Kursus Pengajian Dibawah Universiti Awam yang Senang Dapat Kerja

Diterbitkan oleh Afterschool.my pada Jul 05, 2022, 08:14 am

Laporan statistik Kajian Pengesanan Graduan 2017 yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menunjukkan jumlah keseluruhan graduan tamat pengajian yang menganggur adalah 51,580. Persoalannya sekarang adakah anda yakin kursus yang bakal diambil sama ada di IPTA/IPTS itu akan menyediakan peluang pekerjaan selepas tamat pengajian?. Untuk mengelakkan anda menjadi seorang penggangur kelak, berikut kami kongsikan kerjaya yang sangat diperlukan pada masa kini dan hadapan.

 

 

 

Saintis Data

Saintis data sentiasa mendapat permintaan tinggi kerana dunia hari ini berada di era digital. Individu yang memiliki kemahiran dalam bidang penyelidikan data sangat diperlukan untuk membantu merancang strategi yang lebih berkesan terutamanya dalam sektor perniagaan.

 

 

Dalam perniagaan, peniaga sudah tidak menggunakan cara lama lagi untuk menjual dan mempromosikan produk. Jika cara lama masih diguna pakai, peratusan untuk gagal dalam perniagaan adalah sangat tinggi. Mahu tidak mahu, peniaga perlu menggunakan khidmat saintis data untuk membantu merancang strategi perniagaan yang lebih berkesan. Klik untuk mengetahui lebih lanjut mengenai kepentingan bidang Data Sains. Kepada yang berminat untuk menceburi kerjaya sebagai saintis data, bolehlah memohon dibawah kursus berkaitan antaranya adalah sains aktuari, dan statistik.

 

Fisioterapi

Gaya hidup masyarakat hari ini banyak memberi kesan negatif kepada kesihatan termasuklah kesihatan fizikal contohnya sakit belakang dan leher, sakit bahagian sendi seperti di lutut, bahu, siku, tangan, dan kaki serta banyak lagi.

 

 

Kesakitan berkenaan tidak boleh dipulihkan oleh seorang doktor, dan doktor akan merujuk pesakit kepada ahli fisioterapi berdasarkan kepakaran mereka dalam kaedah pemulihan yang bersesuaian dengan pesakit. Ahli fisioterapi bukan sahaja diperlukan di hospital kerajaan malah mendapat permintaan yang tinggi dalam kalangan hospital dan pusat pemulihan (rehabilitasi) swasta. Oleh itu, graduan dalam bidang ini sangatlah penting untuk mengatasi masalah kesihatan dalam kalangan masyarakat hari ini. Kepada yang berminat dalam kerjaya ini, kursus Fisioterapi adalah pilihan yang tepat.

 

Digital Marketers

Digital marketers adalah individu yang terlibat dalam aktiviti pemasaran secara digital yang melibatkan peranti elektronik atau internet contohnya periklanan melalui enjin carian (yahoo, google), media sosial, e-mel, laman web dan sebagainya. Kelebihan pemasaran secara digital ini adalah dapat menyebarkan maklumat iklan kepada beribu malah berjuta orang berbanding kaedah lama seperti banting, poster dan sebagainya.

 

 

Memandangkan ianya adalah bidang kerjaya baru tetapi khidmatnya sangat diperlukan oleh majoriti perniagaan, maka gaji yang ditawarkan juga cukup lumayan malah boleh mencecah belasan bahkan berpuluh ribu sebulan. Kalau anda inginkan gaji yang lumayan, anda boleh melanjutkan pengajian dalam kursus berkaitan pemasaran (marketing).

 

Website Developer

Website developer merupakan salah satu pekerjaan yang popular dalam bidang Teknologi Maklumat (IT). Tugas seorang website developer adalah membangunkan dan memastikan website berada dalam keadaan yang baik tanpa sebarang gangguan yang akan memberi kesan kepada pengguna.

 

 

 

Pekerjaan ini juga berkait rapat dengan jawatan digital marketers kerana salah satu platform yang digunakan untuk mempromosikan produk dan perkhidmatan secara meluas adalah melalui platform website. Jika anda rasakan website developer adalah kerjaya yang menarik, boleh sambung pengajian dalam bidang berkaitan Teknologi Maklumat (IT) atau Sains Komputer.

 

Kalau anda tahu bidang pengajian yang menjanjikan peluang pekerjaan tetapi sambung belajar di IPTA/IPTS yang kurang kepakaran dan pengalaman terutamanya dari segi tenaga pengajar, tiada guna juga. Jadi, manakah antara universiti terbaik untuk anda sambung belajar dalam bidang-bidang diatas. 

 

Diharapkan perkongsian ini dapat membuka mata anda untuk memilih kursus yang akan memanfaatkan bakat dan potensi anda. Ubah persepsi masing-masing, cuba belajar perkara baru mengikut perkembangan semasa yang boleh mendatangkan hasil dan kejayaan yang lebih baik. Jangan bazirkan masa belajar dalam kursus yang kurang diminati, kelak diri sendiri yang rugi. Semoga berjaya!.

ARTIKEL BERKAITAN

BERITA BERKAITAN
Berita Terkini

Perlukan
bantuan?
mail