10 Pekerjaan Terkini & Pada Masa Hadapan yang Ditawarkan oleh Majikan- TalentCorp

Diterbitkan oleh Afterschool.my pada Jun 09, 2021, 04:45 pm

TalentCorp hari ini mendedahkan 10 pekerjaan terhangat yang banyak ditawarkan oleh majikan pada masa kini dan masa hadapan iaitu ahli matematik, aktuari dan statistik, pengurus teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) , jurutera elektronik, kapal, pesawat dan aeronautik, jurutera telekomunikasi, pereka grafik dan multimedia, profesor, penganalisis sistem, big science -data dan juruteknik.

Dengan senarai yang didedahkan tersebut, maka tidak hairanlah jika majoriti biasiswa yang ditawarkan oleh syarikat-syarikat besar seperti CIMB BANK, Hong Leong Bank, Gamuda Berhad, Khazanah Nasional dan banyak lagi hanya menjurus kepada bidang-bidang kerjaya tersebut sahaja.

    

Menurut Shareen Shariza Ghani, CEO TalentCorp, selain bidang yang menjadi kriteria utama, majikan turut mencari graduan yang memiliki kemahiran analitikal dan daya penyelesaian masalah selain boleh bertutur dan menulis dalam bahasa Inggeris. Dalam melahirkan tenaga manusia yang hebat,  TalentCorp akan bekerjasama dengan beberapa buah universiti terkemuka tempatan yang mana, graduan terbaik universiti tersebut akan ditawarkan latihan atau bekerja di syarikat-syarikat yang terletak di Singapura dan negara-negara di rantau asia.

    

Katanya, "Graduan mahu meneroka dunia. TalenCorp menawarkan latihan di rantau Asean dan termasuk juga negara-negara Apec (Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik). Ada beberapa syarikat Malaysia yang beroperasi di seluruh rantau Asean, seperti CIMB dan lain-lain. Peluang luas untuk mereka menimba pengalaman," ulasnya panjang mengenai peluang yang bakal diperolehi oleh graduan yang berjaya menunjukkan prestasi yang cemerlang. Jadi persoalannya adalah anda memiliki ciri-ciri yang dinyatakan itu untuk merebut peluang berkenaan?.

    

Sementara itu, bekas pengarah tanggungjawab korporat di Khazanah Nasional Berhad berkata, beliau berharap agar Pelan semasa Pembangunan Pendidikan Malaysia akan  menyediakan pendidikan berkualiti untuk melahirkan lebih ramai rakyat Malaysia yang berkemahiran dan berpengetahuan sekaligus dapat membantu memenuhi keperluan tenaga kerja semasa dan di masa hadapan kelak. Boleh lihat apa kunci utama untuk mudah mendapat kerja?. Berkemahiran dan berpengetahuan!. Anda perlu memiliki kedua-duanya sekali. Adakah anda graduan yang dimaksudkan itu?. Jika ya, tentu anda sudah mempunyai pekerjaan yang baik. Jika masih menganggur mungkin anda hanya ada salah satu daripadanya sahaja atau tiada langsung!.

    

Berhubung dengan penguasaan Bahasa Inggeris, Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) baru-baru ini melahirkan kekecewaan berhubung kekurangan berterusan tenaga kerja yang boleh bertutur dan menulis dalam bahasa Inggeris termasuklah dalam kalangan graduan universiti. Jadi, kerajaan tidak boleh menyalahkan majikan jika tidak menawarkan pekerjaan kepada graduan kerana penguasaan bahasa komunikasi utama dunia itu penting dalam membantu mengembangkan syarikat ke peringkat antarabangsa.

    

Pengarah Eksekutifnya, Shamsuddin Bardan, berkata walaupun terdapat kira-kira 200,000 graduan menganggur di Malaysia, majoritinya lemah dalam penguasaan Bahasa Inggeris. Kebanyakkan syarikat menawarkan kekosongan jawatan terutamanya dalam sektor jualan dan perkhidmatan yang menyumbang sebanyak 60% kepada ekonomi negara yang mana, memerlukan pekerja yang boleh bertutur dalam bahasa Inggeris.

 

 

Disebabkan masalah ini, banyak syarikat menggaji pekerja warga asing yang boleh bercakap Bahasa Inggeris bagi mengisi kekosongan jawatan dalam sektor itu. Lemahnya penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan graduan ini katanya berpunca daripada dasar pendidikan yang sering bertukar-tukar sehingga memberi kesan kepada pelajar.

 

Kesimpulannya, jika anda tidak membuat sesuatu sekiranya tidak memiliki salah satu kriteria dibawah sebelum menamatkan pengajian. Maka, anda tiada pilihan lain selain tergolong dalam kalangan graduan yang menggangur.

  

ARTIKEL BERKAITAN

BERITA BERKAITAN
Berita Terkini

Perlukan
bantuan?
mail