadar dan kemas.
  • Kasut pula seeloknya mestilah bertutup bagi lelaki dan perempuan.
  • Pastikan anda membawa surat panggilan temuduga, kad pengenalan, surat beranak, sijil-sijil asal, dokumen yang berkaitan untuk disemak oleh panel temuduga. Pastikan ianya tersusun kemas di dalam fail mengikut turutan tahap akademik.
  • Tentukan dimana, bila dan pukul berapa temu duga akan diadakan. Pastikan anda sampai 10-15 minit lebih awal supaya anda boleh menenangkan diri tetapi jangan sampai terlalu awal nanti cemas pula. Jangan sesekali-kali datang lambat.

 

TIP KETIKA DITEMUDUGA

 

  • Semasa hendak masuk ke bilik temu duga hilangkan semua perasaan gentar. Fikirkan jika anda gentar, kemungkinan tinggi akan gagal dalam temu duga ini. Tentu buang masa sahaja hadir. Cuba kawal emosi dengan bercakap lancar. Jangan fikirkan apa panel penemuduga akan fikir mengenai anda. Tonjolkan keyakinan diri dan ianya akan menambat hati penemuduga.
  • Apabila dipanggil masuk, berikan salam dan ucapan “selamat pagi/petang” mengikut keadaan waktu berserta dengan senyuman dan pandang semua panel penemuduga (eye contact).
  • Jangan hulurkan tangan anda untuk berjabat tangan selagi penemuduga tidak membuat gerakan dahulu.
  • Jangan terus duduk melainkan telah dijemput berbuat demikian. Apabila disuruh duduk, ucapkan terima kasih dan duduklah dengan sempurna serta tegakkan badan. Jangan cuba untuk mengalih keadaan kerusi yang disediakan.
  • Serahkan dokumen-dokumen berkaitan apabila diminta. Jangan letakkan barang-barang lain (letak di tepi kerusi anda), tangan ataupun siku di atas meja penemuduga.
  • Jangan duduk bersilang kaki, goyang-goyangkan kaki atau mengerakkan ke sana ke sini.
  • Biarkan penemuduga memulakan perbualan.
  • Apabila bercakap pandang muka penemuduga (eye contact).
  • Jangan menjawab soalan tergopoh-gapah. Jawablah setiap soalan dengan tenang dan jelas.
  • Jangan sesekali mengeluarkan fakta yang tidak benar atau mendiamkan diri. Jika anda tidak tahu jawapan yang disoal, berlaku jujur dengan berterus terang bahawa anda tidak mengetahui jawapannya.
  • Apabila diminta memperkenalkan diri, mulakan dengan nama penuh anda, latar belakang keluarga dan latar belakang pendidikan, aktiviti anda dan sebagainya.
  • Jangan cuba hendak menjenguk atau membaca surat-surat dan lain-lain kertas yang terdapat di atas meja penemuduga.
  • Apabila menyebut nama penemuduga gunakan gelaran seperti Tuan/Tan Sri Dato dan sebagainya. Jika tidak yakin gelaran penemuduga tersebut gunakan gelaran tuan atau puan.
  • Tumpukan perhatian pada setiap soalan yang ditanya dan beri jawapan yang tepat dan sempurna.
  • Cuba kembangkan jawapan, jangan sekadar menjawab ya atau tidak sahaja.
  • Jangan mengunyah sesuatu semasa temuduga berjalan.
  • Jangan sesekali menyampuk semasa penemuduga sedang bercakap atau berbincang sesuatu sesama mereka.
  • Minta penjelasan sekiranya anda tidak begitu faham atau jelas mengenai soalan yang ditanyakan.
  • Gunakan satu-satu bahasa tanpa campur aduk dengan bahasa yang lain. Jika ditanya dalam bahasa Melayu, jawablah dalam Bahasa Melayu jika Bahasa Inggeris, perlu bersedia untuk menjawab dalam Bahasa Inggeris.
  • Diakhir temuduga, ucapkan terima kasih kepada panel temuduga kerana memberi peluang untuk hadir pada temuduga itu.
  • Jika diberi peluang bertanya soalan, kemukakan soalan yang munasabah sahaja.

 

PUNCA GAGAL TEMU DUGA 

 

Anda tentu mahu mengetahui punca gagalnya temuduga bukan?. Berikut kami kongsikan untuk persediaan kepada anda dan cuba untuk elakkan melakukan perkara-perkara sedemikian.

 

Lemah ketika sesi perbincangan dalam kumpulan

 

Jika temuga berkenaan diadakan sesi perbincangan kumpulan bersama calon-calon yang lain. Ianya merupakan salah satu sesi yang akan menilai personaliti dan pengetahuan anda. Penemuduga akan menilai anda dari segi sama ada pandai atau pun sebaliknya membuat “argument” mengikut topik perbincangan, menjawab soalan yang ditanyakan dan tingkah laku anda juga ketika sesi berkenaan berjalan.

 

Bersikap pasif

 

Bersikap pasif iaitu tidak menonjolkan diri dan melontarkan pandangan atau pertanyaan. Lebih banyak mendengar dari melontarkan sebarang pandangan atau mungkin soalan kepada calon-calon lain ketika sesi perbincangan.

 

Tidak lancar bertutur dalam bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu

 

Penggunaan bahasa yang lancar sangat penting. Jika bertutur pun anda tergagap-gagap kurang yakin dan penggunaan ayat yang tidak bersesuaian serta tidak difahami oleh calon-calon lain atau penemuduga sendiri.

 

Tidak mengetahui mengenai program pengajian yang bakal diikuti

 

Ini merupakan satu lagi masalah besar. Bagaimana anda hendak yakinkan penemu duga untuk memilih anda sedangkan info mengenai program pengajian yang anda ingin ikuti pun anda tidak tahu sepenuhnya?.

 

Kurang pengetahuan am

 

Pengetahuan am merupakan perkara yang anda perlu titik beratkan. Pengetahuan am inilah yang akan menilai dari segi pandangan dan bakal merefleksikan sikap kepimpinan anda. Kebiasaanya penemuduga akan bertanya mengenai isu semasa dan apa pandangan anda dan bagaimana anda jika menjadi seorang pemimpin untuk menyelesaikannya. Jika anda sendiri pun tidak tahu isu semasa berkenaan bagaimana hendak menyuarakan pandangan?.

 

Berpakaian tidak sesuai ketika menghadiri temu duga

 

Pemakaian anda mencerminkan luaran anda. Pandangan pertama penemuduga adalah luaran anda. Pakaian, lengok tubuh anda semuanya akan dinilai. Jika misalnya anda memakai pakaian yang menjolok mata sehingga menimbulkan pandangan kurang senang penemuduga tentu sahaja kemungkinan yang tinggi anda akan gagal.

 

Salah mengisi borang permohonan

 

Kesalahan dalam mengisi borang permohonan boleh disalah anggap oleh penemuduga misalnya salah mengisi gred keputusan peperiksaan. Penemuduga boleh terus menolak permohonan anda serta merta ketika temu duga berkenaan dan menganggap anda memalsukan maklumat. Jadi pastikan anda betul-betul menyemak semula borang yang telah siap diisi atau mohon pertolongan rakan atau keluarga terdekat untuk buat semakan kerana kadang kala kita tidak menyedari kesalahan yang dibuat.

 

Diharapkan perkongsian ini menjadi rujukan kepada anda sebagai persediaan menghadapi temu duga kelak. Jangan terlalu seronok sangat jika dipanggil temu duga kerana beribu calon yang ditemuduga hanya suku atau 10 peratus sahaja daripadanya yang ditawarkan tempat untuk kursus berkenaan. Jadi jadikan tip ini sebagai panduan dan kami doakan semoga anda berjaya!.

ARTIKEL BERKAITAN

BERITA BERKAITAN
Berita Terkini

Perlukan
bantuan?
mail